Ribut petir dijangka landa KL, Putrajaya selain 7 negeri
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal membadai ibu kota dan Putrajaya selain Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak sehingga jam 2 pagi esok.
Selain seluruh Selangor, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook sebentar tadi memaklumkan, di Perak, cuaca itu diramal melanda Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Di Pahang katanya, cuaca itu dijangka di Bentong manakala Negeri Sembilan membabitkan Jelebu, Seremban dan Port Dickson.
"Selain Mersing di Johor, kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu di Sarawak turut diramal terjejas akibat cuaca sama," menurut METMalaysia.
METMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.