RM22 bilion laksana Rancangan Tebatan Banjir
- Admin UKK
- Berita
Kota Kinabalu: Kerajaan menyediakan dana RM22 bilion bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah itu merangkumi kawasan yang sedang dikenal pasti untuk pelaksanaan projek itu bagi atasi masalah banjir pada masa depan.
“Dengan berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim, kita berterima kasih kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi beberapa unjuran berdasar kawasan dijangka mengalami masalah banjir.
“Kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif untuk melaksanakan RTB. Di seluruh negara sejumlah RM22 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan RTB,” katanya selepas lawatan ke projek RTB Persekitaran Kawasan Lido, di sini, semalam.
Yang hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Mengenai RTB Persekitaran Lido, Ahmad Zahid berkata, beberapa pakej projek bernilai RM800 juta itu sudah dilaksanakan dan beberapa pakej dalam pembinaan bagi mengatasi banjir di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Mengulas mengenai kelewatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu bukan disebabkan masalah kontraktor atau Jabatan Pengairan dan Saliran, tetapi membabitkan pemindahan utiliti dan pengambilalihan tanah.