Sesi Kunjungan Hormat Sarawak Energy ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) | 20 Januari 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
Telah berlangsung sesi kunjungan hormat daripada Sarawak Energy ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipengerusikan oleh YBhg. DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi. Sesi kunjungan hormat ini dimulakan dengan perjumpaan wakil Sarawak Energy dengan YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).
Sesi ini diteruskan dengan pembentangan Arahan NADMA No. 1 oleh PPj.(PA) Mulliadi Al-Hamdi bin Ladin, Timbalan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi serta pengenalan mengenai Sarawak Energy oleh Encik Jonny Wong, Timbalan Presiden (Hydro). Tujuan utama sesi ini adalah bagi membincangkan cadangan kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua pihak terutamanya berkaitan empangan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah pelaksanaan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
Turut hadir mewakili NADMA ialah Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan serta wakil-wakil pegawai daripada Seksyen Pelaksanaan Operasi, Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial dan Seksyen Penyelarasan Operasi. Selain itu, pihak Sarawak Energy telah diwakili oleh 15 orang wakil yang diketuai oleh Encik Jonny Wong.
Majlis Penyerahan Pam Air Bergerak daripada NADMA kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
MAJLIS PENYERAHAN PAM AIR BERGERAK DARIPADA NADMA KEPADA JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN (JPS) MALAYSIA | 17 Januari 2025 | Ipoh, Perak
Telah berlangsung Majlis Penyerahan Pam Air Bergerak daripada NADMA kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), NADMA. Projek ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Persekutuan iaitu NADMA, berikutan rentetan daripada kejadian banjir besar yang telah berlaku di Negeri Kelantan, Perak dan Johor pada tahun 2022.
NADMA telah mengamanahkan perolehan pam bergerak ini kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui JPS Malaysia sebagai agensi pelaksana. Perolehan pam bergerak ini amat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan operasi ketika musim banjir. Perolehan pam bergerak ini telah dimulakan pada 14 Mei 2024 dan akan disiapkan sepenuhnya pada tahun 2027.
Sebanyak 49 set pam bergerak beserta kelengkapan pelbagai kapasiti ini akan disiapkan secara berfasa mulai tahun 2024 sehingga tahun 2027 yang merangkumi: 23 unit pam bergerak berkapasiti 20 cusec (560 liter/saat), 20 unit pam bergerak berkapasiti 10 cusec (280 liter/saat) dan 6 unit pam bergerak berkapasiti 5 cusec (140 liter/saat) yang akan diagihkan kepada JPS Negeri Perak, Johor dan Kelantan.
Humanitarian Logistics Management & Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) Procedures Training
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
HUMANITARIAN LOGISTICS MANAGEMENT & CUSTOMS, IMMIGRATION AND QUARANTINE (CIQ) PROCEDURES TRAINING | 13 hingga 17 Januari 2025 | THE SUKOSOL HOTEL, BANGKOK, THAILAND
Pihak AHA Centre dengan kerjasama Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF) telah menganjurkan kursus ini dan telah dihadiri oleh PPgB Norhisham bin Che Mohd Nor, Bahagian Logistik Pasukan SMART. Kursus ini memfokuskan proses Pengurusan Bantuan Kemanusiaan meliputi sebelum, semasa dan selepas bencana di negara ASEAN. Input daripada kursus ini akan melancarkan pengoperasian Pasukan SMART ke luar negara dari segi pengurusan logistik.
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Kajian Penilaian Risiko Bencana Buatan Manusia (Industri) bagi Semakan Laporan Akhir Selepas Pindaan
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU BAGI KAJIAN PENILAIAN RISIKO BENCANA BUATAN MANUSIA (INDUSTRI) | 16 Januari 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Kajian Penilaian Risiko Bencana Buatan Manusia (Industri) bagi Semakan Laporan Akhir Selepas Pindaan yang dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) NADMA.
Mesyuarat ini adalah sebagai salah satu syarat dalam memenuhi tuntutan kajian yang membincangkan serta mempersetujui hasil kajian yang telah dibuat dalam laporan akhir kajian sepertimana dtetapkan kepada perunding. Di samping itu, mesyuarat ini juga turut menerima maklum balas daripada semua Kementerian/Agensi berkepentingan supaya 'way forward' selepas kajian ini dapat dirancang dan dilaksanakan dengan teratur serta mencapai matlamatnya.
Bengkel Sistem Pengurusan Aduan Awam NADMA, Jabatan Perdana Menteri 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
BENGKEL SISTEM PENGURUSAN ADUAN AWAM AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA (NADMA), JABATAN PERDANA MENTERI 2025 | 14 & 15 Januari 2025 | BLOK F10, PUTRAJAYA
Telah berlangsung Bengkel Sistem Pengurusan Aduan Awam Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri 2025 bersama Pengurusan Aduan, Biro Pengaduan Awam (BPA) bertempat di Bilik Latihan ICT, Ibu Pejabat BPA yang telah dihadiri oleh peserta dari NADMA. Turut hadir ialah YBrs. Tuan Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) yang mengetuai NADMA dan merangkap Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Aduan Awam NADMA.
Objektif bengkel ini adalah untuk memberi penerangan kepada para pegawai yang telah dilantik mengikut peranan masing-masing iaitu sebagai penyelaras, penyelia dan pegawai penyiasat untuk mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan sistem. Setiap pegawai yang dilantik juga perlu memahami tanggungjawab mereka untuk menguruskan setiap aduan yang diterima mengikut tatacara pengurusan aduan seperti di dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2008 dan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2022: Penambahbaikan Pengurusan Aduan Awam yang telah disampaikan oleh Puan Nor Emmizah, Ketua Unit Aduan 1 yang merupakan Penceramah Pengurusan Aduan, BPA.
