Kursus Pengendalian Bot Ketika Bencana dan Majlis Pelepasan Rakan NADMA Zon Utara untuk Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Kursus Pengendalian Bot Ketika Bencana dan Majlis Pelepasan Rakan NADMA Zon Utara untuk Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 | 30 Oktober 2025 | UNIKL Lumut, Perak
Kursus anjuran Rakan NADMA Akademia UNIKL ini menyaksikan penglibatan peserta daripada kalangan Rakan NADMA NGO yang memiliki bot dan bersedia untuk dipasang alat pengesanan (tracing device Long Range Wide Area Network – LORAWAN) bagi tujuan penyelarasan dan penggerakan aset semasa bencana. Kursus ini adalah sebahagian daripada langkah awal bagi memastikan kesiapsiagaan misi-misi bantuan selepas MTL 2025/2026 terutamanya operasi bot di kawasan yang memerlukan pertolongan segera.
Kerjasama antara NADMA, Rakan NADMA Akademia dan Rakan NADMA NGO melalui kursus ini turut mengukuhkan lagi hubungan strategik antara rangkaian Rakan NADMA di seluruh negara. Majlis penutup kursus telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA yang turut menyampaikan sijil kepada para peserta dan menyempurnakan pelepasan Rakan NADMA Zon Utara untuk misi bantuan Pasca MTL 2025/2026.
Penyelarasan bersama penggunaan sumber secara optimum serta solidariti antara Rakan NADMA NGO, korporat dan akademia bukan sekadar simbolik, malah satu janji untuk terus membantu mereka yang memerlukan. Pelepasan Rakan NADMA Zon Utara adalah sebahagian daripada siri pelepasan Rakan NADMA di enam (6) zon yang telah bermula di Jerantut, Pahang sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025.
Sesi Libat Urus bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Libat Urus bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 | 30 Oktober 2025
Sesi Libat Urus bersama media bagi membentangkan tahap kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 telah berlangsung hari ini di Dewan Wawasan, Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong.
Program anjuran NADMA ini telah menghimpunkan pelbagai agensi utama dalam lapangan pengurusan bencana termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk membentangkan langkah persiapan dan pelan tindakan bagi menjelang MTL yang dijangka bermula awal November ini.
Sesi ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan mempertingkatkan kefahaman media dalam menyampaikan maklumat bencana secara tepat, pantas dan bertanggungjawab kepada rakyat. Inisiatif ini seiring dengan pendekatan “Siaga Bencana, Tanggungjawab Bersama” yang menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran bencana yang semakin kompleks.
Perasmian Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Negeri Sarawak 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Perasmian Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Negeri Sarawak 2025 | 29 Oktober 2025 | Waterfront Hotel Kuching, Sarawak
YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA telah hadir sebagai tetamu kehormat di Majlis Perasmian Kursus Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) Sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) Negeri Sarawak 2025. Program tersebut dirasmikan oleh YB Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian.
YB Timbalan Premier menekankan semangat Sarawak dalam gagasan Malaysia yang sentiasa bersedia untuk menjadi contoh terbaik termasuklah dalam kesiapsiagaan bencana dan atur gerak sumber dan keupayaan melalui pendekatan whole-of-government dan whole-of-society.
Pihak NADMA turut membentangkan mengenai Arahan NADMA No. 1, Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada peserta-peserta yang hadir terdiri daripada pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (Residen) dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dari pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selaku sekretariat JPBD, JPBB dan JPBN, Polis DiRaja Malaysia selaku Komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selaku Timbalan Komander PKTK, Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO serta sukarelawan-sukarelawan di Negeri Sarawak.
Penglibatan NADMA merupakan manifestasi kerjasama erat kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha menggembleng sumber dan upaya bagi menghadapi musim MTL 2025/2026.
Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025/2026
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025/2026 | 28 Oktober 2025 | Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Shah Alam
Telah berlangsung Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2025/2026 yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota kesihatan dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir melalui pengetahuan tentang prosedur operasi standard (SOP) dan pelan tindak balas kesihatan semasa bencana serta memastikan koordinasi dan komunikasi berkesan antara fasiliti kesihatan, pasukan perubatan dan agensi berkaitan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir.
Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan keupayaan respon kesihatan awam termasuk kawalan penyakit berjangkit, keselamatan makanan, air bersih serta pengurusan psikososial mangsa semasa dan selepas banjir. Dr Ajantha Segarmurthy, Timbalan Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA telah dijemput sebagai penceramah bagi menyampaikan taklimat bertajuk “Arahan NADMA No. 1”.
Majlis Penutupan Program Sekolah Angkat Madani (SAM) NADMA Tahun 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Majlis Penutupan Program Sekolah Angkat Madani (SAM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Tahun 2025 | 28 Oktober 2025 | Imperial Palace Hotel, Miri, Sarawak
Telah berlangsung Majlis Penutupan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) NADMA yang disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Hussain Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA. Program SAM telah diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
SMK St. Columba, Miri telah dipilih untuk dijadikan SAM NADMA tahun 2025 dan sebanyak RM100 ribu telah disalurkan kepada sekolah bertujuan untuk meningkatkan asas ilmu pengetahuan murid bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025.
Bagi persediaan menghadapi SPM tahun 2025, beberapa siri bengkel & kelas tambahan bagi kesemua subjek SPM telah diadakan sepanjang Program SAM ini berlangsung yang melibatkan beberapa buah sekolah di daerah Miri. Sebelum Majlis Penutupan SAM yang bermula pada jam 9.30 pagi, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA juga telah menyempurnakan sesi perasmian Papan Tanda SAM di SMK St. Columba, Miri.
Pada Majlis Penutupan SAM ini juga telah diadakan program motivasi kepada 163 orang murid yang akan menduduki Peperiksaan SPM pada Tahun 2025. Turut hadir dalam majlis Penutupan SAM adalah YBrs. Ir. Sulaiman Kamari, Pengarah Seksyen Teknikal dan Infrastruktur (STI), Encik Mohd Yusri Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan STI, Encik Mohamad Naim Ab. Rahman, Penolong Pengarah Kanan STI serta pegawai NADMA yang lain.
