PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Previous Next

6 Disember 2024 - Telah berlangsung Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat yang bertempat di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC). Kehadiran secara fizikal oleh Timbalan Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Pegawai NDCC dan Pegawai Pasukan SMART sementara kehadiran secara dalam talian oleh 9 orang ahli mesyuarat daripada PKOB Negeri, Agensi dan NADMA.
 
NADMA telah mengaktifkan PKOB Pusat sejak akhir bulan November, yang bertujuan untuk menyelaras dan memantau semua PKOB negeri yang sedang mengurus bencana banjir dan mangsa banjir di lapangan. Penyelarasan termasuklah aset-aset dan keperluan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta lain-lain keperluan yang merentas negeri masing-masing.
 
Selain itu, ia juga berkaitan dengan operasi bantuan atau respons bencana, dimana pelbagai agensi perlu bekerjasama untuk memastikan sumber dan tenaga kerja diatur dengan efisien bagi memudahkan operasi. Oleh itu, NDCC NADMA yang beroperasi selama 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi banjir di seluruh negara sebagai rujukan semua.
 
Previous Next

MESYUARAT PENYELARASAN BERKENAAN SISTEM AMARAN AWAL (EARLY WARNING SYSTEM - EWS) DI MALAYSIA | 6 Disember 2024

Telah berlangsung satu Mesyuarat Penyelarasan Berkenaan Sistem Amaran Awal (Early Warning System - EWS) di Malaysia yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan keperluan bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan sistem amaran awal sedia ada atau sistem amaran awal yang diperlukan pada masa hadapan sebagai usaha dalam memberikan maklumat dan ramalan yang tepat serta berkesan kepada masyarakat dengan matlamat untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda akibat bencana.

Mesyuarat ini juga sejajar dengan Sasaran Utama & Tindakan ke-6 yang digariskan di dalam Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 (DRR) dan perkara yang dirancang melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas iaitu untuk meningkatkan ketersediaan akses kepada sistem amaran awal kepada masyarakat.

Turut hadir ialah YBrs. Encik Meor Ismail bin Meor Hakim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Encik Ir. Hanizan bin Deraman, Pengarah Seksyen Mitigasi, Encik Jefny bin Muhammad, Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial dan Encik Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

Selain itu, turut hadir ke mesyuarat ini adalah dari agensi dan jabatan teknikal yang berkaitan terdiri daripada Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta wakil -wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Previous Next

6 Disember 2024 - Mesyuarat Penyelarasan Skuad Ihsan Madani telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi). YBrs. En Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA telah hadir selaku wakil Sekretariat Pengurusan Bencana Pusat dan membentangkan laporan semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 serta fokus utama MTL ketika ini. Beliau juga turut membentangkan Laporan Pergerakkan NGO di lapangan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri sepertimana tahun lepas, akan menjadi focal point untuk mengaturgerak Sukarelawan Skuad Ihsan Madani mengikut keperluan di lapangan. APM juga membentangkan perancangan dan aturgerak Skuad Ihsan Madani. Mesyuarat turut diingatkan agar sukarelawan memastikan keperluan kendiri disediakan terlebih dahulu seperti makanan, penginapan, logistik dan alatan bantuan sebelum turun ke lapangan dan mematuhi arahan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan Negeri yang terkesan.

Ketua Pengarah APM dan wakil NADMA telah melepaskan Skuad Ihsan Madani NADMA-APM ke Negeri Kelantan bagi misi bantuan banjir sebagai lambang solidariti dan keihsanan penjawat awam kepada mangsa yang terkesan. YBrs. Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana pada petang ini turut dijadualkan untuk mempengerusikan mesyuarat bersama NGO-Sukarelawan Rakan NADMA bagi mengaturgerak bantuan pasca banjir serta perancangan awal Rakan NADMA dalam misi Ihsan Madani menghadapi gelombang kedua.

Previous Next

Perbincangan Koordinasi Aturgerak bagi Menghadapi Pasca Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 | 6 Disember 2024
 
Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA. Seramai 70 orang NGO yang mewakili 170 NGO Rakan NADMA (fizikal dan online) telah hadir dalam perbincangan ini bagi menyatakan iltizam dan komitmen untuk menghadapi gelombang kedua MTL. Komitmen ini meliputi penyediaan bantuan kecemasan, logistik dan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas akibat banjir.
 
Beliau merakamkan ucapan terima kasih atas koordinasi, sumbangan dan jasa semua NGO-Sukarelawan Rakan NADMA yang bertungkus lumus dalam menyumbang dan membantu di lapangan atas nama Misi Ihsan Madani. Diharapkan segala tindakan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan memberi impak positif kepada masyarakat yang terkesan.
Previous Next

Mesyuarat Koordinasi International Humanitarian Assistance and Disaster Relief (iHADR) | 5 Disember 2024 | Bilik Mesyuarat Pasukan SMART
 
Telah berlangsung Mesyuarat Koordinasi International Humanitarian Assistance and Disaster Relief (iHADR) koordinasi bantuan kemanusiaan dan bencana daripada Kerajaan Pakistan kepada Malaysia. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Meor Ismail bin Meor Akim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi NADMA.
 
Turut hadir wakil-wakil dari agensi ahli iHADR seperti Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), wakil Depot Simpanan Pertahanan serta wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
 
Mesyuarat ini bertujuan untuk penyelarasan inter-agensi bagi proses penerimaan sumbangan barangan bantuan keperluan dari Kerajaan Pakistan seperti khemah, beg tidur, selimut, quilt, tikar dan jaket keselamatan dengan jumlah keseluruhan 80 tan.
 
Bantuan kemanusiaan dan barangan keperluan ini disumbangkan oleh Kerajaan Pakistan sebagai tanda persahabatan dan solidariti Perdana Menteri Pakistan kepada YAB Perdana Menteri ketika negara dilanda musibah bencana.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search