KUCHING, 13 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak membenarkan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) beroperasi untuk menampung keperluan ibu bapa yang bekerja, meskipun Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah paras 200 dan ke atas.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kehadiran kanak-kanak ke institusi berkenaan adalah tertakluk kepada pertimbangan serta pilihan ibu bapa masing-masing dalam mendepani situasi jerebu berterusan di negeri ini.
Beliau berkata, Tadika dan Taska bertindak sebagai sistem sokongan penting kepada ibu bapa yang bekerja, selain menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan terkawal dilengkapi pendingin udara serta sistem penapis udara bersesuaian berasaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Bagi Tadika dan Taska yang sepatutnya ditutup apabila IPU mencapai 200 dan ke atas, pusat-pusat ini boleh dibuka bagi menampung kanak-kanak yang ibu bapanya masih perlu bekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Sarawak berkata, semua aktiviti luar bilik darjah di institusi berkenaan hendaklah digantung serta-merta sepanjang tempoh ini.
Bagi mengurangkan pendedahan di luar rumah, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak memakai pelitup muka semasa dalam perjalanan dari rumah ke pusat jagaan berkenaan.
Beliau turut menegaskan supaya saringan kesihatan dilakukan terhadap kanak-kanak sejurus tiba di pusat jagaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan masuk, manakala kanak-kanak yang tidak sihat perlu kekal berada di rumah.
“Sekiranya kanak-kanak menunjukkan gejala semasa berada di pusat berkenaan, ibu bapa akan dihubungi untuk membawa mereka pulang,” tegas beliau.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah asma, penyakit pernafasan atau penyakit kronik lain, ibu bapa perlu memastikan ubat penyedut (inhaler) yang dipreskripsikan dibawa bersama, selain memaklumkan tahap kesihatan serta keperluan penjagaan anak kepada pihak pengurusan pusat berkenaan.
Fatimah turut memohon ibu bapa memastikan anak-anak minum air secukupnya bagi kekal terhidrat sepanjang hari. – TVS
Sekolah perlu henti aktiviti luar bilik darjah jika IPU lebih 100 - JPN Pulau Pinang
- Admin UKK
- Berita
GEORGETOWN: Sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata laman sesawang rasmi JAS, iaitu Air Pollutant Index Management System (APIMS) menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden di sini petang tadi.
"Kami sedang memantau keadaan IPU dari semasa ke semasa buat masa ini dan mengambil tindakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Sekolah yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat masih beroperasi seperti biasa tetapi tiada sebarang aktiviti di luar bilik darjah dibenarkan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Sebanyak tujuh sekolah, melibatkan empat sekolah rendah dan tiga sekolah menengah berada di kawasan sekitar Minden. Jika tahap IPU masih merekodkan bacaan tidak sihat pagi esok, pihak sekolah akan menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah," katanya ketika dihubungi BERNAMA malam ini.
APIMS menunjukkan bacaan IPU kategori tidak sihat bagi Stesen Minden pada paras 107 kira-kira 12 tengah hari dan 103 sejam kemudian. Seterusnya bacaan pada 3 petang bagi stesen itu menurun kepada IPU sederhana, iaitu dengan bacaan 97 dan terkini pada 8 malam bacaan 96 (sederhana).
Bacaan pada 8 malam ini bagi Stesen Balik Pulau, Stesen Seberang Perai dan Seberang Jaya pula mencatatkan antara 84 hingga 95, iaitu sederhana.
Mohamad Dziauddin berkata beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama semua guru besar dan pengetua pada 11 pagi esok untuk memberikan maklumat terkini serta tindakan yang perlu diambil sekiranya keadaan jerebu atau IPU mencatatkan bacaan tidak sihat di Pulau Pinang.
Beliau berkata murid juga dinasihatkan supaya memakai penutup hidung serta minum air dengan kerap manakala pihak sekolah perlu merujuk murid yang didapati tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.
Berdasarkan garis panduan berhubung pengurusan sekolah ketika fenomena jerebu, sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala jika bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.
Garis panduan itu turut menetapkan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang berada di bawah 200 dan menunjukkan trend penurunan.
JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengambil pelbagai langkah untuk memadamkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu dan telah merebak ke negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Ini menyebabkan Kementerian Luar Negeri Indonesia memastikan kerajaan terus berkoordinasi dengan negara-negara berkaitan, tanpa mengira sama ada terdapat bantahan rasmi atau tidak.
Pihak kementerian turut memanfaatkan mekanisme pemantauan dan pertukaran maklumat berdasarkan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Ia merupakan perjanjian alam sekitar antara negara anggota ASEAN yang mengikat di sisi undang-undang bagi mencegah, memantau dan mengawal pencemaran jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah.
“Secara amnya, kerajaan menjalankan pelbagai usaha penyelarasan bagi langkah-langkah pencegahan dan pengendalian secara bersepadu, dengan meminimumkan kesan terhadap masyarakat serta juga alam sekitar,” kata Jurucakap II Kementerian Luar Indonesia, Vahd Nabyl, di pejabatnya di Jakarta, Khamis.
Nabyl menambah, kerajaan turut terus mengambil pelbagai langkah bagi menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk memperkukuh kesiapsiagaan, melakukan rondaan, pemadaman di darat, operasi pembenihan awan atau pengeboman air, penguatkuasaan undang-undang serta pengubahsuaian cuaca yang dilaksanakan secara bersepadu.
“Jadi, langkah-langkah ini terus dilaksanakan tanpa mengira sama ada terdapat bantahan rasmi yang diterima daripada mana-mana negara atau tidak,” jelasnya. – AGENSI
Jerebu dijangka berterusan 7 hari lagi
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini dijangka berterusan tanpa perubahan ketara sepanjang tempoh seminggu akan datang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca juga dijangka kekal hampir sama sepanjang minggu hadapan.
“Hujan sementara mungkin berlaku di beberapa kawasan, namun jumlahnya dijangka tidak mencukupi untuk mengurangkan jerebu secara menyeluruh.
“Jerebu setempat ketika ini lebih tertumpu di kawasan perindustrian dan berpenduduk padat seperti Lembah Klang serta Pulau Pinang.
“Bagi selatan dan barat Sarawak pula, keadaan itu dipengaruhi jerebu rentas sempadan berikutan banyak kebakaran terbuka dikesan berlaku di barat Kalimantan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, perubahan cuaca yang lebih ketara dijangka berlaku selepas berakhirnya Monsun Barat Daya.
“Keadaan cuaca dijangka berubah dengan lebih ketara selepas Monsun Barat Daya berakhir pada penghujung September ini,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan, penutupan sementara sekolah-sekolah yang terjejas akibat jerebu di kawasan Serian dilanjutkan sehingga Jumaat.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan satu sesi libat urus bersama pengetua serta guru besar sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian.
“Keputusan ini dibuat agar tidak membebankan pihak pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta murid-murid terutamanya yang melibatkan sekolah berasrama.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Sebanyak 10 kawasan di Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang semalam.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Sarawak mencatatkan kawasan tertinggi terjejas dengan tujuh kawasan mencatat bacaan IPU antara 146 hingga 179.
Di Selangor pula Johan Setia mencatatkan IPU 154, dan Shah Alam (104) sementara Cheras di Kuala Lumpur IPU 146.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Maqrun Fadzli Mohd. Fahmi berkata, hujan diramal di beberapa tempat tetapi tidak cukup memperbaiki kualiti udara secara menyeluruh.
“Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.
“Kita harap hujan membantu tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut,” katanya dalam program Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan.
Dalam pada itu, kebakaran hutan dan tanah yang semakin merebak di Kalimantan memusnahkan tanaman serta ladang penduduk.
Indonesia dilaporkan berjaya memadamkan empat kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan keseluruhan kawasan seluas 16 hektar di empat provinsi.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dodi Yuleova dilaporkan berkata, kejadian dilaporkan di Trenggalek, Jawa Timur; Sragen, Jawa Tengah; Cianjur, Jawa Barat dan Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan. – UTUSAN
Setiap kali negara kembali dilanda jerebu, ia mengingatkan kita kepada tahun 1997, ketika krisis jerebu yang begitu teruk melanda negara dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya. Pada ketika itu, keadaan jerebu bukan sekadar menyebabkan langit kelihatan kelabu dan udara sukar untuk dihirup, malah ia menjadi satu krisis besar sehingga Malaysia mengisytiharkan darurat bagi kawasan yang terjejas.
Hampir tiga dekad kemudian, kita masih berdepan dengan persoalan yang sama. Mengapa kita masih perlu berulang kali melalui episod jerebu? Kebakaran hutan dan pembakaran terbuka, termasuk kebakaran hutan serta kawasan gambut di Indonesia, sering menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Malaysia.
Apabila jerebu melanda, kesannya dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Kesihatan manusia terjejas apabila kualiti udara merosot, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan. Aktiviti harian juga terganggu. Sekolah mungkin terpaksa ditutup, aktiviti luar dibatalkan dan perjalanan udara serta pengangkutan boleh terjejas akibat jarak penglihatan yang rendah.
Kesan jerebu juga jauh lebih besar daripada apa yang dapat dilihat pada bacaan IPU. Alam sekitar turut menerima kesan apabila kebakaran hutan memusnahkan habitat, mengancam biodiversiti dan menyumbang kepada pelepasan karbon. Ekonomi juga terjejas apabila produktiviti menurun, sektor pelancongan terkesan, aktiviti perniagaan terganggu dan kos berkaitan kesihatan meningkat.
Inilah sebabnya isu jerebu perlu dilihat melalui lensa Matlamat Pembangunan Mampan. Jerebu mempunyai kaitan dengan sebahagian besar matlamat yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 bagi pembangunan mampan yang akan memberi manfaat besar serta meningkatkan kualiti hidup manusia.
Antara Matlamat Pembangunan Mampan yang berkait rapat dengan masalah jerebu termasuk Matlamat 3, Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, kerana udara bersih merupakan asas kepada kesihatan manusia. Masalah jerebu juga berkait rapat dengan Matlamat 4, Pendidikan Berkualiti, apabila persekolahan dan proses pembelajaran terganggu kerana sekolah perlu ditutup jika IPU mencecah 200. Ia juga berkait dengan Matlamat 8, Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi, kerana pencemaran udara boleh menjejaskan produktiviti dan aktiviti ekonomi.
Pada masa yang sama, Matlamat 11, Bandar dan Komuniti Mampan, bukan sekadar berkaitan dengan pembangunan infrastruktur atau pembinaan bandar yang moden, tetapi turut menekankan keperluan memastikan masyarakat dapat hidup dalam persekitaran yang sihat, selamat dan berkualiti.
Dalam konteks jerebu juga, Matlamat 13, Tindakan Iklim, menjadi semakin relevan kerana kebakaran hutan dan tanah gambut bukan sahaja menghasilkan asap yang menjejaskan kualiti udara, tetapi turut melepaskan sejumlah besar karbon ke atmosfera. Yang paling jelas, Matlamat 15, Hidupan di Darat, menekankan kepentingan melindungi ekosistem daratan, hutan dan biodiversiti.
Namun, terdapat satu persoalan yang lebih besar: bagaimana kita mahu mencapai Agenda 2030 jika masalah asas seperti udara bersih masih belum dapat kita selesaikan secara berkesan?
Agenda 2030 bukan sekadar dokumen antarabangsa. Ia sepatutnya diterjemahkan kepada kualiti kehidupan seharian manusia melalui udara yang kita hirup, sekolah yang anak-anak kita hadiri, hutan yang kita lindungi dan ekonomi yang kita bina.
Pembangunan tidak boleh dianggap mampan jika kemajuan ekonomi dicapai dengan mengorbankan kesihatan manusia dan alam sekitar.
Jerebu juga mengajar kita bahawa tiada sempadan bagi masalah alam sekitar. Asap tidak mengenal sempadan negara. Begitu juga dengan perubahan iklim, pencemaran dan kemusnahan biodiversiti. Oleh itu, penyelesaian kepada masalah ini memerlukan kerjasama serantau, penguatkuasaan yang lebih berkesan, pengurusan hutan yang bertanggungjawab serta penglibatan masyarakat. Jika jerebu terus berulang tanpa penyelesaian yang mampan, Agenda 2030 mungkin hanya akan kekal sebagai impian di atas kertas.
Tetapi kita masih mempunyai pilihan.
Kita boleh memilih untuk terus bertindak apabila jerebu datang, atau kita boleh mula bertindak sebelum jerebu datang lagi. Inilah semangat yang diterapkan dalam Matlamat 17, Perkongsian untuk Matlamat. Tiada satu negara, satu kerajaan, satu agensi atau satu komuniti yang mampu menyelesaikan masalah ini bersendirian. Kita memerlukan kerjasama antara negara, kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor swasta, institusi penyelidikan, NGO dan, yang paling penting, masyarakat itu sendiri.
Jerebu tidak mengenal sempadan. Maka, penyelesaiannya juga tidak boleh dibatasi oleh sempadan.
Dan akhirnya, pembangunan mampan bukan sekadar tentang menyelamatkan bumi suatu hari nanti.
Persoalannya bukan lagi, “Bilakah jerebu akan datang?” Tetapi, “Apakah yang akan kita lakukan bagi menghalangnya daripada datang lagi?”
Artikel daripada
Nur Afisha Yusuf
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
UiTM Sarawak
