WETLET: Banjir monsun menenggelamkan kampung dan kawasan sawah padi di tengah Myanmar, sekali gus memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka termasuk yang sudah pun terpaksa berpindah akibat perang saudara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata banjir monsun yang teruk sejak Julai lalu di negeri Sagaing, Rakhine, Irrawaddy dan Kachin menjejaskan kira-kira 390,000 penduduk dengan 230,000 daripada jumlah itu direkodkan di Sagaing sahaja.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mengesahkan angka berkenaan merangkumi penduduk yang terjejas akibat perang saudara yang tercetus susulan rampasan kuasa tentera Myanmar pada 2021.
Kementerian Kesejahteraan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar berkata, sehingga 11 Ogos lalu, hujan lebat dan limpahan air sungai di Sagaing memaksa lebih 11,400 penduduk daripada 3,220 isi rumah berpindah ke pusat pemindahan banjir.
Jurucakap OCHA, Pierre Peron memberitahu AFP pada Jumaat bahawa pertubuhan itu belum mempunyai angka rasmi berhubung jumlah keseluruhan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat hujan lebat berkenaan.
"Namun, dengan hujan monsun yang berterusan serta paras air di beberapa sungai utama berada pada atau melebihi paras bahaya, kami jangka kesannya akan berlanjutan selama beberapa hari dan minggu akan datang," katanya.
Beliau berkata rakan kerjasama PBB kini menggerakkan bantuan bagi membantu golongan paling terjejas.
Namun, kerosakan akibat banjir ke atas kediaman, tempat perlindungan, infrastruktur dan tanah pertanian memburukkan lagi keperluan kemanusiaan, terutama makanan, kesihatan, air bersih serta sokongan mata pencarian.
Walaupun monsun musim hujan membawa bekalan air yang diperlukan petani, perubahan iklim menjadikan fenomena berkenaan semakin sukar diramal, tidak menentu dan lebih berbahaya di seluruh rantau ini. - AFP
KUCHING, 16 Ogos: Indonesia terus memperhebat usaha mencegah dan memadam kebakaran hutan dan tanah di kawasan terjejas susulan perkembangan kualiti udara yang menjadi perhatian masyarakat Sarawak baru-baru ini.
Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching menerusi kenyataan menyatakan, langkah bersepadu itu dilaksanakan secara menyeluruh, proaktif dan berterusan bagi melindungi kesihatan serta kesejahteraan komuniti di Sarawak dan Indonesia.
“Usaha berkenaan merangkumi peningkatan rondaan awal, kerahan segera pasukan bomba, operasi pengeboman air secara berterusan serta pelaksanaan operasi pengubahsuaian cuaca menerusi pembenihan awan,” menurut kenyataan KJRI Kuching hari ini.
Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan undang-undang turut dipertingkatkan terhadap kegiatan pembakaran secara haram, dengan operasi darat dan udara dilaksanakan secara berterusan bagi melindungi komuniti dan ekosistem, selain mengurangkan risiko kebakaran.
Menurut KJRI Kuching, Indonesia kekal komited untuk mengekalkan komunikasi rapat, perkongsian maklumat dan kerjasama serantau dengan semua pihak berkepentingan termasuk menerusi kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Jelas kenyataan itu, kerjasama berkenaan penting bagi memperkukuh strategi pencegahan bersama, meningkatkan penyelarasan serantau serta mengurangkan potensi kesan alam sekitar dan sosioekonomi akibat jerebu rentas sempadan.
KJRI Kuching turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi serta menyelaras secara aktif dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan berkaitan di Sarawak.
Indonesia berharap usaha bersepadu itu dapat memberikan hasil positif dalam tempoh terdekat, sekali gus memastikan kualiti udara dan aktiviti harian di Sarawak serta kawasan sekitarnya kembali pulih seperti sedia kala.-TVS
LIMBANG,16 Ogos: Bomba mengambil masa dua jam memadam kebakaran belukar Kampung Kelapa Mawar seluas setengah ekar petang ini.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Pegawai Bomba Ramlan Marajan berkata sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian yang jauhnya 11 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1 petang.
“Setiba pasukan dI lokasi, kebakaran melibatkan hutan belukar (gambut) di Jalan Kampung Kelapa Mawar yang terbakar seluar setengah ekar.
“Pasukan operasi bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki, dua nozel dan dari foating pam (kampung) air terbuka,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi yang diserta enam pegawai dan anggota melibatkan dua kenderaan bomba itu berjaya ditamatkan pada jam 3.10 petang.
Pada Khamis lepas, anggota bomba terpaksa mengambil masa dua hari memadam kebakaran hutan belukar di Kampung Buangkuati yang berjaya dipadam sepenuhnya pada Jumaat lepas. -TVS
DARO, 16 Ogos: Sebanyak 25 hektar daripada keseluruhan 29 hektar kawasan kebakaran hutan di Kampung Kut berjaya dipadamkan dalam operasi hari ketujuh yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak hari ini.
Operasi diketuai PBK I (TBK I) Abu Hady Harry bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dengan menggunakan sebuah CFRT dan dua kenderaan pacuan empat roda (Hilux).
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.50 pagi sebelum taklimat operasi diberikan pada jam 9 pagi.
“Tiga pasukan kemudiannya digerakkan ke tiga sektor, masing-masing di belakang stesen minyak, Jalan Besar serta kawasan berhampiran menara telekomunikasi.
“Operasi pemadaman diteruskan sehingga jam 5 petang dengan bantuan dua jentera excavator bagi membuat fire break bagi menghalang api daripada terus merebak,” menurut kenyataan tersebut.
Sumber air dari parit dan dam turut digunakan bagi membantu kerja-kerja pemadaman.
Setakat operasi hari ini, masih terdapat baki empat hektar kawasan yang belum dipadamkan dan operasi akan disambung esok.
Antara cabaran yang dihadapi pasukan ialah liputan GIRN yang kurang memuaskan, cuaca panas dan kering menyebabkan api cepat merebak, kekurangan sumber air serta akses jalan yang sempit.
Operasi turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tiga kontraktor excavator dan tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).-TVS
25 hektar kebakaran hutan di Kampung Kut berjaya dipadamkan

PETALING JAYA – Percutian 16 rakyat Malaysia ke Labuan Bajo, Indonesia bertukar cemas apabila hotel yang didiami mereka rosak ekoran kejadian gempa bumi.
Menerusi perkongsian di Thread Anason.Travel, kesemua mereka melancong ke lokasi tersebut sejak 11 Ogos sehingga semalam dan kejadian gempa itu berlaku ketika kumpulan berkenaan dijadual berangkat pulang ke Malaysia.
Menurutnya, pihak kedutaan turut menghubungi mereka bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan kesemua pelancong selepas bencana tersebut berlaku.
“Terkena (dilanda) gempa hari nak balik (Malaysia). Kedutaan hubungi tanya keadaan, hotel rosak tetapi kami selamat. Alhamdulillah dah selamat sampai rumah,” katanya.
Pada masa sama, pemilik akaun tersebut turut mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara supaya mendaftarkan nama di kedutaan bagi memudahkan pihak berkuasa menghubungi dan membantu sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Terdahulu, angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores di Indonesia awal pagi semalam meningkat kepada 47 orang, dengan ratusan rumah dan kemudahan awam mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE