PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

24 hektar kebakaran hutan gambut di Betong berjaya dipadamkan

BETONG, 23 Ogos: Kebakaran hutan gambut seluas 24 hektar daripada keseluruhan 30 hektar di Jalan Bungin, Serembang berjaya dipadam dalam operasi hari kedua hari ini.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari ini dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B bagi mengawal kebakaran serta menghalang api daripada merebak.

“Di Sektor A, pasukan menggunakan sebuah FRT dengan satu aliran dan satu nozel menerusi kaedah direct hit bermula dari bahagian tengah ke hadapan bagi mencegah kebakaran daripada merebak.

“Manakala di Sektor B, pasukan menggunakan sumber air terbuka dari parit dengan satu aliran dan satu nozel menerusi kaedah direct hit bermula dari bahagian tengah hingga ke belakang bagi mewujudkan fire break,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi akan diperluaskan kepada empat sektor iaitu Sektor A, B, C dan D esok bagi mempercepatkan usaha pemadaman.

Operasi hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula esok.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 2.44 petang semalam itu kini berbaki kawasan terbakar seluas kira-kira enam hektar.

Antara cabaran di lokasi ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui, ketiadaan sumber air di kawasan terbakar serta liputan GIRN dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.

Operasi melibatkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan kekuatan aset sebuah FRT, Hilux, EMRS, Urvan dan tangki air.-TVS

Bom di Selatan Thai: Penduduk Rantau Panjang, Pengkalan Kubor rasai gegaran

RANTAU PANJANG: Dentuman letupan bom di Selatan Thailand mencetuskan panik apabila gegarannya turut dirasai oleh lebih 1,000 penduduk di Rantau Panjang, di sini dan Pengkalan Kubor, Tumpat, kelmarin.

Rata-rata penduduk mendakwa berasakan gegaran kira-kira pukul 10 malam waktu Malaysia, malah ada yang menyifatkan dentuman itu cukup kuat sehingga menyebabkan rumah mereka bergegar.

Penduduk Kampung Tersang, Wan Rohaya Abdullah, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu bersama suami dan anak mereka sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Tiba-tiba bunyi dentuman yang sangat kuat sehingga rumah saya bergegar. Tiga kali berturut-turut letupan itu berlaku selang dua saat dan letupan ketiga selang dua minit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Wan Rohana berkata, dia sekeluarga menjadi panik namun keadaan kembali terkawal selepas tiada lagi bunyi letupan kedengaran.

Katanya, walaupun penduduk di kawasan sempadan Sungai Golok sudah biasa mendengar bunyi letupan dari Thailand, kejadian seumpama itu tetap menimbulkan kebimbangan.

 

“Risau kalau terkena peluru sesat atau bom tersasar ke kampung kami dan kediaman penduduk di pinggir Sungai Golok ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Lata, Syed Mohd. Kamarudin Syed Othman, 53, berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman berkenaan adalah guruh berikutan kawasan ruamhnya baru sahaja reda hujan.

“Saya pada mulanya menyangka guruh di langit tetapi tidak lama kemudian kecoh dalam media sosial berlaku letupan bom di Thailand. Walaupun hanya sekali kedengaran tetapi dentuman itu sangat kuat sehingga rasa gegarannya,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian seumpama itu bukan kali pertama dirasai penduduk di kampung berkenaan, malah gegaran pada 2023 lebih kuat sehingga menyebabkan kediaman penduduk mengalami kerosakan.

Katanya, ketika itu sebuah stor mercun dan bunga api di Mundok, Thailand, meletup sehingga gegaran dirasai kuat di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Selatan Thailand dilaporkan kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam, kelmarin.

Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sehingga pukul 12 tengah malam, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, Yala (18) dan Pattani (11). – UTUSAN

Sarawak forest fire in Daro enters eighth day, 4ha still burning

DARO, Aug 17 — Firefighters are on their eighth day of working to extinguish a forest fire in Kampung Kut here, which has affected about 29ha of land.

The Sarawak Fire and Rescue Department (Bomba) said in a statement that firefighters are working to completely extinguish the remaining hotspots of the forest fire.

About 4ha of the affected area remained unextinguished as of Sunday. Firefighters from the Daro fire station were deployed to three sectors during the operation.

“Sector one is located behind a petrol station, sector two along the main road, while sector three is near a telecommunications tower,” said Bomba.

Firefighting operations continued until 5pm, with two excavators deployed to create firebreaks to prevent the blaze from spreading further.

Firefighters also used water from nearby drains and a check dam to support suppression efforts. A distress call on the fire was first received at around 1.40pm on Aug 10. — The Borneo Post

 

Penduduk Nusa Tenggara Timur alami hampir 1,000 gempa susulan

JAKARTA –  Sebanyak 995 gempa susulan direkodkan di Nusa Tenggara Timur (NTT) selepas wilayah itu digegarkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 pada Sabtu lalu, lapor saluran berita CNN Indonesia.

Timbalan Bidang Pencegahan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) , Abdul Muhari berkata, data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan jumlah itu direkodkan setakat pukul 3.00 petang (waktu tempatan) (WIB) semalam.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan yang direkodkan, cuma 46 gegaran benar-benar dirasai oleh penduduk tempatan, iaitu kurang 10 peratus.

“Apa perlu kita fahami bahawa gempa susulan ini diperlukan oleh struktur sesar gempa yang berlaku untuk kembali stabil. 

“Jadi, ini merupakan fenomena alam yang sememangnya perlu kita lalui dan kita berharap tenaga yang dilepaskan dapat segera merosot supaya gempa susulan tidak lagi signifikan serta tidak lagi dirasai oleh masyarakat,” katanya. 

Setakat petang semalam, jumlah keseluruhan korban gempa bumi tersebut mencecah 53 orang. – AGENSI

Bencana monsun, taufan ragut 23 nyawa di Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya 23 maut manakala ribuan penduduk terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat melanda beberapa wilayah Filipina, mencetuskan banjir dan tanah runtuh.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) dalam laporan terbaharunya berkata, cuaca buruk berpunca daripada monsun barat daya yang dipertingkatkan serta Taufan Tropika Luis dan Maymay.

Luzon dan beberapa kawasan di Visayas antara wilayah paling teruk terjejas, dengan keluarga dipindahkan ke pusat perlindungan sementara selepas sungai melimpah dan jalan raya tidak dapat dilalui.

Pihak berkuasa tempatan kini giat menjalankan operasi menyelamat, bantuan dan pemindahan penduduk dengan kerjasama agensi kerajaan serta unit kerajaan tempatan.

Menurut NDRRMC, jalan raya, jambatan dan kawasan pertanian di beberapa wilayah turut rosak, menjejaskan pengangkutan serta mata pencarian penduduk.

Gangguan bekalan elektrik dan masalah bekalan air turut dilaporkan di beberapa kawasan yang dilanda banjir.  

Pasukan penilai terus mengesahkan laporan dari kawasan terjejas ketika keadaan cuaca berubah-ubah.

Agensi berkenaan memberi amaran hujan sekejap-sekejap mungkin berterusan dalam beberapa hari akan datang, selain menggesa penduduk di kawasan rendah dan berisiko tanah runtuh supaya terus berwaspada serta mematuhi arahan pemindahan.

Operasi bantuan kerajaan turut diteruskan ketika pihak berkuasa berusaha memulihkan akses ke kawasan terjejas dan menyalurkan bantuan kepada keluarga yang dipindahkan.- ANADOLU

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search