24 hektar kebakaran hutan gambut di Betong berjaya dipadamkan
- Admin UKK
- Berita
BETONG, 23 Ogos: Kebakaran hutan gambut seluas 24 hektar daripada keseluruhan 30 hektar di Jalan Bungin, Serembang berjaya dipadam dalam operasi hari kedua hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari ini dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B bagi mengawal kebakaran serta menghalang api daripada merebak.
“Di Sektor A, pasukan menggunakan sebuah FRT dengan satu aliran dan satu nozel menerusi kaedah direct hit bermula dari bahagian tengah ke hadapan bagi mencegah kebakaran daripada merebak.
“Manakala di Sektor B, pasukan menggunakan sumber air terbuka dari parit dengan satu aliran dan satu nozel menerusi kaedah direct hit bermula dari bahagian tengah hingga ke belakang bagi mewujudkan fire break,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi akan diperluaskan kepada empat sektor iaitu Sektor A, B, C dan D esok bagi mempercepatkan usaha pemadaman.
Operasi hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula esok.
Kebakaran yang dilaporkan pada jam 2.44 petang semalam itu kini berbaki kawasan terbakar seluas kira-kira enam hektar.
Antara cabaran di lokasi ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui, ketiadaan sumber air di kawasan terbakar serta liputan GIRN dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.
Operasi melibatkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan kekuatan aset sebuah FRT, Hilux, EMRS, Urvan dan tangki air.-TVS
