PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

PdPR diteruskan walaupun sekolah tutup – JPNS

KUCHING, 12 Ogos: Walaupun sekolah ditutup sementara susulan jerebu yang semakin teruk, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian diteruskan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan hari ini berkata, pihak sekolah juga diminta memastikan komunikasi dengan ibu bapa dan penjaga berjalan lancar serta memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesihatan murid sepanjang tempoh penutupan.

“JPNS melalui PPD Serian akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS serta tidak bergantung kepada maklumat tidak rasmi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” kata kenyataan itu.

Sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah akan dibuat berdasarkan perkembangan bacaan IPU, keadaan semasa serta ketetapan dan panduan pihak berkuasa.

JPNS menegaskan keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan kekal menjadi keutamaan, justeru semua pihak perlu mengambil tindakan pantas dan tepat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko kesihatan akibat jerebu.-TVS

Jerebu terus memburuk

PETALING JAYA: Beberapa kawasan di seluruh negara terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi akibat jerebu rentas sempadan dengan Serian, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi, setakat 3.30 petang, hari ini. 

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), kawasan mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat ialah ialah Serian (204) manakala tidak sihat ialah Kuching (177), Samarahan (177), Sarikei (161), Bintulu (154), Sri Aman (158), Samalaju (120), Sibu (135) dan Miri (152).

Selain itu, kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Putrajaya (121), Cheras (122) dan Shah Alam (112).  

Sementara itu, sebanyak 50 kawasan iaitu seluruh negara merekodkan IPU pada tahap sederhana akibat jerebu rentas sempadan.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, manakala 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran hutan berskala besar sedang berlaku di wilayah Kalimantan, Indonesia sehingga mengakibatkan jerebu teruk berlaku di Kalimantan Barat.

Dianggarkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat Isnin lalu, dengan kerajaan meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran. -UTUSAN

Jerebu Lembah Klang bukan berpunca asap rentas sempadan

PETALING JAYA – Fenomena jerebu yang mula ketara di beberapa kawasan Lembah Klang ketika ini disahkan berpunca daripada faktor tempatan dan bukannya akibat pergerakan asap rentas sempadan dari Sumatera.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada pukul 11 pagi semalam hanya satu stesen mencatatkan bacaan tidak sihat.

“Hanya satu stesen mencatatkan kualiti udara tidak sihat iaitu di Putrajaya dengan bacaan 120 IPU, manakala lain-lain Kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan sederhana pada pukul 11 pagi tadi.

“Walaupun semalam dilaporkan terdapat 59 aktiviti titik panas di Sumatera, ia tidak signifikan dan tidak membawa kepada pergerakan jerebu rentas
sempadan ke negara kita,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Hisham berkata, berdasarkan rekod pemantauan cuaca Indonesia terkini, tiada laporan cuaca jerebu yang berlaku di Sumatra setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata, keadaan jerebu di Sarawak, khususnya Sri Aman, pula dipengaruhi faktor jerebu tempatan dan rentas sempadan.

“Model cuaca menunjukkan angin dari arah selatan telah membawa jerebu dari negara jiran di Kalimantan memasuki Sarawak, terutama kawasan selatan dan barat negeri itu.

“Bagaimanapun, berdasarkan arah pergerakan angin semasa dan jangkaan akan datang, cuaca berjerebu di Sarawak tidak akan bergerak ke arah Semenanjung,” katanya.

Mengulas kemungkinan keadaan jerebu di Lembah Klang bertambah buruk, beliau berkata, situasi berkenaan bergantung kepada faktor cuaca, arah pergerakan angin serta punca kebakaran tempatan sama ada dapat dikawal atau sebaliknya.

Katanya, asap daripada kenderaan dan aktiviti industri pengilangan turut menyumbang kepada keadaan berjerebu di Lembah Klang.

“Berdasarkan ramalan model cuaca terkini, hujan sementara masih dijangka berlaku di beberapa kawasan Lembah Klang pada waktu pagi bagi beberapa hari akan datang dan keadaan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan jerebu.

“Pada masa sama, sekiranya aktiviti kebakaran di Sumatera terus meningkat tanpa dikawal, terdapat kemungkinan jerebu rentas sempadan bergerak memasuki kawasan barat Semenanjung membabitkan Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Ini berikutan arah tiupan angin dari timur Sumatera menuju ke Semenanjung,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Indonesia padam empat kebakaran hutan, tanah di empat provinsi

JAKARTA: Indonesia berjaya memadamkan empat kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan keseluruhan kawasan seluas 16 hektar di empat provinsi.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dodi Yuleova berkata kejadian itu dilaporkan di Trenggalek, Jawa Timur; Sragen, Jawa Tengah; Cianjur, Jawa Barat dan Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan.

Beliau berkata kejadian terbaharu di Gunung Jabung, Trenggalek pada Selasa memusnahkan satu hektar kawasan sebelum berjaya dipadamkan kira-kira 8.15 malam.

Di Sidenreng Rappang, Sulawesi Selatan, tujuh hektar kawasan terjejas, manakala kebakaran seluas lima hektar di Sragen, Jawa Tengah, turut berjaya dipadamkan selepas dilaporkan pada Selasa.

Di Cianjur, Jawa Barat, kebakaran yang tercetus pada Isnin di Gunung Picung memusnahkan tiga hektar kawasan sebelum dipadamkan sepenuhnya pada Selasa.

"Susulan peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah, orang ramai digesa lebih berwaspada serta memainkan peranan dalam usaha pencegahan awal.

"Kebakaran hutan dan tanah bukan sahaja menyebabkan kerosakan alam sekitar, malah boleh menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam, kegiatan ekonomi serta kehidupan sosial masyarakat di kawasan terjejas," kata Dodi dalam kenyataan.

Sementara itu, daripada 34 titik panas yang dikesan sebelum ini di kawasan Gunung Bromo, satu masih aktif di Dingklik, Kabupaten Pasuruan setakat Rabu, dengan operasi pemadaman kini tertumpu di lokasi berkenaan.

Setakat semalam, kebakaran di kawasan Gunung Bromo dianggarkan menjejaskan seluas 889 hektar.

– BERNAMA

Cuaca kering tingkat risiko kebakaran hutan, jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Keadaan cuaca kering yang berterusan di kebanyakan kawasan selatan rantau ASEAN berpotensi meningkatkan kejadian titik panas, kebakaran hutan dan jerebu termasuk kemungkinan jerebu rentas sempadan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, fenomena El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya menyebabkan beberapa kawasan khususnya di selatan Semenanjung Malaysia serta bahagian barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan lebih rendah daripada purata.

Tambah NRES, kombinasi taburan hujan lebih rendah dan suhu lebih tinggi turut meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu, khususnya di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh panjang.

“Titik panas terpencil dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta di bahagian selatan dan timur Kalimantan. Beberapa titik panas turut dikesan di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Pulau Jawa dan Sulawesi.

“Kepulan asap sederhana diperhatikan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, manakala kepulan asap ringan diperhatikan di bahagian selatan Sumatera,”jelas NRES menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, berdasarkan pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos, sebanyak 12 titik panas dikesan di Malaysia, iaitu satu di Pahang dan 11 di Sarawak.

Sebanyak 60 titik panas pula dikesan di Sumatera, manakala 354 titik panas dikesan di Kalimantan.

NRES berkata, cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan rantau ASEAN, kecuali bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera yang diramalkan mengalami hujan.

“Keadaan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kejadian titik panas dan jerebu, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan,” tambahnya.

Sementara itu, di peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos 2026 bagi negara-negara di selatan rantau ini iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor-Leste.

Negara terlibat perlu mengemukakan pelaporan harian serta tindak balas kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu dan tindakan yang telah diambil.

NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau perkembangan cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu yang melanda negara dari semasa ke semasa. -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search