Hari paling panas dalam 100 tahun
- Admin UKK
- Berita
Beijing: Shanghai, pada Isnin, menyaksikan hari paling panas untuk Mei bagi tempoh lebih 100 tahun dengan suhu mencecah 36.1 darjah Celsius, meneruskan trend cuaca luar biasa panas di China sejak Mac lalu.
Beberapa wilayah selatan China dijangka dilanda cuaca panas melampau dalam beberapa hari akan datang, dan pakar cuaca meramalkan satu lagi musim panas dengan suhu harian yang tinggi.
Suhu tertinggi direkodkan oleh Biro Meteorologi Shanghai pada Isnin lalu mengatasi rekod untuk bulan Mei sebelumnya iaitu 35.7 darjah Celsius pada 1876, 1903, 1915 dan 2018, menurut statistik biro.
Suhu di rantau ini biasanya meningkat lebih tinggi pada bulan Jun, Julai dan Ogos.
Terdahulu, banyak kawasan di wilayah Sichuan, yang menempatkan lebih 80 juta orang, mengeluarkan amaran suhu tinggi, dengan beberapa kawasan mencapai suhu maksimum 42 darjah Celsius, lapor media tempatan.
Dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang, suhu maksimum di beberapa bandar di Sichuan, yang terletak di barat daya China, akan mencapai 38 darjah Celsius, dan mencecah 42 darjah Celsius di beberapa kawasan, menurut media kerajaan.
Pentadbiran Meteorologi China berkata, kebanyakan kawasan selatan China, termasuk wilayah Guizhou, Yunnan dan Sichuan, akan menyaksikan suhu meningkat melebihi 35 darjah Celsius, dengan beberapa kawasan mencecah 37 hingga 39 darjah Celsius.
China, yang terkenal dengan keadaan cuaca yang melampau, sebelum ini mengalami hujan lebat selama berminggu-minggu di beberapa wilayah.
Ribuan orang dipindahkan di timur laut wilayah Sichuan setakat Isnin, langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat di kawasan itu, kata pihak berkuasa tindak balas kecemasan tempatan.
Sementara itu, di kawasan perbandaran yang berjiran dengan Beijing iaitu Chongqing, pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko banjir pada hari Isnin, menjangkakan paras air di Sungai Jialing, anak Sungai Yangtze, meningkat kira-kira enam meter pada Selasa berikutan hujan lebat.
Rezeki cuaca panas
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini memberi hasil lumayan buat peniaga air terutama mereka yang berniaga di tepi jalan.
Peniaga, Mohd Fadzil Ismail, 55, mengakui musim panas ini menjadi lubuk rezeki buat mereka, berbanding hari biasa.
"Alhamdulillah, saya bersyukur disebabkan cuaca panas, jualan air saya laris cepat sehingga mencecah dua kali ganda berbanding hari biasa," katanya.
Menurutnya, waktu kemuncak pelanggan akan ke gerainya pada sebelah petang selepas anak-anak pulang ke sekolah.
"Jika dahulu, jualan air saya hanya sekadar empat ke lima balang, tetapi bila musim panas tiba, saya boleh menjualnya sehingga mencecah lapan ke sembilan balang sehari," katanya.
Seorang lagi peniaga, Juraimi Ngadul, 60, berkata, anggaran keuntungan kasar yang diperoleh dalam masa sehari lebih tinggi berbanding hari biasa dan musim hujan.
"Selalunya, pelanggan akan membeli satu atau dua cawan sahaja, tetapi sekarang mereka akan membeli empat cawan disebabkan faktor cuaca panas ini.
Sementara itu, Amran Birin, 58, berkata, jualan air kelapa di gerainya mendapat sambutan pelanggan disebabkan mereka mencari air yang boleh menyegarkan badan.
"Selain air kelapa, air cendol juga menjadi pilihan utama pelanggan di gerai saya pada musim panas ini," katanya.
Terdahulu media melaporkan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun. -HARIAN METRO
Bachok: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM400,000 untuk membina pam dan telaga tiub bagi mengatasi masalah air ketika musim kemarau.
Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu diambil bagi mengatasi masalah utama kepada pesawah yang kekurangan punca air untuk tanaman mereka.
"Kita sediakan pam-pam air ini terutama pada musim kemarau supaya petani dapat mengusahakan tanaman padi mereka.
"Sekiranya pam-pam ini belum mencukupi, kita akan pertimbang untuk menambah lagi pam seperti ini sebelum ada kaedah pengairan yang lebih sesuai pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas meninjau pam air di Kampung Kubang Telaga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata cuaca panas dan kemarau menyebabkan kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan masalah bekalan air apabila Rumah Pam Kemubu tidak dapat mengairi beberapa kawasan tanaman padi di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.
"Keadaan cuaca panas menyebabkan air Sungai Kelantan menyusut sekali gus Pam Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan 16,113 hektar tanaman padi di kawasan terlibat sejak hampir sebulan lalu.
"Sehingga kini, KADA menyediakan tiga pam khas iaitu di kawasan bendang Aur Duri (Kota Bharu Utara), Kg Keling (Kota Bharu Selatan) dan Sungai Kemasin (Bachok) bagi membantu mengairi sawah petani," katanya.
Mohamad berkata KADA juga telah mengagihkan hampir 500 pam mudah alih kepada petani di kawasan KADA.
"Dalam keadaan cuaca panas yang berpanjangan ini, KADA dan petani akan bekerjasama memastikan padi yang mula ditanam pada awal Januari dapat dikutip hasilnya menjelang Mei atau Jun ini.
"Saya ingin ucapkan terima kasih atas kesanggupan petani membina sistem paip sendiri bagi mengelakkan lebih banyak kerugian," katanya. -HARIAN METRO
KUALA KRAI: Fenomena cuaca panas melampau menyebabkan penduduk di jajahan ini mengambil langkah waspada dengan kerap minum air dan mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan terkena serangan strok haba.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mengakui situasi itu memaksa mereka untuk mengelakkan diri daripada berada di kawasan terbuka selain perlu lebih kerap minum air dalam kuantiti yang banyak.
Katanya, sejak awal Ramadan lepas, suhu panas terik dan bahang matahari sangat dirasakan sehingga membataskan kerja serta aktiviti harian.
“Cuaca panas ini sudah menjadi kebiasaan bagi saya yang bekerja sebagai buruh binaan, namun, cuaca kali ini agak luar biasa dan terlampu panas.
“Bahang panas ketika ini memeritkan sehingga saya perlu kerap berteduh bagi menghilangkan rasa panas dan keletihan selain minum air sekerap yang mungkin,”katanya ketika ditemui di Kampung Gatal, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang peniaga, Ismail Mohamad, 48, berkata, keadaan cuaca panas dilihat berisiko bagi golongan warga emas dan kanak-kanak.
Katanya, memandangkan cuaca panas ketika ini, dia sangat menitikberatkan kesihatan anak-anak dengan membekalkan air masak kepada anak-anak untuk dibawa ke sekolah.
“Jika sebelum ini mereka ke sekolah dengan menaiki basikal, namun sejak cuaca panas ini, saya mengambil keputusan menghantar mereka ke sekolah.
“Selain itu, saya mengehadkan aktiviti luar dan hanya benarkan mereka bermain-main di luar rumah selepas pukul 6 petang,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) atau tahap kuning bagi empat kawasan di Semenanjung.
Menurut data jabatan itu, empat kawasan berkenaan melibatkan Kuala Krai dan Pasir Mas di Kelantan; Rompin di Pahang dan Muar di Johor.
Tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. - UTUSAN
KUALA LUMPUR: Kos keseluruhan RM15 bilion projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang diumumkan kerajaan terdahulu, berjaya dikurangkan sehingga RM10.9 bilion oleh pentadbiran sekarang.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pendekatan yang digunakan kerajaan sekarang lebih baik dan telus, berbanding apa dilakukan kerajaan terdahulu iaitu menerusi pemberian tender secara terbuka.
"Dengan tiada lagi pemberian tender secara rundingan terus, beliau berkata kerajaan dapat mengawal kos dan langkah itu juga dapat menjaminkan setiap projek dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.
"Proses terbaharu ini, cara baharu, dipercepatkan macam pra kelayakan...tender yang kita buat. Kita nak cepatkan. Kalau nak buat sama ada reka dan bina atau tender terbuka konvensional, ia akan makan masa yang sangat lama.
"Pihak pembangkang juga tanya bila nak mula projek RTB. Jadi kita pun tahu projek itu sangat penting kepada rakyat. Justeru, kita nak cepatkan.
"Bezanya kali ini, kita buka lebih banyak syarikat untuk turut serta dan hasilnya kita mempunyai anggaran daripada pengurusan nilai kira-kira RM10.9 bilion berbanding RM15 bilion dahulu.
"Tetapi kita akan lihat bila kita lancarkan semua projek itu. Jumlah akhir iaitu anggaran awal yang kita ada tetapi di peringkat kerajaan, tidak ada lagi rundingan terus untuk membolehkan kos dikawal serta kita nak memastikan projek ini dapat dilaksanakan kepada rakyat sebaik mungkin" katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN di ibu kota, pagi ini.
Surat berupa maklumat sulit kerajaan dan fitnah berkaitan projek RTB berkepala surat Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang bocor baru-baru ini, antaranya menyatakan kos keseluruhan projek terbabit sebanyak RM10.9 bilion.
Melalui Bajet 2023, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi RTB sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang dalam usaha beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara.
Peruntukan itu dibentangkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Kewangan pada zaman pentadbiran terdahulu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion daripada keseluruhan RM15 bilion projek pengurusan banjir tidak diteruskan.
Menurut Perdana Menteri, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata pembaharuan kaedah pemberian tender berkenaan susulan pengumuman awal oleh Perdana Menteri.
Selain itu, pihaknya ada menerima maklum balas mengenai keperluan projek tebatan banjir di beberapa kawasan.
"Jadi ada diambil kira tetapi yang penting kalau dulu projek-projek ini walaupun ada beberapa cara perolehan yang dibenarkan Kementerian Kewangan, tetapi pilihan yang dibuat (kerajaan) dahulu ialah semuanya rundingan terus...hanya satu syarikat diberikan (tender)," katanya.