PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Pembenihan awam berjaya tingkat paras Empangan Air Itam

GEORGETOWN: Operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang yang dijalankan semalam, menunjukkan peningkatan air di Empangan Air Itam, di sini, susulan berlaku hujan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata setakat semalam, paras Empangan Air Itam pada tahap 48.6 peratus berbanding 47 peratus pada minggu lalu.

"Operasi pembenihan awan semalam boleh dikatakan berjaya kerana mencetuskan hujan dan ia membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam iaitu kira-kira lebih satu peratus, manakala paras air di Empangan Teluk Bahang kekal 44.2 peratus setakat semalam, sama dengan paras pada minggu lalu.

 "Kemungkinan kerajaan negeri akan memohon melaksanakan pembenihan awan lagi, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca terkini dan semasa.. jika sudah masuk musim hujan mungkin kita tidak perlu operasi pembenihan awan lagi," katanya di sini, hari ini.

Awal bulan lalu, media melaporkan simpanan Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala Empangan Teluk Bahang pula selama 146 hari, susulan cuaca panas melanda negara ketika ini.

 Setakat 8 Mei lalu, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada 48.1 peratus.

Susulan penurunan paras Empangan Air Itam dan Teluk Bahang itu, kerajaan negeri memohon bantuan menjalankan operasi pembenihan awan bagi mencetuskan hujan di kawasan tadahan air berkenaan.

Semalam, operasi kedua pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam dijalankan, sebulan selepas operasi pertama.

Sementara itu, Zairil berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mula memasang meter pintar di premis kediaman dan perdagangan di Pulau Pinang, bermula Khamis ini di sekitar kawasan Pulau Tikus dan Tanjung Tokong, seterusnya ke kawasan lain secara berfasa sehingga selesai sepenuhnya pada hujung tahun depan.

"Pemasangan dan penggantian meter dilakukan pihak juruteknik dan vendor TNB dengan setiap unit dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik ketika pemasangan dijalankan.

"Anggaran gangguan di antara 30 minit hingga satu jam bagi setiap unit dan setiap unit akan menerima notis pemasangan meter pintar dan borang B (gangguan bekalan elektrik) sebelum pemasangan dijalankan," katanya - BERITA HARIAN

 

13 mangsa banjir dipindahkan ke PPS

ISKANDAR PUTERI: Tiga bayi antara 13 mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah di sini yang diselamatkan dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan banjir kilat itu pada jam 12 tengah hari.

Menurutnya, kejadian membabitkan penduduk di Jalan Jeluntas 1, Kampung Baru Muafakat.

Katanya, seramai 19 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri dan Pekan Nenas ke lokasi kejadian dengan dua fire rescue tender (FRT) dan dua bot.

"Bomba memindahkan semua mangsa termasuk sembilan perempuan dewasa, seorang lelaki dewasa orang kurang upaya (OKU) dan tiga bayi.

"Operasi masih berjalan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaporkan, kejadian berlaku akibat hujan lebat melebihi satu jam dan mengakibatkan kawasan tanah rendah dinaiki air.

"Seramai 33 orang penghuni terdiri daripada tujuh keluarga terbabit dalam kejadian ini.

"Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Raya Gelang Patah dibuka pada jam 2.06 petang hari ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir," katanya. - BERITA HARIAN

Kerajaan negeri boleh mohon operasi pembenihan awan

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi pembenihan awam (OPA) boleh mengemukakan syor kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk dibuat penilaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan mengkaji terlebih dahulu kesesuaian lokasi serta ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan bagi menjamin kejayaan OPA.

Beliau berkata, pada hari ini, OPA dilaksanakan atas permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui penyelarasan antara Nadma, MET Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

“Operasi kali kedua ini diteruskan sehingga esok dengan menyasarkan sekitar Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di Pulau Pinang sebagai tindakan awal mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan itu.

“Setakat hari ini, Empangan Air Itam mencapai peratus kapasiti air sebanyak 48.6 peratus dan Empangan Teluk Bahang pula sekitar 44.4 peratus,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bagi melaksanakan OPA ini, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan MET Malaysia.

“Kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

“Operasi sama telah dijalankan di Pulau Pinang pada 2 hingga 4 Mei lalu dan berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan,” jelasnya. - KOSMO

Operasi benih awan di Pulau Pinang bermula hari ini

SUBANG - Operasi pembenihan awan (OPA) dijalankan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang selama dua hari bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi berkenaan bertujuan bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca yang dipengaruhi Monsun Barat Daya.

Menurutnya, operasi kali ini melibatkan kerjasama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebagai sebahagian daripada tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan tersebut.

"Objektif OPA kali ini dilaksanakan secara serampang dua mata yang bukan sahaja memastikan empangan air mempunyai kapasiti air secara kondusif dan mencukupi tetapi pada masa sama salah satu objektifnya dapat membantu sebagai salah satu pelan mitigasi dalam menangani impak kepada sektor pertanian.

"Itu sebabnya selain operasi pembenihan awan di kawasan empangan, kita juga mempertimbangkan berdasarkan kajian teknikal sekiranya ada keperluan untuk laksanakan operasi pembenihan awan itu di kawasan sungai," katanya kepada pemberita pada sidang media OPA di sini pada Isnin.

Pada 2 Mei lepas, TUDM dan MetMalaysia menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang serta Empangan Teluk Air Itam di Pulau Pinang bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan.

Sebelum ini MetMalaysia memaklumkan Monsun Barat Daya dijangka bermula 15 Mei dan berterusan sehingga September tahun ini dengan kelembapan udara lebih rendah.

Sepanjang tempoh tersebut, bilangan hari tanpa hujan lebih banyak dan fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, operasi berkenaan melibatkan pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan MetMalaysia.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa sungai disasarkan bagi menjalankan OPA namun setakat ini belum mempunyai keperluan untuk melaksanakannya.

"Dalam mesyuarat pengurusan bencana lepas, beberapa sungai disasarkan untuk kita lakukan OPA antaranya kawasan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.

"Jika ada kerajaan negeri yang mempunyai keperluan untuk melaksanakan OPA, mereka boleh kemukakan cadangan kepada Nadma dan penyelarasan akan dilakukan oleh MetMalaysia," ulasnya.

Tambahnya lagi, OPA dilaksanakan atas permohonan kerajaan Pulau Pinang melalui penyelarasan antara Nadma, MetMalaysia dan TUDM.

"Empangan Teluk Air Itam mempunyai kapasiti air sebanyak 48.6 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 44.4 peratus sekali gus ia berada di bawah paras ditetapkan iaitu 50 peratus.

"Jadi sebab itu kita ambil tindakan lebih proaktif di mana tak perlu menunggu keadaan lebih serius dengan laksanakan OPA kali kedua. Alhamdulillah, operasi OPA sebelum ini berjaya hasilkan hujan di kedua kawasan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan kos OPA melibatkan kerajaan negeri dan juga Nadma.

"Di Pulau Pinang, sebahagian besar kos tersebut ditanggung oleh kerajaan negeri. Mereka mempunyai peruntukkan sekiranya OPA terpaksa dilakukan.

"Fokus kita pula adalah untuk memastikan OPA yang dilakukan ini berjaya," jelasnya. - SINAR HARIAN

Operasi pembenihan awan jadi pelan mitigasi sektor pertanian

SUBANG – Operasi pembenihan awan (OPA) kini disasarkan menjadi serampang dua mata apabila turut menjadi pelan mitigasi kepada sektor pertanian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali, berkata, ia secara tidak langsung dapat menangani impak regim cuaca semasa kepada sektor itu.

“Kali ni diputuskan juga bahawa OPA ini dilakukan secara serampang dua mata ekoran monsun barat daya yang dijangka berlarutan sehingga September ini.

“Selain memastikan empangan-empangan air kita mempunyai kapasiti yang kondusif, dalam masa sama bertindak sebagai pelan mitigasi dalam menangani impak kepada sektor pertanian itu.

Namun katanya, kajian teknikal akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan sehingga kini, beberapa sungai disasarkan bagi tujuan tersebut.

“Dalam mesyuarat pengurusan bencana lepas, beberapa sungai disasarkan untuk kita lakukan OPA antaranya kawasan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.

“Setakat ni belum ada keperluan tetapi sebagai pelan mitigasi untuk bantu sektor pertanian yang terkesan dengan fenomena cuaca yang membawa cuaca panas dan kering,” katanya ketika sidang akhbar OPA kali kedua di Pulau Pinang, di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, di sini.

Hari ini OPA kali kedua akan dilaksanakan melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan TUDM di Pulau Pinang.

Armizan berkata, operasi itu diteruskan sehingga 13 Jun (esok), menyasarkan kawasan sama iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam bagi mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan tersebut.  – KOSMO

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search