PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Sri Aman diisytiharkan kawasan jangkitan rabies

KUCHING - Sri Aman menjadi bahagian terbaharu di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies selepas Kuching, Samarahan, Serian dan Bintulu, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, sehingga hari ini jumlah kematian keseluruhan adalah 71 daripada 78 kes rabies pada manusia sejak wabak itu diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, pengisytiharan itu telah dimaklumkan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Stephen Rundi Utom kelmarin susulan kes positif rabies haiwan baharu dikesan di bahagian itu, baru-baru ini.

"Sebanyak 29 kawasan masih kekal sebagai kawasan jangkitan rabies walaupun tiada haiwan positif rabies dikesan di kawasan tersebut pada tahun ini.

"Pengisytiharan ini adalah perlu bagi memastikan lebih banyak usaha membasmi rabies di bahagian terjejas oleh agensi berkaitan,”katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Pelan Tindakan Kawalan dan Pembasmian Rabies 2024-2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) di sini. - Bernama

39 mangsa, 9 rumah terjejas akibat ribut di Perlis

KANGAR - Sebanyak 39 mangsa membabitkan sembilan buah rumah di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis terjejas dalam kejadian ribut yang berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang Selasa.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, empat rumah rosak di DUN Sena akibat ribut itu manakala masing-masing satu rumah di DUN Tambun Tulang, DUN Chuping, DUN Beseri, DUN Santan dan DUN Bintong.

 

"Kejadian ribut yang berlaku semalam menyebabkan sembilan rumah kediaman mengalami kerosakan yang boleh dibaiki semula dan kesemua rumah ini telah disiasat dan telah diproses untuk pembayaran (bantuan),” katanya dalam kenyataan pada Rabu. 

Ku Chik berkata, pihaknya telah melawat mangsa 8 pagi tadi dan menyerahkan bantuan kit bencana selain barangan keperluan dan sumbangan daripada Petronas.

 Beliau berkata, pihaknya sedia menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa ribut sekiranya diperlukan. - Bernama

Pembenihan awan di Sabah dilaksanakan bermula esok

KOTA KINABALU - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mencadangkan operasi pembenihan awan dilaksanakan pada Khamis hingga Sabtu ini di kawasan yang terjejas di negeri ini akibat cuaca panas dan kering.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kos untuk pembenihan awan akan ditanggung sepenuhnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MetMalaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia serta bantuan teknikal untuk tujuan itu. 

"Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan," katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.

Tambah beliau lagi, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

 "Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah," katanya.

Bercakap mengenai masalah air yang dihadapi penduduk yang terjejas akibat kemarau berpanjangan ini, beliau telah mengarahkan supaya bekalan air diagihkan kepada 58,080 ketua isi rumah (KIR) merangkumi 355 kampung dalam 12 daerah di seluruh negeri. 

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama NADMA.

"Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk," ujarnya. 

Tambah beliau lagi, antara daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

"Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lalu dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan," katanya. 

Sementara itu, bercakap mengenai program dihadirinya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

Katanya, peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih, 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

"Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah. Kerajaan Negeri berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran," katanya.

Setakat 26 Mac ini, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas lebih 3,800 hektar di seluruh negeri dan daripada jumlah itu kira-kira 3.4 hektar kebakaran berlaku di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

NADMA buat pembenihan awan kurangkan panas kemarau di Sabah esok

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan yang terjejas akibat kemarau di Sabah, esok. 

NADMA berkata, OPA itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, OPA di Sabah ialah satu ikhtiar untuk mengurangkan kesan kemarau dan juga kekurangan air di beberapa kawasan terbabit.

"OPA akan dibuat sekitar jam 11 pagi hingga jam 2 petang, bergantung kepada keadaan cuaca semasa. 

"Antara kawasan yang terbabit dengan OPA termasuk Beaufort dan Papar," katanya kepada BH, hari ini.

Berdasarkan kemaskini status cuaca panas di laman sesawang METMalaysia setakat kelmarin, daerah Beaufort dan Kota Belud di Sabah antara kawasan yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga. 

Suhu panas tahap satu merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh rujuk laman sesawang https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/

Projek tebatan banjir buka peluang kepada kontraktor berpengalaman

kira-kira RM11.8 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk projek tebatan banjir melalui 33 projek berkeutamaan tinggi memberikan peluang kepada kontraktor yang berpengalaman dalam menjalankan kerja sedemikian, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata pelaksanaan projek tebatan banjir setakat ini menyaksikan tawaran subkontrak bernilai

RM95 juta kepada Varia Bhd daripada Kator Construction pada Januari lalu untuk melaksanakan projek tebatan banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam.

Sementara itu, beliau berkata TRC Synergy Bhd meraih kerja bernilai RM24 juta pada Disember 2023 daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mereka bentuk dan membina empangan tebatan banjir di Gombak, Selangor.

Katanya, Malaysian Resources Corporation

Bhd (MRCB) juga telah disenarai pendek untuk menjalankan kerja tebatan banjir di Selangor.

“Hal ini tidak mengejutkan kerana MRCB sedang menjalankan projek tebatan banjir Muara Sungai Pahang Fasa 3 bernilai

RM380 juta.

“Selain itu, Kimlun Corporation Bhd menyatakan niatnya untuk membida bagi projek tebatan banjir yang besar, kemungkinan bertempat di Johor memandangkan kumpulan ini mempunyai jejak kehadiran yang menonjol di negeri itu.

“Kami juga tidak menolak kebarangkalian untuk Rohas Tecnic Bhd meraih projek tebatan banjir pada masa terdekat.

“Hal ini kerana ia terbabit dalam kerja pembinaan stesen pengepaman bernilai RM85 juta di dua kolam penahanan air sedia ada dan pemasangan saluran paip air untuk menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Semenyih (WTP),” katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Bagi Sabah dan Sarawak, Adam berkata, Naim Holdings Bhd menonjol sebagai penerima manfaat daripada kerja tebatan banjir di Sarawak kerana ia terbabit dalam fasa 1 projek tebatan banjir Kuching (siap pada 2010) dengan jumlah RM149 juta.

“Jika diimbas kembali, fasa 2 projek tebatan banjir Kuching merupakan satu daripada 33 projek berkeutamaan tinggi dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Kerajaan percepat projek

Adam berkata, dalam satu laporan terbitan bersama Bank Dunia dan Bank Negara Malaysia (BNM), berdasarkan data sejarah, andaian satu kejadian banjir yang berlaku dalam tempoh 20 tahun boleh menyebabkan Malaysia akan kehilangan sehingga 4.1 peratus daripada Keluaran

Dalam Negara Kasar (KDNK), malah kadar pengangguran negara akan turut meningkat 2.2 mata peratusan seandainya tiada ikhtiar untuk penyelesaian.

“Oleh itu, kami menjangka Kerajaan Persekutuan akan mempercepat projek sebegini pada bulan mendatang,” katanya.

Di Malaysia, 983 kejadian banjir dilaporkan pada 2022 berbanding 1,057 kejadian pada 2021.

Bagaimanapun, projek tebatan banjir tetap menjadi aspek yang mustahak buat prasarana negara.

Selain fasa 2 projek tebatan banjir di Kuching, antara projek berkeutamaan tinggi lain disenaraikan dalam Belanjawan 2022 ialah Lembangan Sungai Pahang (Pahang), Fasa 2 Sungai Langat (Selangor), Sungai Jelai (Negeri Sembilan), Sungai Likas (Sabah), fasa 2 di Baling (Kedah) dan fasa 2 Sungai Kelantan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search