286 mangsa banjir utara Sarawak berlindung di PPS
- Admin UKK
- Berita
KUCHING: Seramai 286 di Limbang dan Lawas di utara Sarawak berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, empat PPS terbabit ialah Dewan Masyarakat Trusan, Lawas yang menempatkan 100 mangsa daripada 21 keluarga.
PPS Dewan Masyarakat Medamit, Limbang pula menempatkan 119 mangsa daripada 37 keluarga, PPS SJK C Chung Hwa, Trusan seramai 36 mangsa daripada 16 keluarga dan PPS SK Lintang Trusan seramai 31 mangsa daripada tujuh keluarga.
Banjir melanda beberapa penempatan di utara Sarawak sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan.
Sementara itu, dua PPS yang menempatkan mangsa tanah runtuh juga masih aktif hari ini.
PPS terbabit ialah Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya Teku, Sibu yang menempatkan 43 mangsa daripada 10 keluarga.
Satu lagi ialah PPS Dewan Kampung Sukan, Miri yang menempatkan 46 mangsa daripada 12 keluarga.