PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Lotus's Malaysia sumbang lebih RM100,000 kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) terus komited dalam membantu mangsa yang terkesan banjir baru-baru ini dengan menyalurkan bantuan bernilai lebih RM100,000 menerusi inisiatif #Kitakanjiran. 

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia Azliza Azmel berkata usaha itu adalah kesinambungan bagi bantuan misi banjir #kitakanjiran yang dilaksanakan sebelum ini dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) sebagai rakan logistik. 

“Kali ini kita menyediakan 500 pek kit pembersihan diri yang mengandungi kira-kira 20 jenis barang kepada mangsa banjir seperti pencuci pakaian, tisu tandas serta produk kebersihan diri termasuk ubat gigi, tuala, tuala wanita dan lampin bayi.

“Semua barangan ini disediakan mengikut cadangan BSMM yang lebih arif tentang keperluan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di dataran Lotus’s Kepong di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan tersebut akan dihantar ke tiga negeri yang terjejas iaitu Kelantan, Terengganu, dan Kedah dengan barangan tersebut akan dikumpulkan di ibu pejabat BSMM di sini sebelum diagihkan kepada mangsa banjir. 

“Walaupun mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing, kami tetap bertekad untuk menyediakan sokongan berterusan dengan menyampaikan kit bantuan ini kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Azliza berkata pek barangan itu sesuai untuk keperluan sebuah keluarga yang mempunyai kira-kira lima ahli keluarga dan ia mampu bertahan hingga sebulan. 

Beliau berkata 50 sukarelawan terdiri daripada warga Lotus’s Malaysia turun padang untuk membantu menyediakan pek dan mengangkat barangan bantuan tersebut sekali gus menyifatkan usaha itu sebagai sebahagian daripada komitmen mereka dalam membantu mangsa yang terkesan banjir.

Pada awal bulan ini, Lotus’s Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam menyalurkan bantuan barangan asas dan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di Rantau Panjang dan Tumpat. 

Selain itu, Lotus’s Malaysia juga turun padang menghulurkan bantuan di negeri-negeri Pantai Timur bagi membantu 51 rakan sekerjanya yang terkesan dengan bencana itu.

  •  oleh 

Daikin Malaysia hulur sumbangan RM150,000 ringan beban mangsa banjir di Pantai Timur

SUNGAI BULOH: Daikin Malaysia Sdn Bhd menerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah (PBSM) menghulurkan bantuan sebanyak RM150,000 bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Naib Presiden Pengeluaran Daikin Malaysia, Tan Yong Cheem, berkata sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Daikin Malaysia yang berterusan dan menunjukkan komitmen mendalam syarikat untuk membantu komuniti menghadapi kesusahan.

Katanya, pihaknya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan PBSM untuk membantu mangsa banjir kerana ia menunjukkan usaha mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Di Daikin, kami komited membantu komuniti yang memerlukan terutama mangsa banjir dalam kejadian baru-baru ini hingga menyebabkan ramai keluarga kehilangan tempat tinggal dan dalam kesusahan.

"Kami berharap sumbangan ini akan membantu meringankan beban mereka termasuk dalam menyediakan makanan, air bersih, bantuan perubatan dan barangan keperluan lain," katanya pada Majlis Penyampaian Cek di ibu pejabat Daikin Malaysia di Sungai Buloh.

Yong Cheem yang mewakili Daikin Malaysia menyampaikan cek itu kepada Setiausaha Agung PBSM, Tuan Haji Hakim Hamzah.

Hargai sokongan korporat

Sementara itu, Hakim berkata, pihaknya amat menyokong usaha syarikat korporat yang berusaha membantu mangsa banjir yang melanda negara.

Katanya, pihaknya amat berterima kasih atas sokongan Daikin Malaysia yang tepat pada masanya kerana bencana banjir telah menyebabkan kesukaran ketara kepada ramai mangsa.

"Dengan setiap bantuan diterima mangsa banjir, tidak kira apa jenis bantuan, ia sudah tentu membantu membuat perubahan dalam kehidupan mereka yang terjejas.

"Usaha oleh Daikin Malaysia dan syarikat korporat lain dalam menghulurkan sumbangan seperti ini sudah pasti akan membantu mereka membina semula kehidupan yang terjejas," katanya.

 

Coway hulur RM300,000 bantu mangsa banjir

Kuala Lumpur: Syarikat pengeluar kelengkapan rumah dari Korea, Coway tampil menghulurkan bantuan RM300,000 buat komuniti yang terjejas oleh banjir kilat, baru-baru ini. 

Langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Coway untuk membantu masyarakat yang terjejas terutamanya di kawasan paling terkesan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah serta negeri-negeri lain. 

Sumbangan itu disalurkan menerusi kerjasama bersama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dengan inisiatif untuk menyalurkan bantuan serta-merta kepada lebih 40,000 isi rumah, membabitkan hampir 137,000 mangsa banjir. 

Usaha bantuan ini juga diperluaskan ke 45 pusat komuniti di kawasan terjejas dengan menyediakan sumber dan sokongan penting untuk membantu keluarga serta komuniti setempat dalam proses pemulihan.

Antara bentuk bantuan yang disediakan adalah barangan keperluan asas seperti makanan, produk kebersihan dan peralatan mencuci seperti mesin penyembur air tekanan tinggi, mop, pembasmi kuman dan penyental lantai bagi membantu isi rumah dalam proses pembersihan kediaman serta kawasan persekitaran mereka. 

Dengan kepakaran BSMM dalam pengurusan bencana dan rangkaian sukarelawan yang meluas, kerjasama ini akan memastikan sumbangan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. 

Bantuan ini termasuk bekalan makanan, tempat tinggal sementara dan beberapa keperluan asas lain. 

Ketua Pegawai Eksekutif Coway Malaysia, Kyle Choi berkata, kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan mereka. 

"Kami berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup melalui produk, namun pada masa yang sama, kami juga bertekad menjadi tulang belakang bagi masyarakat ketika sukar.

"Banjir kilat ini telah menjejaskan ramai individu dan kami berharap sumbangan ini serta kerjasama bersama Bulan Sabit Merah Malaysia, ia dapat meringankan beban serta memberikan kelegaan yang amat diperlukan kepada keluarga yang terjejas." katanya. 

Sebagai syarikat yang komited kepada tanggungjawab sosial, Coway berjanji akan meneruskan usaha ini bagi memastikan rakyat Malaysia terus menerima sokongan yang mereka perlukan dalam mendepani waktu sukar.

 

JPS akan segera baik pulih tebing Sungai Kelantan

KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih segera tebing runtuh di Sungai Kelantan belakang kondominium Pelangi Mall, Jalan Pasar Lama di sini bermula Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pemakluman berhubung perkara itu disahkan oleh Pengarah JPS Kelantan, Dr Siti Fairus Zakaria melalui panggilan telefon.

“Saya dapat bercakap dengan Pengarah JPS Kelantan pagi ini dan beliau mengesahkan pelaksanaan kerja-kerja darurat iaitu baik pulih secepat mungkin akan dilakukan bagi mengelak runtuhan lebih teruk.

“Saya yakin tindakan akan dilakukan oleh JPS dengan mengikut prosedur operasi standard sama ada menggunakan teknik pemasangan jaring atau sebagainya serta akan melibatkan pakar,” katanya selepas menerima petisyen daripada Persatuan Penduduk Pelangi Mall yang memohon tindakan segara kerja-kerja pembaikian di tempat tebing runtuh di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pelangi Mall, Foo Chek Yee, berkata, sedikit lega dengan makluman itu selepas tertunggu-tunggu selama seminggu kejadian tebing runtuh sepanjang kira-kira 70 meter pada 16 Disember lalu.

Chek Yee memberitahu, seramai 1,600 penghuni di 420 unit kondominium itu bimbang kejadian runtuhan berulang dan lebih teruk kerana berada sangat hampir sekitar lima meter dari kawasan tempat letak kereta bertingkat serta loji kumbahan.

“Selebihnya 448 unit ialah lot kedai dan hotel yang semuanya risau keadaan menjadi lebih buruk jika tindakan membaik pulih tidak dilakukan dengan cepat.

“Ada penduduk yang sudah pun berpindah dan menumpang di rumah keluarga di tempat lain kerana berasa sudah tidak selamat untuk tinggal di kondominium 23 tingkat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Lanskap Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, Muhammad Faizuddin Muhammad Fadzil berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis pengosongan kepada penjaja di sekitar kawasan kaki lima tebing sungai di belakang kondominium itu.

“Mesyuarat diadakan pada Ahad dan memutuskan untuk memberi notis kepada kira-kira 40 peniaga supaya mengosongkan kawasan di tebing sungai ini.

“Notis akan dikeluarkan kepada mereka dalam tempoh minggu ini,” katanya. Kejadian lalu itu turut menyebabkan laluan pejalan kaki runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Kawasan tarikan pelancong itu juga diisytihar sebagai kawasan bencana oleh Kerajaan Kelantan sebelum ini.

Banjir: KDN jangka kumpul 150,000 naskhah al-Quran rosak untuk dilupuskan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan mengumpul kira-kira 150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dilupuskan mengikut syarak.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata setakat ini 55,000 naskhah telah dikumpulkan dengan hampir separuh daripadanya di negeri ini khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Bachok yang mempunyai lima pusat pengumpulan.

Beliau berkata inisiatif itu digerakkan menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Mufti Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak berkuasa tempatan.

“Inisiatif ini dimulakan sejak 4 Dis lepas dan dijangka berakhir sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL) dengan kita juga mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran di daerah terjejas banjir,” katanya kepada pemberita pada Program JEQ dan solidariti mangsa banjir di Masjid Taman Maka Utama, di Pasir Mas hari ini.

Nik Yusaimi berkata terdapat beberapa kaedah untuk melupuskan al-Quran mengikut syarak termasuk kaedah pengeringan dengan abunya dibentuk menjadi kiub sebelum dilepaskan di tengah laut.

“Selain itu, terdapat pelupusan menerusi kaedah dinyahdakwatkan melibatkan proses menghilangkan dakwat al-Quran sebelum kertas dihancurkan serta dikitar semula untuk dijadikan kulit naskhah al-Quran dan sebagainya.

“Berdasarkan pemerhatian, program ini mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat yang terjejas banjir kerana mereka menerima naskhah al-Quran baharu diperakui KDN secara percuma bagi menggantikan yang rosak,” katanya.

Nik Yusaimi mendapati masih ada segelintir pihak melupuskan al-Quran menerusi kaedah yang tidak mengikut syarak termasuk mengambil mudah dengan melupuskan kitab itu di tempat kitar semula.

“Kita berharap tindakan ini dihentikan, malah kerjasama semua diperlukan termasuk komuniti dan pengusaha pusat kitar semula supaya menghormati serta memuliakan naskhah al-Quran," katanya.

- Bernama

 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search