PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Banjir di Sibu masih terkawal walaupun paras air tunjuk trend peningkatan: Reside

SIBU: Keadaan banjir di sini masih terkawal, walaupun paras air menunjukkan trend peningkatan, kata Residen Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu itu memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di sini.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan tentera (ATM) sedang melakukan pemantauan sepanjang masa di setiap kawasan yang berisiko,” katanya kepada The Borneo Post semalam ketika diminta mengulas mengenai situasi banjir di sini.

Sementara itu, di Kanowit, Abang Mohamad berkata, satu PPS di Nanga Ngungun dibuka malam tadi untuk menempatkan ketua isi rumah (KIR) yang terdiri daripada 18 orang.

Hasil pemerhatian di Jalan Khoo Peng Loong pagi ini mendapati banjir telah surut walaupun paras air masih tinggi.

Sementara itu, apabila dihubungi malam tadi mengenai punca kemungkinan banjir, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu Rudi Abang Zamhari berkata fenomena air pasang besar yang berlaku serentak dengan hujan lebat di Sibu serta kawasan tadahan hulu Sungai Rajang menjadi punca utama.

Puasa sudah dekat, pedih hadap benda sama setiap tahun -Mangsa banjir

KOTA TINGGI – “Kawasan ini sudah jadi macam tempat air bertakung, lagi pun sudah dekat nak puasa Mac ini, kalau macam ini pedih juga rasa benda yang sama setiap tahun.

“Bukan itu sahaja, setiap kali banjir perabot dan barang elektrik dalam rumah akan rosak, letih macam ini,” luah Muhamad Aziq Abd Aziz, 24, yang merupakan mangsa banjir dari Taman Mawai di sini.

Menurutnya, penduduk di kawasan juga mengalami nasib sama setelah rumah mereka dinaiki air banjir sejak Jumaat lalu dan usaha perlu dilakukan pihak berkenaan dalam menangani masalah tersebut.

“Bila banjir, barang rosak dan hari ni orang (mangsa) banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan balik sekejap.

“Kita pun penat juga kalau macam ini tiap-tiap tahun,  ini kawasan banjir sebab yang dikorek hanyalah untuk dalamkan sungai dan bukan lebarkan sungai,” ujarnya lagi.

Seorang lagi penduduk, Abd Aziz Omar, 57, berharap banjir yang berlaku di kawasan berkenaan dapat ditangani segera bagi memastikan keselesaan penduduk.

Katanya, masalah banjir di kawasan berkenaan dikenal pasti berpunca masalah perparitan yang turut membuatkan pengaliran air tidak lancar ke sungai sekali gus menjadikan tempat mereka seperti kawasan tadahan air.

“Tindakan melebarkan Sungai Pemandi tanpa mendalamkannya telah menyebabkan pengaliran air di kawasan ini tidak lancar.

“Selain itu, selagi jambatan di jalan besar tidak dibesarkan, selagi itulah masalah banjir di kawasan ini akan terus berlaku,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hadiah Jaafar, 53, berkata, hujan yang lebat dan tidak berhenti bermula pukul 8 pagi Jumaat sepanjang hari dan mengakibatkan banjir.

Katanya, dia sudah mula mengemaskan barang-barang di rumahnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Masa mula hujan, saya sudah mula kemas sikit-sikit, bila tengok hujan kali ini lain macam. Barang-barang saya letak atas meja dan pada pukul 6 pagi air mula naik bukan dari sungai tapi dari kawasan belakang, Bukit Samsu tapi orang tak perasan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

Banjir Rompin, 35 berlindung di satu PPS

ROMPIN, 13 Januari - Sebanyak 35 keluarga di Kampung Jawa, di sini, diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi, ekoran kejadian air laut pasang besar.

Kejadian itu menjejaskan beberapa buah kediaman di sekitar Jalan Pantai 4, Kampung Jawa, Kuala Rompin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat kira-kira pukul 10.22 malam tadi.

"Berikutan itu seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi. Kesemua mereka dipindahkan ke tempat selamat iaitu di Balai Raya  Kampung Jawa," kata Zulfadli.

Paras air bagaimanapun didapati dalam keadaan berkurangan. Hingga pukul 10.30 pagi tadi, tiada pembukaan PPS di kawasan terbabit direkodkan secara rasmi hasil semakan menerusi aplikasi InfoBencanaJKM.

Mangsa banjir Terengganu meningkat 80 orang

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 80 orang melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa daripada 23 keluarga terbabit terpaksa berpindah setelah rumah mereka terjejas akibat fenomena air pasang besar sejak kelmarin.

“Seramai 66 mangsa daripada 19 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Geliga Pantai, Kemaman.

“PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun pula mempunyai 14 mangsa daripada empat keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, langkah berjaga-jaga sedang diambil memandangkan kawasan pesisir pantai negeri ini dilanda fenomena angin kencang dan air pasang besar sepanjang minggu ini. – KOSMO! ONLINE

Suami isteri, bayi terkandas kenderaan terperangkap banjir

SIBU: Sepasang suami isteri bersama bayi perempuan mereka terkandas apabila kenderaan dinaiki terperangkap dalam banjir di Jalan Lukut-Penyulau, Kanowit di sini hari ini.
 
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pasangan suami isteri berusia 41 tahun dan 29 tahun itu serta bayi berusia empat bulan berjaya diselamatkan.
 
Beliau berkata sebaik sahaja menerima panggilan pada 6.15 pagi, pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dengan kekuatan dua anggota bergerak ke lokasi.
 
"Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah kenderaan terperangkap dalam banjir. PKO bertindak menggunakan PPE Personal Floating Device (PFD) bergerak ke lokasi mangsa yang beranggaran jarak 130 meter.
 
"PKO meredah air sedalam 1.2 meter dan berjaya membawa keluar ketiga-tiga mangsa ke tempat selamat dan operasi ditamatkan pada 7.33 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
-- BERNAMA
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search