PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Angka kematian akibat Covid-19 di Bangladesh cecah 22 orang setakat bulan ini

DHAKA, 29 Jun: Bangladesh pada Sabtu merekodkan dua lagi kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian setakat bulan ini meningkat kepada 22 orang, lapor Xinhua.

Negara itu pada 5 Jun lepas merekodkan kematian pertama akibat COVID-19 tahun ini apabila seorang lelaki meninggal dunia akibat penyakit berjangkit itu di ibu negara Dhaka.

Bangladesh turut merekodkan tujuh kes baharu COVID-19 dengan kadar positif ujian harian melonjak kepada 3.87 peratus dalam tempoh 24 jam sehingga 8 pagi Sabtu waktu tempatan. Data rasmi menunjukkan sebanyak 174 sampel diuji dalam tempoh 24 jam lalu.

Berikutan peningkatan semula jangkitan COVID-19 di beberapa negara jiran, kerajaan sementara Bangladesh telah meminta rakyatnya untuk mengelakkan perjalanan ke destinasi berkenaan melainkan jika benar-benar perlu.

Pihak berkuasa di Bangladesh juga telah mengarahkan jabatan berkaitan untuk mempertingkatkan langkah saringan kesihatan dan pemantauan di semua pintu masuk bagi membendung penularan jangkitan.-TVS

Rumah, kenderaan rosak akibat ribut di Flat Taman Tun Sardon

GEORGE TOWN : Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah dan 11 kenderaan rosak akibat ribut kuat yang melanda kawasan Seri Delima, termasuk di Flat Taman Tun Sardon (TTS), Persiaran Besi dan Lengkok Bawah di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, beberapa pokok turut tumbang sehingga mengakibatkan berlaku kerosakan kepada tujuh unit rumah di kawasan Flat Taman Tun Sardon selain kerosakan kepada tujuh buah kereta dan empat motosikal.

“Syukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun, berlaku kerugian harta benda kerana kenderaan dan kediaman penduduk terjejas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau, ketika ini, tindakan segera telah diambil oleh skuad pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mengalihkan pokok-pokok yang tumbang termasuk kerja-kerja mengeluarkan kepingan zink yang tercabut.

Kata, Connie, pasukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pegawai-pegawai teknikal juga telah turun padang untuk membantu mangsa yang terlibat serta menilai kerosakan.

“Pejabat saya akan menilai semula kerugian yang dialami oleh penduduk dan melihat bagaimana bentuk bantuan boleh disalurkan. Saya juga telah minta Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) untuk mempercepatkan proses baik pulih rumah-rumah yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha MPKK Taman Tun Sardon, Nor Aniza Osman berkata, kejadian berlaku apabila angin kencang disertai hujan lebat menyebabkan bumbung blok AR dan AC Flat Taman Tun Sardon tercabut mengakibatkan limpahan air hujan menembusi tingkap dan menyebabkan kerosakan dalaman rumah, khususnya di tingkat empat.

Difahamkan, selain kawasan Seri Delima di George Town, ribut itu juga melanda beberapa kawasan lain di sebelah pulau selain kawasan tertentu di Seberang Perai. – UTUSAN

10 maut akibat tanah runtuh

BOGOTA, 25 Jun - Tanah runtuh akibat hujan lebat mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan lapan yang lain berhampiran bandar Medellin, Colombia.

Gabenor Antioquia Andres Julian Rendon memberi amaran kepada penduduk tempatan untuk berpindah kerana masih terdedah kepada tanah runtuh.

"Sekurang-kurangnya 15 orang masih hilang selepas tragedi itu yang berpunca daripada banjir di dalam gaung," menurut laporan media.

Imej yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan rumah tertimbus di bawah tanah di lereng gunung yang bersempadan dengan bandar kedua terbesar di Colombia.

Antioquia, yang terletak di barat Colombia Andes sering terjejas oleh tanah runtuh semasa musim hujan.

Sekurang-kurangnya lima orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di pinggir bandar Medellin, Sabaneta, bulan lalu.

80,000 penduduk dipindahkan banjir besar badai China

BEIJING: Lebih 80,000 penduduk di wilayah Guizhou, barat daya China, terpaksa dipindahkan selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar melanda kawasan berkenaan, menurut laporan media rasmi negara itu.

China ketika ini sedang menghadapi musim panas ekstrem dengan gelombang haba melanda sebahagian besar wilayahnya, manakala ribut petir dan hujan lebat membadai kawasan lain termasuk Guizhou.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, pasukan penyelamat digerakkan ke dua daerah di Guizhou selepas pihak berkuasa menaikkan tahap amaran kawalan banjir ke peringkat tertinggi.

Antara lokasi yang terjejas teruk ialah daerah Rongjiang, di mana sebuah padang bola dilaporkan tenggelam dengan paras air mencecah tiga meter.

Sehingga petang, sekitar 80,900 penduduk telah dipindahkan dari kediaman masing-masing, menurut laporan agensi itu lagi.

Rakaman yang disiarkan penyiar negara CCTV menunjukkan sebuah jambatan runtuh berhampiran bandar Kaili di mana pasukan penyelamat dilihat menggunakan bot untuk membawa penduduk meredah air keruh separas lutut, manakala sekumpulan kanak-kanak menunggu di sebuah tadika untuk dibawa keluar oleh petugas kecemasan.

Turut dipaparkan ialah persiapan sebuah pasukan penyelamat menggunakan dron bagi menghantar bantuan makanan termasuk beras kepada mangsa banjir.

Wilayah bersebelahan, Guangxi, turut dilanda banjir dengan petugas penyelamat kelihatan membantu memindahkan penduduk di beberapa lokasi yang dinaiki air.

Minggu lalu, puluhan ribu penduduk di wilayah Hunan di tengah China turut diarahkan berpindah selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Malah, hampir 70,000 penduduk di selatan negara tersebut telah dipindahkan beberapa hari lebih awal susulan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Wutip.

Pihak berkuasa China minggu lalu turut mengeluarkan amaran merah, tahap tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat negara itu bagi ancaman banjir besar di kawasan pergunungan melibatkan enam wilayah.

Fenomena cuaca ekstrem ini semakin kerap dan teruk dipercayai berpunca daripada perubahan iklim yang didorong oleh pelepasan gas rumah hijau.

China kini merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau di dunia, namun pada masa yang sama turut menjadi peneraju tenaga boleh baharu dan berikrar untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang tahun 2060.

Khemah diterbangkan ribut, 9 pelajar cedera ketika latihan kawad

TAMPIN – Sembilan pelajar perempuan cedera selepas terkena khemah yang diterbangkan angin ribut di tapak pasar tani Tampin pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 11 pagi itu berlaku ketika pelajar berkenaan sedang membuat persiapan untuk persembahan kawad kaki sempena Karnival Kawad Kaki Generasi Madani Sekolah Menengah Peringkat Daerah Tampin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, seramai 630 peserta dilaporkan terlibat dalam karnival yang dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin.

“Namun ketika para peserta sedang membuat persiapan untuk persembahan kawad kaki di khemah yang telah disediakan oleh pihak penganjur, telah berlakunya kejadian ribut.

 

“Sebanyak sembilan khemah telah diterbangkan ribut ke Tanah Perkuburan Kristian berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan sembilan pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun cedera.

Jelas beliau, seorang daripada mereka telah menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Pilah manakala lapan lagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tampin dan telah dibenarkan pulang.

“Laporan polis telah dibuat oleh PPD Tampin,” katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search