Tanah runtuh: Kepala ibu terbenam dalam tanah, leher terhimpit kayu
- Admin UKK
- Berita
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pasukan bomba mengambil masa hampir satu jam mengeluarkan kepala wanita yang terbenam di tanah dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap rumahnya di Kampung Lok Bunu, Sepanggar, di sini awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, mangsa wanita berusia 53 tahun itu terperangkap dalam rumah dan tidak sempat menyelamatkan diri kerana dipercayai sedang tidur.
"Mangsa terbenam di tanah pada kedalaman kira-kira 0.3 meter dan lehernya terhimpit dengan kayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum itu, Sinar Harian melaprkan seorang wanita maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, wanita itu berjaya dikeluarkan dari runtuhan tersebut namun disahkan meninggal dunia manakala anak lelakinya berusia 25 tahun sempat menyelamatkan diri.