PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Cuaca panas, bomba saran simpan alat pemadam api dalam kenderaan

IPOH - Sekurang-kurangnya satu alat pemadam api perlu disimpan dalam kenderaan sebagai langkah keselamatan susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kemudahan alat itu boleh digunakan bagi mengawal kebakaran membabitkan kenderaan sendiri atau membantu pengguna lain.

 

Menurutnya, rekod semasa menunjukkan kes kebakaran kenderaan semakin membimbangkan dalam tempoh dua bulan ini, termasuk melibatkan kenderaan elektrik (EV).

"Ada banyak faktor menjadi punca kebakaran. Bagi kenderaan EV ini, biasanya berpunca daripada pemanasan bateri.

"Jadi apabila berlaku kecemasan, alat pemadam api ini boleh digunakan untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga," katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Sayani berkata, berikutan cuaca panas, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan yang tinggi melibatkan kebakaran rumah, rumah kedai dan bengkel.

Katanya, jumlah meningkat antara 30 hingga 40 panggilan berbanding 20 panggilan sehari sebelum ini.

"Minggu ini saja, kita dah ada kebakaran besar melibatkan kilang di Simpang Pulai dan ada beberapa kes kebakaran struktur yang lain.

"Kebanyakan struktur terbakar ini adalah daripada binaan separuh kayu. Jadi dengan keadaan cuaca panas, memang cepatlah kadar kebakaran itu berlaku,” ujarnya.

Terdahulu, warga bomba Perak mengadakan gotong-royong menyediakan 1,000 bungkusan bubur lambuk dengan sebahagiannya diedarkan kepada orang ramai di Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah di sini.

 

Banjir: Kerajaan Melaka jamin kebajikan penduduk terjejas sepanjang Ramadan

MERLIMAU, 7 Mac- Kerajaan Melaka memberi jaminan kebajikan penduduk terjejas banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam bulan Ramadan ini terjamin.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, segala keperluan termasuk juadah berbuka puasa dan sahur disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kebajikan mereka yang terjejas terutamanya pada bulan ramadan ini.

"Jadi kita memang sentiasa alert, tetapi kita juga perlu bantuan daripada masyarakat supaya memberi kerjasama. Jangan takut berpindah ke PPS, kerana ia adalah lebih baik.

"Anda berpindah ke PPS, di sini kita akan menjaga segala kebajikan. Apa yang kurang, semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kawasan masing-masing ada, mereka juga akan datang melawat dan menziarahi semua penduduk terjejas.

"Jika terdapat kekurangan daripada segi makanan, seperti tiada sahur atau sebagainya, tetapi setakat apa yang kita lihat tadi, makanan telah pun kita sediakan untuk anak-anak yang tidak berpuasa, dan juga untuk juadah berbuka puasa.

"Kita akan sediakan," katanya ketika turun padang melawat penduduk terjejas banjir di PPS SMK Dang Anum, di sini.

Katanya, kerajaan negeri dalam proses menyelesaikan masalah banjir di Melaka melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sekitar negeri itu.

Dalam pada itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Melaka meningkat kepada 330 orang, setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Melaka, kesemua penduduk terjejas banjir itu ditempatkan di lima PPS di dua daerah negeri itu.

Lima PPS terbabit adalah tiga di daerah Jasin dan dua dibuka di daerah Alor Gajah.

"PPS SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Dang Anum, Merlimau di daerah Jasin menempatkan paling ramai penduduk terjejas iaitu 152 orang daripada 45 keluarga, diikuti  PPS SMK Dato’ Abdul Rahman yang menempatkan 107 penduduk terjejas daripada 31 keluarga.

"Sebuah lagi PPS yang dibuka di Jasin adalah PPS SK (Sekolah Kebangsaan) Parit Penghulu dengan lima penduduk terjejas daripada dua keluarga.

"Manakala dua PPS yang dibuka di daerah Melaka Tengah adalah PPS SK Seri Duyong yang menempatkan 43 penduduk terjejas banjir daripada 10 keluarga dan PPS SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) Malim dengan 23 penduduk terjejas daripada lima keluarga," menurut kenyataan itu.

 

Bomba selamat wanita, bayi terperangkap banjir

MELAKA - Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berjaya menyelamatkan seorang wanita dan bayinya yang terperangkap dalam banjir di Lorong Pandan, Taman Kesidang, di sini, pada pagi Khamis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, PBK l, Abd Rahim Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 8.15 pagi sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian pada jam 8.24 pagi, pasukannya mendapati seorang wanita berusia 41 tahun bersama bayi lelaki berusia satu tahun terperangkap dalam kediaman yang dinaiki air.

"Kerja-kerja menyelamat disertai seramai 12 anggota termasuk anggota Fire Rescue Tender (FRT) dan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Pasukan penyelamat segera membawa dua beranak itu ke lokasi selamat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Ujarnya, operasi menyelamat menghadapi sedikit kesukaran berikutan kesesakan lalu lintas di kawasan berhampiran, namun berjaya dihadapi dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Tambahnya, setakat ini, keadaan banjir masih dipantau dan orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan.

Ribut petir, hujan lebat diramal badai KL, 7 negeri sehingga 1 tengah hari

KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal membadai ibu kota selain tujuh negeri termasuk seluruh Melaka sehingga jam 1 tengah hari ini.

Selain kawasan Hilir Perak di Perak, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook berkata, cuaca itu turut dijangka berlaku di Selangor membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Di Negeri Sembilan katanya, cuaca itu diramal di Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin.

“Di Johor, cuaca sama dijangka berlaku di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala Sabah membabitkan Sandakan (Beluran) dan Kudat (Pitas dan Kudat).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

 

 

Berpuluh rumah di Sekinchan ranap akibat kejadian puting beliung

SEKINCHAN: Berpuluh rumah penduduk sekitar ban 1 dan ban 2, Parit 4 di sini, mengalami kerosakan teruk susulan kejadian puting beliung awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, kejadian angin kencang berputar itu menerbangkan atap dan bumbung kediaman penduduk rata-ratanya di kawasan sawah bendang.

Bencana ketika hujan lebat itu turut meranapkan deretan kedai, rumah inap desa dan bengkel jentera penanaman padi.

Berdasarkan video yang tular, angin puting beliung itu dilihat menerbangkan bumbung kediaman penduduk setinggi lebih 50 meter ke udara.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search