Bacaan IPU tidak sihat dicatatkan di empat lokasi
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Empat lokasi baharu di negeri Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 8 pagi tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Temerloh, Cheras, Kemaman, Bukit Rambai, menjadi lokasi baharu daripada sembilan lokasi yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Kawasan Alor Gajah, Melaka mencatat bacaan IPU tertinggi dengan 159, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (158); manakala Banting, Selangor (155); Johan Setia, Selangor (152) dan Putrajaya (123).
Empat lokasi baharu mencatat bacaan IPU tidak sihat adalah Temerloh, Pahang (156); Cheras, Kuala Lumpur (152); Kemaman, Terengganu (152) dan Bukit Rambai, Melaka (103).
APIMS turut mencatatkan, tiga kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik dan 56 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Terdahulu, media melaporkan jerebu rentas sempadan didapati sedang melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, laporan dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.
Menurutnya, ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu (di Malaysia) yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.