Tinjauan Operasi Pengurusan Bencana di Bachok, Kelantan
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Tinjauan Operasi Pengurusan Bencana di Negeri Kelantan | 25 November 2025
Selepas sesi lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Jajahan Tumpat, Ketua Pengarah NADMA telah mengunjungi PPS di Jajahan Bachok iaitu SK Pa’pura. Beliau telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Jajahan Bachok, YBrs. Tuan Haji Zaki b. Yusoff berkaitan situasi semasa banjir khususnya di Jajahan Bachok.
PPS Pa’Pura mula beroperasi pada 21 November 2025 yang menjadikan jumlah tujuh (7) PPS secara keseluruhan dibuka di Jajahan Bachok. Jumlah mangsa yang berpindah boleh dikatakan telah berkurangan dengan penurunan angka mangsa yang berkait rapat. YBrs. Tuan Haji Zaki juga menjelaskan bahawa banjir di Jajahan Bachok adalah disebabkan taburan hujan yang sangat lebat bermula pada 20 November 2025 dan berterusan untuk beberapa hari berikutnya.
Pada masa yang sama, Ketua Pengarah NADMA turut sempat menyantuni mangsa-mangsa yang berada di PPS berkenaan.Sebelum berangkat pulang dari Kota Bharu, beliau sempat menyantuni pegawai-pegawai SMART yang bersedia untuk penugasan penyelamatan mangsa di Kelantan. Pasukan ini telah tiba di Kota Bharu sejak semalam dan bersedia di Kem PGA, Batalion 8 di Pengkalan Chepa, Kelantan. Pada kesempatan ini, beliau sempat menyampaikan amanat serta mengingatkan kepada semua anggota pasukan untuk bersiap siaga pada semua kemungkinan yang berlaku sejajar dengan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga 27 November 2025.
