Pemerkasaan Belia Profesional Asia Pasifik dalam Pengurusan Risiko Bencana Serantau
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Pemerkasaan Belia Profesional Asia Pasifik dalam Pengurusan Risiko Bencana Serantau | 21 hingga 23 Oktober 2025 | Palm Garden Hotel, Putrajaya
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melalui Pusat Penyelidikan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) dengan kerjasama Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) serta rakan penganjur Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah berjaya menganjurkan HOPE Workshop 2025: APEC Young Professionals in Disaster Risk Management.
Program selama tiga hari ini menghimpunkan 77 orang peserta terdiri daripada pegawai dasar, perancang ekonomi, pendidik, pegawai perubatan, dan profesional muda mewakili pelbagai ekonomi APEC. Ia turut disokong oleh 34 urus setia merangkumi penceramah, pakar bidang khusus, pengurus bencana, pentadbir, dan sukarelawan muda. Matlamat utama program ini ialah untuk memperkukuh pemahaman, keupayaan serta kerjasama merentas sektor dalam bidang Pengurusan Risiko Bencana (DRM).
Berbeza daripada bengkel pembinaan kapasiti APEC yang lazim, HOPE Workshop 2025 dirangka sebagai platform inklusif bagi memperkasa belia profesional dan bakal penggubal dasar yang akan menerajui pengurusan risiko bencana di peringkat tempatan dan serantau. Dengan bimbingan pakar dari Jepun, Indonesia, Thailand, Austria dan Malaysia, para peserta didedahkan kepada pelbagai topik termasuk rangka kerja DRM, pendekatan pengurusan bencana yang berkesan, kemampanan program komuniti, penggunaan media sosial dalam membina daya tahan komuniti serta strategi pembangunan dasar yang lebih inklusif.
Sebagai tuan rumah dan peneraju utama inisiatif ini, Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkasa golongan belia untuk membentuk dasar yang berkesan, inklusif dan mampan. HOPE Workshop 2025 mencerminkan peranan aktif Malaysia dan UPNM dalam menyokong visi serta rangka kerja serantau ke arah komuniti Asia Pasifik yang lebih selamat dan berdaya tahan.
