Lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan AHA Centre, Sempena Lawatan Rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Jakarta, Indonesia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan AHA Centre, Sempena Lawatan Rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Jakarta, Indonesia | 21 April 2025
YAB Dato' Seri Dr.Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah mengadakan Lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) bagi tujuan kunjungan hormat ke atas agensi berkenaan yang juga merupakan agensi pengurusan bencana Indonesia.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, Ketua Pengarah NADMA, Pengerusi MARA dan Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyampaikan ucapan pembukaan yang turut menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama khususnya dalam pengurusan bencana di antara Malaysia dan Indonesia dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang menyebabkan pelbagai bencana baharu muncul.
Semasa lawatan tersebut, Kepala BNPB, Letjen TNI Dr. Suharyanto telah menyampaikan pembentangan mengenai jenis-jenis bencana yang kerap berlaku di Indonesia serta inisiatif pencegahan, pasca bencana dan teknologi sistem amaran awal (EWS) yang digunakan di Indonesia.
Delegasi Malaysia turut dibawa melawat ke Pusat Pengendalian Operasi (Pusdalops) BNPB. Antara fungsi Pusdalops adalah menerima laporan bencana daripada pelbagai sumber, seperti orang awam, media, atau agensi berkaitan; memproses maklumat bencana untuk menentukan keutamaan, skala dan kesan bencana; menyelaraskan tindak balas bencana, termasuk menggunakan sumber dan kakitangan yang diperlukan dan memberi maklumat kepada orang ramai dan media mengenai situasi bencana.
Sesi lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah diteruskan ke AHA Centre. Delegasi Malaysia dibawa ke ASEAN Emergency Operation Centre (EOC) yang berfungsi sebagai lokasi pusat dalam memantau bencana dan menyelaras tindak balas kolektif ASEAN terhadap bencana. Pihak AHA Centre turut memberikan taklimat berhubung tindak balas AHA Centre semasa kejadian gempa bumi yang berlaku di Myanmar pada penghujung Mac 2025.
Melalui lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke BNPB dan AHA Centre, diharapkan dapat memperkukuh kerjasama, menambahbaik perkongsian maklumat serta kepakaran teknikal dalam penambahbaikan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana antara kedua-dua negara.