Sesi Perbincangan Pemuktamadan Memorandum Kerjasama dan Lawatan daripada Disaster Management Bureau, Cabinet Office, Government of Japan ke Markas Pasukan SMART
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
23 Februari 2025 - Telah berlangsung Sesi Perbincangan Pemuktamadan Memorandum Kerjasama dan Lawatan daripada Disaster Management Bureau, Cabinet Office, Government of Japan ke Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong.
Di pihak Jepun, sesi ini telah dihadiri oleh Mr. Kita Katsuhiko, Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa dan diiringi oleh Ms. Fukusumi Naho, Timbalan Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa. Manakala di pihak NADMA, ianya diketuai oleh Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan bersama pegawai-pegawai daripada Seksyen Dasar dan Perancangan, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Pasukan SMART.
Sesi perbincangan ini telah memfokuskan kepada pemuktamadan Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Jepun dalam bidang pengurusan bencana. Susulan itu, wakil Jepun telah diberikan taklimat berkenaan tugas dan keupayaan NDCC dan Pasukan SMART serta dibawa melawat ke Pusat Simulasi Bencana Negara untuk mempamerkan fasiliti, modul latihan dan keupayaan Pasukan SMART sebagai persediaan pasukan bagi menghadapi bencana-bencana di Malaysia.
Kedatangan wakil daripada Disaster Management Bureau, Cabinet Office, Government of Japan ini merupakan susulan lawatan TYT Ishiba Shigeru, Perdana Menteri Jepun ke Malaysia pada 9 & 10 Januari 2025. Sewaktu pertemuan TYT Ishiba ke atas YAB Perdana Menteri, beliau telah mengutarakan pandangan bahawa Jepun dan Malaysia berpotensi untuk bekerjasama dalam bidang pengurusan bencana dan menyatakan kesediaan Kerajaan Jepun untuk menawarkan bantuan seperti pertukaran kepakaran dan kerjasama teknikal kepada Malaysia. YAB Perdana Menteri menyambut baik cadangan tersebut dan menyatakan kesediaan NADMA untuk menerokai potensi kerjasama dalam bidang tersebut.