Mesyuarat Penyelarasan Berkenaan Sistem Amaran Awal (Early Warning System - Ews) di Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
MESYUARAT PENYELARASAN BERKENAAN SISTEM AMARAN AWAL (EARLY WARNING SYSTEM - EWS) DI MALAYSIA | 6 Disember 2024
Telah berlangsung satu Mesyuarat Penyelarasan Berkenaan Sistem Amaran Awal (Early Warning System - EWS) di Malaysia yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan keperluan bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan sistem amaran awal sedia ada atau sistem amaran awal yang diperlukan pada masa hadapan sebagai usaha dalam memberikan maklumat dan ramalan yang tepat serta berkesan kepada masyarakat dengan matlamat untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda akibat bencana.
Mesyuarat ini juga sejajar dengan Sasaran Utama & Tindakan ke-6 yang digariskan di dalam Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 (DRR) dan perkara yang dirancang melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas iaitu untuk meningkatkan ketersediaan akses kepada sistem amaran awal kepada masyarakat.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Meor Ismail bin Meor Hakim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Encik Ir. Hanizan bin Deraman, Pengarah Seksyen Mitigasi, Encik Jefny bin Muhammad, Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial dan Encik Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).
Selain itu, turut hadir ke mesyuarat ini adalah dari agensi dan jabatan teknikal yang berkaitan terdiri daripada Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta wakil -wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).