Sesi flag-off Skuad Ihsan Madani NADMA-APM ke Negeri Kelantan
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
6 Disember 2024 - Mesyuarat Penyelarasan Skuad Ihsan Madani telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi). YBrs. En Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA telah hadir selaku wakil Sekretariat Pengurusan Bencana Pusat dan membentangkan laporan semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 serta fokus utama MTL ketika ini. Beliau juga turut membentangkan Laporan Pergerakkan NGO di lapangan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri sepertimana tahun lepas, akan menjadi focal point untuk mengaturgerak Sukarelawan Skuad Ihsan Madani mengikut keperluan di lapangan. APM juga membentangkan perancangan dan aturgerak Skuad Ihsan Madani. Mesyuarat turut diingatkan agar sukarelawan memastikan keperluan kendiri disediakan terlebih dahulu seperti makanan, penginapan, logistik dan alatan bantuan sebelum turun ke lapangan dan mematuhi arahan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan Negeri yang terkesan.
Ketua Pengarah APM dan wakil NADMA telah melepaskan Skuad Ihsan Madani NADMA-APM ke Negeri Kelantan bagi misi bantuan banjir sebagai lambang solidariti dan keihsanan penjawat awam kepada mangsa yang terkesan. YBrs. Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana pada petang ini turut dijadualkan untuk mempengerusikan mesyuarat bersama NGO-Sukarelawan Rakan NADMA bagi mengaturgerak bantuan pasca banjir serta perancangan awal Rakan NADMA dalam misi Ihsan Madani menghadapi gelombang kedua.