PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Empat kawasan di Kelantan alami cuaca panas Tahap Dua

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan kawasan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan merekodkan status cuaca panas Tahap Dua atau gelombang haba, hari ini.

Menurut METMalaysia, cuaca panas Tahap Dua dikeluarkan bagi suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Ia selaras rekod bacaan yang dikemas kini agensi itu setakat jam 4.30 petang tadi. Berdasarkan maklumat itu,  11 kawasan di Semenanjung mencatatkan status cuaca panas Tahap Satu. Kawasan terlibat ialah Baling di Kedah; Hulu Perak di Perak; Jeli, Pasir Puteh dan Kota Bharu di Kelantan; Terengganu (Besut, Hulu Terengganu dan Setiu) serta Raub, Rompin dan Temerloh di Pahang. 

Di Sabah pula, hanya Kota Marudu merekodkan status cuaca panas Tahap Satu.

Status cuaca panas Tahap Satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk kepada https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas.

DASAR PENGURUSAN BENCANA NEGARA AKAN DISEMAK SEMULA -

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Dasar Pengurusan Bencana Negara akan disemak semula bagi meningkatkan daya tahan serta mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan negara dalam menguruskan bencana dengan lebih baik. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri bagi semakan semula dasar itu, yang sekali gus dapat memastikan ancaman bencana negara berada pada tahap minimum. “Sebagai usaha permulaan terhadap hasrat itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks. “Pindaan Arahan MKN No. 20 dijangka memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM5 juta yang disediakan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN). Beliau berkata ia bagi pelaksanaan program serta latihan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti untuk menghadapi bencana termasuk program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) dan untuk digunakan oleh agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana. Secara keseluruhannya, Ahmad Zahid berkata sepanjang musim MTL lepas, sebanyak 27,505 keluarga dan 92,534 mangsa telah Katanya, jumlah mangsa juga adalah jauh lebih rendah berbanding 2022 iaitu 251,799 mangsa yang dipindahkan. Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, badan bukan kerajaan dan pihak media yang terlibat sepanjang musim MTL 2023/2024. Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin.

Gempa bumi kuat landa Taiwan

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 7.3 pada skala Richter melanda Taiwan pada jam 7.58 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan pusat gempa bumi itu terletak di 130 kilometer (km) tenggara dari Taichung, Taiwan dengan kedalaman 47 km.

 

"Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia," menurut kenyataan yang dimuat naik melalui laman web jabatan itu. - Bernama

7 projek RTB di Johor dijangka siap 2 tahun lebih awal

KOTA TINGGI: Tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Johor yang dijadualkan siap pada 2029, dijangka boleh siap dua tahun lebih awal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata bagi memastikan pelaksanaan projek berimpak tinggi itu dipercepat dan tidak mengalami kelewatan, ia akan dimasukkan ke dalam 'task force'.

 

"Semua projek RTB sudah bermula, tahun ini. Ada yang bermula dari segi fizikal dan reka bentuk.

"Harapan kita ialah ia dapat disiapkan cepat kerana projek itu membabitkan ratusan ribu rakyat Johor yang terkesan akibat banjir," katanya pada sidang media selepas melawat projek RTB Sungai Johor, di sini. Antara projek RTB terbabit ialah pembinaan kolam takungan banjir dan menaik taraf Sungai Johor di Kota Tinggi; tebatan banjir di Bandar Batu Pahat dan Sungai Batu Pahat di Seri Medan; serta projek memperkukuh struktur dan fasiliti empangan tebatan banjir di Empangan Sembrong.

Johor mungkin catu bekalan air bersih dan lakukan pembenihan awan jika tiada hujan hingga bulan depan

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri Johor tidak menolak kemungkinan akan melakukan catuan bekalan air bersih di beberapa daerah sekiranya tiada hujan hingga akhir bulan depan.

Ia susulan tiga empangan di dua daerah di negeri itu tidak menunjukkan peningkatan paras takungan air dan bekalan yang ada hanya mampu bertahan selama 55 hari sekiranya paras takungan di bawah paras kritikal.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastuktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri juga akan menimbang untuk melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan semakin meruncing. Katanya, tiga empangan terbabit ialah empangan Bekok dan Sembrong Barat di Batu Pahat dan empangan Machap di Kluang. 

Mengikut rekod yang dikemaskini Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) pada 25 Mac lalu, Empangan Bekok mencatat takungan semasa pada paras 15.81 meter berbanding paras kritikal 12.69 meter. Empangan Sembrong Barat pula mencatat paras semasa 8.32 meter berbanding 7.36 meter paras kritikal.

Sementara empangan Machap di Kluang mencatatkan paras takungan semasa pada 14.88 meter berbanding paras kritikal 14.84 meter.

Satu lagi empangan yang mencatat paras semasa yang rendah adalah empangan Gunung Ledang iaitu pada 306 meter berbanding paras kritikal 305.04 meter.

Sekiranya paras bekalan berada di bawah paras kritikal bekalan yang ada hanya mampu bertahan selama 11 hari.

“Sekiranya hingga 30 April tak ada hujan yang turun, kita jangkakan kita ada lebih kurang 55 hari. Kalau 30 April masih tak ada hujan tapi empangan tu masih boleh digunakan tapi setakat 55 hari. Sama ada pembenihan awan walaupun kita tahu dia bukanlah solution yang terbaik dan mungkin terpaksa ada pengolahan semula bekalan air kita ni” katanya selepas melawat projek tebatan banjir di Kota Tinggi, pagi tadi.

Tambahnya, 12 empangan lagi di negeri itu masih berada pada tahap yang terkawal dan langkah penggunaan air secara optimum telah diaktifkan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Bukit Pasir itu menambah, hingga kini sebanyak 150 lokasi sedang dipantau bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air sempena sambutan Aidifitri 8 hari lagi.

Antara perancangan yang dilakukan ialah menyediakan tangki-tangki air statik di kawasan terbabit bagi membolehkan bekalan air bersih disalurkan kepada orang ramai menggunakan lori.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search