PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

NADMA mula operasi pembenihan awan selama tiga hari di Sabah

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sabah, dengan menyasar tiga daerah yang terjejas kemarau iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Operasi dijalankan tiga hari hingga 30 Mac ini dengan kerjasama Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan setelah NADMA menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Bagi melaksanakan OPA, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan MetMalaysia.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata OPA dibuat dalam usaha menyediakan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas. 

"Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan 58,080 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 355 kampung dalam 12 daerah di Sabah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

"Sejumlah RM7.5 juta diperuntukkan bagi menampung kos penghantaran bekalan air dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah NADMA," katanya. 

Khairul Shahril menggalakkan kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini agar mengemukakan cadangan kepada NADMA untuk dibuat penilaian.

Beliau berkata, kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA.

"Kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

"Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran. Impak fenomena cuaca panas dan kering semasa peralihan Monsun Timur Laut turut membabitkan beberapa kawasan di Sabah.

"Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok," katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan hari ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

Katanya, NADMA selaku agensi peneraju pengurusan bencana negara mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama di tanah gambut untuk menghindari pencemaran udara (jerebu).

"Golongan yang berisiko terkena strok haba dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah, minum air secukupnya dan ambil langkah-langkah pencegahan yang perlu, selain sentiasa cakna dengan maklumat kekal sihat ketika musim panas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi maklumat berkenaan cuaca, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari METMalaysia serta sentiasa peka serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Pembenihan awan tumpu tiga kawasan di Sabah

KOTA KINABALU - Pembenihan awan yang dilaksanakan bermula Khamis menumpukan tiga kawasan utama iaitu di pantai barat dan pantai timur Sabah.

Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin memaklumkan bahawa Ibu Pejabat MetMalaysia ada menerima permohonan daripada kerajaan Sabah untuk melaksanakan pembenihan awan tersebut. 

Menurutnya, mesyuarat untuk pelaksanaan proses pembenihan awan itu telah dilakukan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bagaimanapun, tempoh hari ia tidak boleh terus dilakukan kerana keadaan cuaca yang kering. Apabila kajian dibuat tarikh 28, 29 dan 30 Mac mempunyai udara yang lembab sesuai untuk tujuan pembenihan awan.

 "Jadi kita memutuskan tarikh tersebut untuk dilaksanakan pembenihan awan yang dimulakan hari ini yang secara amnya dilakukan di tiga kawasan utama iaitu dua di pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan manakala satu lagi di Papar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, keupayaan pesawat TUDM hanya mampu memuatkan sekitar empat tangki air bancuhan untuk tujuan proses pembenihan awan tersebut. 

"Jadi empat tangki itu secara asasnya kami anggarkan mungkin cukup untuk dua daripada tiga kawasan tersebut. Setiap satu tangki membabitkan bancuhan sebanyak 1,500 liter air dan 200 kilogram garam.

"Keseluruhannya untuk empat tangki air terdapat 6,000 liter air dan 800 kilogram garam yang digunakan untuk tujuan pembenihan awan tersebut," katanya. 

Ahmad Fairudz bagaimanapun berkata, proses itu tetap bergantung dengan keadaan cuaca lembab dan angin di lapangan mengikut taklimat akhir sebelum pelaksanaannya.

"Jadi hari ini bergantung pada keadaan di lapangan dan juga taklimat akhir. Semua bergantung dengan keadaan, jika ada awan terbentuk dan faktor angin maka jam 11 pagi pesawat bolehlah diterbangkan untuk melakukan proses tersebut," jelasnya. Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkongsi di laman Facebook miliknya bahawa Pasukan Operasi Pembenihan Awan Sabah telahpun berlepas dari Labuan untuk proses pembenihan awan di negeri ini.

Fenomena Lahaina Noon

KUALA LUMPUR: Negara sedang mengalami fenomena Lahaina Noon, iaitu bayang-bayang seseorang hampir tidak kelihatan yang diunjurkan berlaku pada jam 1.18 tengah hari.

Tinjauan di Dataran Merdeka menyaksikan rata-rata pengunjung luar dan tempatan kurang menyedari mengenai fenomena berkenaan, sebaliknya mereka melakukan kegiatan biasa dengan merakam gambar sebagai kenangan.

Dalam masa yang sama, kemungkinan keadaan awan yang ada kalanya mendung dan panas pada waktu tertentu tidak dapat menunjukkan dengan jelas keadaan bayang-bayang hampir tiada ketika itu.

Bagi pelajar, Adlina Johari, 21, beliau tidak menyedari perubahan dan fenomena berkenaan memandangkan cuaca ketika ini panas seperti biasa. 

"Setiap hari saya rasakan sama saja memandangkan cuaca ketika ini panas dan ada kalanya mendung sekejap.

"Bagaimanapun saya teruja apabila mengetahui berkenaan fenomena ini dan akan cuba untuk melihat bagaimana keadaan apabila tiada bayang-bayang itu,"katanya kepada BH, di sini, hari ini. 

Rata-rata pengunjung yang berada di situ merakam gambar dan kebanyakannya pengunjung luar seperti dari China.

Fenomena Lahaina Noon yang berlaku dua kali dalam setahun meliputi kawasan yang terletak di antara garisan Sartan dan Jadi.

Secara geografi asas, Sartan atau Tropic of Cancer serta lawannya, iaitu Jadi atau Tropic of Capricorn terletak masing-masing garisan latitud 23 darjah utara dan 23 darjah selatan.

Kedua-duanya had lingkungan maksimum zenith dan turut berlaku di Makkah apabila matahari melintasi tepat atas Kaabah yang dirujuk falak sebagai Istiwa A'dzam.

Sementara itu, di Masjid Putra pula ia akan menyaksikan bayang-bayang seluruh dunia menghala tepat di menara masjid ikonik Putrajaya itu tiga minit sebelum azan Zohor.

Kemarau: Kerajaan Kelantan gali 100 telaga tiub bantu pesawah

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menggali 100 buah telaga tiub bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang menghantui pesawah di negeri ini akibat kemarau.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan peruntukan penuh daripada pihak kerajaan Kelantan.

"Antara kawasan sawah yang terlibat ialah Salor (Kota Bharu), Pasir Puteh, Jelawat dan beberapa lagi lokasi lain yang turut terkesan dengan masalah tersebut.

"Kerja-kerja ini dilakukan secara berperingkat-peringkat. Hal ini kerana, Kelantan berdepan dengan tenaga kerja untuk melakukan tugas tersebut buat masa ini," katanya kepada pemberita. 

Menurutnya, kerja-kerja menggali itu melibatkan kedalaman antara 42.6 meter hingga 76.2 meter bergantung kepada lokasi yang berdepan dengan masalah tersebut.

Tuan Mohd Saripudin memberitahu, selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pam-pam bergerak dan jumlah keseluruhan yang diperuntukan untuk perkara ini bernilai RM200,000. "Kerajaan negeri mengambil serius perkara ini. Pada masa sama, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan berpadu tenaga dalam berdepan situasi kemarau. "Agensi negeri dan pusat yang terlibat ialah KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu), IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu) Kemasin Semerak, Jabatan Pertanian serta JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran)," katanya. Dalam perkembangan lain, menurut beliau sebanyak 7,000 hektar kawasan padi di negeri ini telah mengalami kerosakan akibat kemarau dan pesawah yang terkesan boleh membuat laporan kepada Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bantuan di bawah tabung bantuan bencana. 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search