PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir Sarawak: Kerugian akibat kerosakan infrastruktur cecah ratusan juta

Kuching: Kerosakan infrastruktur awam akibat banjir luar biasa yang melanda Sarawak sejak 29 Januari lalu dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, anggaran itu diperoleh hasil laporan awal yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, malam tadi.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerugian dan kerosakan yang ditanggung oleh isi rumah dan sektor swasta juga mencecah angka sama.

"Sembilan bahagian yang terjejas banjir di Sarawak sudah mengemukakan penilaian mereka kepada JPBN mengenai kerosakan harta benda awam dan swasta akibat banjir," katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Premier yang juga pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dr Sim berkata, berikutan keadaan cuaca semakin baik dan air mulai surut lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

"Setakat jam 8 malam tadi, 39 pusat pemindahan telah ditutup dan 40 lagi masih aktif," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta lebih ramai sukarelawan tampil untuk membantu membersihkan kesan banjir.

Sehingga jam 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di PPS menurun kepada 9,039 orang daripada 2,668 keluarga.

Daripada 40 PPS yang masih aktif, Miri mencatat in jumlah tertinggi iaitu 12, Serian (7), Bintulu (9), Sibu (5), Samarahan (4) dan Mukah (3).

Bintulu pula mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 4,492, Serian (1,525), Miri (1,406), Sibu (828), Samarahan (523) dan Mukah (265).

Hanya 102 mangsa banjir Sabah masih berada di PPS pagi ini

KOTA KINABALU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menasihatkan penduduk setempat khususnya yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah agar sentiasa berwaspada situasi banjir semasa di negeri ini.

Ini berikutan cuaca di seluruh Sabah ketika ini masih tidak menentu. APM memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali menurun pagi ini.

 “Setakat pukul 10 pagi tadi, terdapat 102 mangsa masih terjejas membabitkan 27 keluarga yang berada di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mereka adalah penduduk di daerah Kinabatangan dan ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rendah Pekan Bukit Garam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sabah, Sarawak dijangka alami hujan lebat sehingga esok – MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap Buruk dan Waspada bagi beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga esok.

Menurut MetMalaysia, hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa daerah, berpotensi menyebabkan banjir serta mengganggu aktiviti harian penduduk.

Amaran hujan berterusan tahap Buruk dikeluarkan bagi daerah Sandakan, Telupid dan Beluran di Sabah.

Sementara itu, kawasan yang diletakkan di bawah tahap Waspada di Sabah ialah Pantai Barat melibatkan Ranau dan Kota Belud, serta daerah Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat.

Di Sarawak, amaran tahap Waspada melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

MetMalaysia menasihatkan penduduk di kawasan terjejas agar berwaspada terhadap risiko banjir, tanah runtuh, serta kenaikan paras air sungai. Orang ramai juga disarankan mengelakkan aktiviti luar yang berisiko dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini.

 

Mangsa banjir di Sarawak menurun pagi ini

KUALA LUMPUR, 4 Feb: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun kepada 9,039 orang yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian setakat pagi ini berbanding 9,314 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daripada jumlah itu, 4,492 mangsa berlindung di sembilan PPS di bahagian Bintulu berbanding 4,727 orang dicatatkan malam tadi, manakala 1,525 orang lagi masih kekal di empat PPS di bahagian Serian.

Bahagian Miri pula merekodkan 1,406 mangsa berbanding 1,464 orang di 12 PPS manakala di bahagian Sibu melibatkan 828 mangsa berbanding 839 orang di lima PPS.

Di bahagian Samarahan, jumlah mangsa kekal 523 orang yang berlindung di empat PPS sementara di bahagian Mukah, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 265 orang di tiga PPS berbanding 236 malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 102 orang daripada 27 keluarga pagi ini berbanding 94 orang daripada 26 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Kinabatangan, satu-satunya daerah masih dilanda banjir di negeri berkenaan.

“Trend pemindahan di PPS di Kinabatangan pada pagi ini adalah kekal,” menurutnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5.45 pagi ini memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Telupid, Beluran dan Sandakan di Sabah hingga esok.

MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Sabah pula melibatkan bahagian Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) serta Kudat. -TVS

'Air naik cepat dalam rumah macam dalam adegan filem'

BINTULU: Malam 29 Januari lalu menjadi tarikh yang tidak dapat dilupakan buat Hazzaid Abdul Muin apabila air dengan cepat memasuki rumahnya di Taman Sebiew Indah, di sini.

Jurutera berusia 36 tahun itu menyifatkan situasi itu sama seperti adegan filem apabila beliau berdepan detik cemas untuk menyelamatkan keluarganya sebelum air memenuhi ruang rumah.

"Kita memang terkejut semasa air mula naik pada sekitar 6 pagi (29 Januari) dan kita ingat akan surut tetapi hujan berterusan. Selepas itu sekitar 11 pagi bot bantuan datang untuk memindahkan semua orang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, banjir yang mula surut pada Jumaat menyebabkan beliau kerugian lebih RM30,000.

"Memang banyak kerugian yang perlu kita tanggung, dua kereta milik kami turut terkesan, sebuah kereta sudah kena angkut ke bengkel. Selain itu kita kerugian barang seperti perabot dan barangan elektronik lain," katanya.

 

Hazzaid menjelaskan buat masa ini pembersihan rumah pascabanjir sedang berjalan dan usaha tersebut mengambil masa yang lama terutama proses membawa keluar barang-barang rosak.

"Buat masa ini kita sedang lupuskan barang dan akan ada lori yang akan bawa barangan tersebut ke tapak pelupusan.

"Selepas air surut, pihak majikan saya juga ada tawar bantuan kepada pekerja yang terkesan banjir iaitu mereka telah hantar bantuan tenaga pekerja untuk sama-sama tolong bersihkan rumah," katanya.

Setakat pagi ini, seramai 4687 mangsa masih berada di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu susulan bah yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 30 tahun di kawasan itu. - BERNAMA

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search