Banjir Sarawak: Kerugian akibat kerosakan infrastruktur cecah ratusan juta
- Admin UKK
- Berita
Kuching: Kerosakan infrastruktur awam akibat banjir luar biasa yang melanda Sarawak sejak 29 Januari lalu dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, anggaran itu diperoleh hasil laporan awal yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, malam tadi.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kerugian dan kerosakan yang ditanggung oleh isi rumah dan sektor swasta juga mencecah angka sama.
"Sembilan bahagian yang terjejas banjir di Sarawak sudah mengemukakan penilaian mereka kepada JPBN mengenai kerosakan harta benda awam dan swasta akibat banjir," katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Premier yang juga pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dr Sim berkata, berikutan keadaan cuaca semakin baik dan air mulai surut lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.
"Setakat jam 8 malam tadi, 39 pusat pemindahan telah ditutup dan 40 lagi masih aktif," katanya.
Selain itu, beliau turut meminta lebih ramai sukarelawan tampil untuk membantu membersihkan kesan banjir.
Sehingga jam 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di PPS menurun kepada 9,039 orang daripada 2,668 keluarga.
Daripada 40 PPS yang masih aktif, Miri mencatat in jumlah tertinggi iaitu 12, Serian (7), Bintulu (9), Sibu (5), Samarahan (4) dan Mukah (3).
Bintulu pula mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 4,492, Serian (1,525), Miri (1,406), Sibu (828), Samarahan (523) dan Mukah (265).