MELAKA: "Jika Allah tak lindungi kami, mungkin kami dah 'arwah'," kata Siti Hasniah Hasan, 41, selepas melalui detik cemas nyaris melanggar seekor buaya yang melintang di tengah jalan berhampiran Empangan 25, Duyong, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Siti Hasniah, yang membonceng motosikal ditunggangi suaminya, Yusmalizai Mat Jusoh, 43, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Kandang melalui laluan pintas yang sering digunakan penduduk kampung.
Menurutnya, ketika itu hujan lebat dan dan tiada kenderaan lain melalui jalan berkenaan.
"Suami memang bawa laju sebab nak cepat. Bila sampai dekat jambatan Empangan 25, kami tak nampak jalan depan kerana hujan lebat sebelum suami tiba-tiba brek kuat dan kata ada buaya," katanya ketika dihubungi.
Suri rumah itu berkata, suaminya sempat melihat seekor buaya bersaiz besar melintang betul-betul di tengah jalan. "Mujur sempat brek… memang jarak kami dah sangat dekat tapi buaya itu diam saja.
"Saya cepat-cepat turun dan lari ke belakang, dalam keadaan cemas itu suami sempat rakam video dan ambil gambar sebagai bukti sebelum kami terus balik," katanya.
Siti Hasniah yang dua tahun tinggal di kawasan itu memaklumkan, kejadian buaya naik ke darat bukan pertama kali dan turut berlaku sehari sebelumnya.
"Allah saja tahu perasaan saya… sampai sekarang masih menggigil. Sebelum ini pernah nampak buaya, tapi jauh di dalam sungai," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Katanya, tempat buaya itu muncul sering menjadi laluan orang ramai dan pada sebelah petangnya ramai beriadah di situ.
"Saya hantar gambar buaya itu kepada Datuk Helmy (Ahli Dewan Undangan Negeri, Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem) dan harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera.
"Buaya itu saiznya besar dan berbahaya," katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Aiman Syarifuddin Zainuddin, 23, berkata kejadian pertama buaya naik ke darat berlaku sekitar 10 malam Sabtu lalu.
Katanya, dia dan ahli keluarga pergi meninjau selepas dimaklumkan adik saudaranya yang terserempak dengan seekor buaya kira-kira tiga meter di tepi jalan berhampiran jambatan sama.
"Ketika sampai, buaya itu masih ada dan mulutnya terbuka. Saya terus hubungi bomba.
"Tidak lama kemudian, orang kampung berkumpul untuk lihat sendiri buaya itu dan ada yang ambil gambar serta video," katanya.
Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi tidak menangkap buaya berkenaan, sebaliknya hanya menghalaunya kembali ke sungai.
"Kami kecewa buaya itu tidak ditangkap kerana saiznya besar dan boleh membahayakan penduduk, termasuk kanak-kanak yang selalu bermain di laluan itu," katanya.
ARAU: Tiga sahabat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, pada awalnya gelisah ditinggal bas untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti semester.
Hal demikian selepas kebanyakkan jalan di kawasan Arau yang menjadi laluan untuk ke stesen bas yang terletak di Kangar itu ditutup untuk kenderaan ringan ekoran banjir.
Bagaimanapun, kegelisahan mereka menanti pertolongan di pusat pemindahan sementara (PPS) UiTM di sini sejak tengah hari berakhir apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang meninjau mangsa banjir di situ membantu para pelajar itu dengan menyediakan kenderaan untuk ke stesen bas.
Fatin Aisyah Abd. Malik,22, dan Mai Seri Balqis Meor Mahaputra serta seorang lagi sahabat mereka sudah merancang pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu dengan bas dijadual bertolak dari stesen pada pukul 8 malam.
Kata Fatin Aishah, laluan di Arau sudah tidak boleh dilalui sejak pukul empat petang dan dalam masa sama, hanya tinggal beberapa jam sahaja untuk mereka ke stesen bas.
Ujarnya, mereka ada menghubungi grab namun kenderaan ringan ketika itu sudah tidak berupaya meredah air yang semakin tinggi di Arau.
“Kami cuti seminggu dan sememangnya rancang untuk pulang ke kampung halaman. Tidak
sangka pula banjir melanda negeri ini dan air naik dengan begitu pantas.
“Kami terus menanti di sini dengan harapan boleh menumpang mana-mana kenderaan ke stesen bas dan akhirnya mendapat bantuan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mereka bergegas ke stesen bas kira-kira pukul 7 malam iaitu hanya ada kira-kira sejam sebelum bas berlepas dengan dihantar oleh kenderaan disediakan Shahidan.-UTUSAN
KUALA LUMPUR: Banjir di beberapa negeri semakin buruk malam ini yang menyaksikan peningkatan jumlah mangsa di Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis.
Di KELANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 9,882 daripada 3,608 keluarga malam ini berbanding 9,634 petang tadi dengan 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat jajahan, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan paras air sungai utama di Kelantan menunjukkan peningkatan di dua lokasi yang melepasi paras waspada setakat 7.45 malam ini.
Sungai Melor, Bachok merekodkan paras air 7.68 meter (m), melepasi tahap waspada 7m dengan trend paras air dilaporkan menaik.
Sementara itu, di Sungai Golok, Rantau Panjang, paras air berada pada 7.81 m, iaitu 0.81 m melepasi paras waspada.
Di PERLIS jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 2,017 orang daripada 594 keluarga setakat malam ini, berbanding 1,497 orang pada petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mereka yang terjejas itu membabitkan penduduk di kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar yang ditempatkan di sembilan PPS.
Di SELANGOR jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,732 orang setakat 8.30 malam membabitkan 474 keluarga berbanding 327 orang sebelum ini, selain 15 PPS kini dibuka berbanding lapan pada 3.30 petang tadi.
InfoBencana JKM memaklumkan PPS terbaharu yang dibuka adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Kompleks Penghulu Batu 10 dan Balai Raya Kampung Melaka, Batu 9, yang kesemuanya di daerah Hulu Langat serta SK Shah Alam, Seksyen 16, dan SK Desa Aman, Kuala Selangor.
Laman Public Infobanjir memaklumkan lapan sungai telah melebihi tahap bahaya antaranya Sungai Langat, Batu 12 di Hulu Langat pada paras 42.4 m, Sungai Langat di Jenderam Hilir (11.55 m), Sungai Bernam, di Hulu Selangor (20.29 m) dan Sungai Binjai, di Meru (4.64 m).
Di PERAK, situasi sama turut berlaku dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,786 orang daripada 554 keluarga pada malam ini berbanding 1,415 orang petang tadi yang ditempatkan di 20 PPS di daerah Manjung, Perak Tengah, Larut, Matang dan Selama serta Hilir Perak.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Manjung terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir apabila 996 orang daripada 294 keluarga ditempatkan di 12 PPS.
Sebanyak 643 orang daripada 219 keluarga berlindung di enam PPS di daerah Perak Tengah; PPS Sekolah Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama dihuni 38 mangsa daripada 11 keluarga.
Selain itu, 109 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap di daerah Hilir Perak.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 1,088 orang daripada 344 keluarga membabitkan mangsa dari daerah Kulim dan Kubang Pasu yang ditempatkan di sembilan PPS setakat 8 malam tadi.
Laman Public Infobanjir memaklumkan empat sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Laka di Kubang Pasu (23.47 m), Sungai Sintok di Kubang Pasu (44.59 m), Sungai Titi Kerbau di Pendang (4.14 m) dan Sungai Sari di Padang Terap (28.82 m).
Tiga sungai pula berada pada tahap amaran, iaitu Sungai Perik di Padang Terap (13.92 m), Sungai Melaka di Langkawi (3.39 m) dan Sungai Bata di Kubang Pasu (8.93 m).
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di TERENGGANU berkurang kepada 129 orang daripada 53 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 205 orang daripada 76 keluarga pada 3 petang tadi, dengan kesemua mangsa berlindung di PPS SK Kuala Besut, Besut sejak pagi semalam.
Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir di empat PPS menurun sedikit malam ini kepada 385 orang melibatkan 103 keluarga berbanding 404 mangsa daripada 104 keluarga, petang tadi.
Berdasarkan laman lnfobencana JKM setakat 7.17 malam ini, PPS SK Lahar Yooi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) masih merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 172 orang daripada 49 keluarga.
Sebanyak 107 mangsa daripada 28 keluarga berada di PPS Desa Puri, 56 orang daripada 15 keluarga di PPS SK Pengkalan Jaya manakala satu-satunya PPS di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu SK Permatang Pasir kekal dengan 50 mangsa daripada 11 keluarga.
SHAH ALAM – Situasi banjir semakin buruk di Selangor dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 2,142 orang melibatkan 605 buah keluarga.
Rekod itu ditunjukkan menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 11.27 malam ini dengan 17 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka untuk mangsa terlibat.
Kuala Selangor mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai sebanyak 989 individu diikuti Shah Alam (454), Klang (374), Hulu Langat (203) dan Sabak Bernam (122).
Dari segi PPS pula didapati Sekolah Kebangsaan Desa Aman merekodkan jumlah tertinggi dengan 950 mangsa daripada mukim Ijok.
Dalam pada itu, Jabatan Meterologi Malaysia memaklumkan ribut petir dan hujan akan terus melanda Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang sehingga pukul 2 pagi nanti. – KOSMO! ONLINE
PETALING JAYA: Dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh dekat sini diarahkan dikosongkan susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun di kawasan tersebut, semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama dua jentera dengan kekuatan 11 anggota ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
Ketua BBP Seputeh, Armdan Mahat berkata, kejadian membabitkan runtuhan tanah cerun yang dianggarkan sepanjang 60 meter dan menimpa dua kereta serta beberapa motosikal.
“Sebuah kereta didapati tertimbus, manakala sebuah lagi tumbang. Runtuhan tanah berkenaan juga memasuki kawasan pangsapuri kos rendah berhampiran.
“Susulan itu, dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah serta premis berhampiran diarahkan untuk dikosongkan berikutan masih terdapat pergerakan tanah dan keadaan cuaca yang sedang hujan lebat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan hasil perbincangan bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan pasukan bomba masih berada di lokasi bagi memantau sebarang pergerakan tanah,” katanya.
Seorang penduduk, Lim Yuet Ming, 74, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tanah runtuh apabila dihubungi rakannya dan memaklumkan gegaran tersebut disebabkan insiden terbabit. – UTUSAN
