PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kerugian banjir Kelantan cecah RM300J

Kota Bharu: Jumlah kerugian akibat banjir di Kelantan, baru-baru ini, dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata jumlah berkenaan meliputi kerosakan infrastruktur seperti bangunan, jalan raya dan sektor pertanian serta kerugian lain.

“Jumlah ini termasuk kemusnahan infrastruktur bernilai RM80 juta dan RM30 juta untuk sektor pertanian,” katanya katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, semalam.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri akan membuat penilaian kepada semua mangsa banjir berdasarkan syarat kelayakan bagi memastikan mereka memperoleh bantuan yang sepatutnya.

Beliau berkata, jumlah bantuan yang akan diterima setiap mangsa banjir tidak sama disebabkan ia tertakluk kepada kemusnahan harta benda akibat bencana banjir.

“Kita ambil pengalaman banjir pada 2014 dan siapa yang layak menerima bantuan.

“Setakat ini, semua wakil rakyat di kawasan yang terjejas banjir sudah menerima sejumlah peruntukan daripada pihak kerajaan negeri untuk diagihkan kepada mereka terbabit,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat runtuh susulan banjir teruk baru-baru ini memohon bantuan semua pihak termasuk kerajaan negeri membantu membina semua rumah mereka.

Ia berikutan kebanyakan daripada mereka hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

Pada masa sama, mereka juga terpaksa menumpang saudara-mara serta menyewa disebabkan rumah rosak sepenuhnya.

Amaran hujan lebat di tiga negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Johor hingga esok.

Metmalaysia memaklumkan di Terengganu, amaran itu dikeluarkan bagi kawasan Dungun dan Kemaman, manakala Pahang membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Johor katanya, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran hujan tahap waspada turut dikeluarkan bagi beberapa daerah di Sarawak dan Sabah mulai hari ini hingga Ahad ini.

JKR perlu dua bulan baiki kerosakan Jalan Gua Musang-lojing

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memaklumkan proses baik pulih laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, berikutan berlaku mendapan minggu lalu, dijangka mengambil tempoh dua bulan.

Pengarahnya, Ir Nik Soh Yaacoub, berkata sehingga kini laluan berkenaan masih ditutup dan kerja baik pulih belum dapat dilakukan kerana menunggu cuaca kembali baik.

“Lencongan di laluan berkenaan tidak dapat dilakukan berikutan tanah di kawasan terbabit kurang stabil dan membahayakan sekiranya membuat jalan lencongan.

“Penyelesaian di laluan itu ialah membaik pulih dengan mengorek balik lubang benam berkenaan, sebelum melihat serta mengenal pasti tahap kerosakan sebenar.

“Kita akui penutupan itu meresahkan pengguna termasuk lori yang membawa bekalan sayuran, namun laluan ini tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa bagi menjamin kualiti jalan,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, dilaporkan berkata, laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah sehingga arahan baharu dikeluarkan oleh JKR.

Susulan penutupan itu, lebih 200 pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendakwa harga sayur naik mendadak sehingga empat kali ganda minggu ini.

Perluas larangan di lokasi runtuhan tebing

Polis Kelantan akan memperluaskan kawasan larangan lokasi runtuhan di tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama, di sini.

Ia berikutan masih ada segelintir yang tidak mengendahkan garisan kuning dan bertindak memasuki kawasan larangan itu semata-mata untuk merakamkan gambar termasuk membuat siaran langsung.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, beliau sudah mengarahkan anggota agar memperluaskan kawasan larangan secepat mungkin bagi mengelakkan tragedi lain yang tidak diingini.

“Kita akan perluaskan lagi kawasan larangan kerana ia amat bahaya jika masuk atau mendekati, mungkin ada rekahan lagi di bawahnya kita tidak tahu.

“Memang ada yang datang semata-mata untuk mengambil gambar, jangan cross line tali kuning, kita tak tahu bila masa akan runtuh (lagi),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tinjauan yang dibuat mendapati masih ada individu yang mendekati lokasi kejadian malah memasuki garisan kuning semata-mata untuk merakamkan gambar dan tindakan

itu dikhuatiri mengundang padah memandangkan runtuhan baru berlaku tiga hari lalu.

Isnin lalu, dilaporkan satu runtuhan sepanjang hampir 50 meter dikesan di tebing Sungai Kelantan yang menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Seorang penduduk yang menetap di pangsapuri berhampiran, Lim Jan Ngoh, 79, berkata, dia bimbang jika kesan runtuhan itu merebak ke kawasan penempatannya memandangkan hanya terletak kira-kira 20 meter saja dari lokasi kejadian.

Rugi RM177j akibat banjir

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) merekodkan kerugian lebih RM177 juta di seluruh negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerugian itu meliputi sektor pertanian dan ternakan serta jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Pihak kementerian masih lagi melakukan bancian berhubung jumlah kerugian dan bantuan akan disalurkan kepada mereka yang terjejas secara berperingkat.

“Seperti biasa KPKM akan aktif selepas bencana banjir dan saya mengarahkan semua supaya turun ke lapangan untuk membanci kerugian yang dialami mangsa banjir.

“Setakat ini nilai kerugian lebih RM177 juta termasuk di Kelantan lebih RM33 juta dan dijangka semakin meningkat.

“Setakat ini nilai kerugian lebih RM177 juta termasuk di Kelantan lebih RM33 juta” Mohamad Sabu

Bantuan kepada mereka yang terjejas akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada pesawah terjejas banjir di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Khalid Abdul Samad.

Mengulas bantuan berkenaan, Mohamad berkata, sebanyak RM6.3 juta disalurkan kepada pesawah di Kelantan yang terjejas banjir.

Katanya, seramai 10,628 pesawah yang menerima bantuan berkenaan dengan setiap penerima mendapat RM600.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search