Polis sahkan ada aktiviti korek tanah
- Admin UKK
- Berita
Subang Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat kegiatan mengorek tanah berhampiran tempat letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Hussein Omar Khan, berkata pihaknya perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja pengorekan tanah itu menjadi punca kejadian terbabit.
Beliau berkata, tiga unsur yang mendorong letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu ialah gas, udara dan percikan api.
Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan kejadian terbabit.
“Polis sedang mengumpul maklumat daripada seorang saksi kejadian iaitu pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian.
“Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter (m) dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti, sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.
“Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Shukri Ishak serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razzali Wan Ismail.
Satu daripada paip pecah
Hussein berkata, terdapat tiga paip gas natural yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.
“Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit,” katanya
Selasa lalu, kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500m yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer dari tempat kejadian.
Hussein berkata, polis membuka satu kertas siasatan bagi mengenal pasti, sama ada wujud unsur jenayah yang mengakibatkan letupan gas bawah tanah itu.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka bagi melihat sama ada wujud jenayah khianat atau kecuaian.
Katanya, kertas siasatan itu memberi kuasa kepada polis memanggil sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua bantuan dan usaha koordinasi membabitkan kebakaran di Putra Heights diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan PETRONAS.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memastikan segala gerak kerja terkait pengurusan bantuan di lapangan dapat dibuat dengan teratur dan lebih berkesan.
Katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor industri amat penting menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh.
“Segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi terkait insiden kebakaran di Putra Heights perlu diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor dan pihak PETRONAS diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz,” menurut kenyataan itu, semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan dan dukungan penuh terhadap segala usaha pemulihan serta keselamatan yang sedang dilaksanakan.
MISI DI BAWAH BAHANG MENTARI!
- Admin UKK
- Berita
Cuaca panas mencecah sehingga 41 darjah Celsius serta keadaan berdebu menjadi antara cabaran utama buat Pasukan
Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) yang ketika ini sedang melaksanakan misi di daerah Sagaing, Myanmar yang dilanda gempa bumi.
Ketua Unit Latihan Smart Penguasa Kanan Bomba II Mohamad Hafiezul Abdul Halim berkata rangkaian komunikasi yang masih belum stabil turut menjadi ujian buat mereka dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. “Seterusnya keadaan bangunan yang ranap teruk, jadi kami juga memerlukan cara yang terbaik untuk kita masuk dan membawa keluar setiap mangsa.
“Walau bagaimanapun, kami sedang memberikan yang terbaik,” katanya ketika bersiaran langsung dari Myanmar dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam kelmarin.
Menurut Mohamad Hafiezul, selain menerima kerjasama yang sangat baik daripada pihak berkuasa tempatan Myanmar, pasukan Smart juga menerima penghargaan daripada penduduk di kawasan terjejas.
“Dari pagi Penduduk berikan air minuman serta ucapkan terima kasih Mohamad Hafiezul sehingga ke petang, pangkalan operasi (base of operations) akan menerima pelawat-pelawat daripada penduduk sekitar yang memberikan air minuman serta datang mengucapkan terima kasih.
“Sama juga di tapak kerja, jika kita minta semua memberikan kerjasama, semuanya okey. Di sana juga kadang-kadang mereka datang berikan air minuman dan bertanya jika perlukan bantuan,” katanya.
Seramai 50 anggota Smart berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pada Ahad lalu bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.
Setakat ini mereka telah berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar pada Jumaat lalu dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas, selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.
69 kediaman terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 69 rumah terjejas di daerah Manjung dan Kinta selepas dinaiki air dalam banjir kilat akibat hujan lebat yang berpanjangan awal pagi semalam.
Di daerah Manjung, hujan lebat kira-kira jam 1 pagi disusuli fenomena air pasang menyebabkan sebahagian kawasan di Pulau Pangkor mengalami banjir kilat menyebabkan 15 rumah dinaiki air.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung dalam kenyataan memaklumkan pemantauan dibuat di kawasan terjejas teruk antaranya di Kampung Teluk Kechil, Kampung Masjid, Kampung Sungai Pinang Besar dan Taman Pangkor Indah di Teluk Bharu.
Setakat jam 10.30 pagi semalam pula, keadaan cuaca mendung dan air laut surut dengan terdapat seramai 39 mangsa ditempatkan sementara di masjid dan surau, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini.
“Tiada keperluan untuk
PPS dibuka. Seramai 22 mangsa ditempatkan sementara di Masjid Kampung Teluk Raja Bayang, manakala 17 mangsa lagi ditempatkan di surau Al-Amir Kampung Teluk Kechil,” katanya.
Manakala sebanyak 10 kediaman di Taman Hijau dan 21 kediaman di Taman Sri Mawar dalam kawasan Dun Astaka, Sitiawan, Manjung dinaiki air sejak jam 12 tengah malam, namun air sudah surut sepenuhnya setakat jam 9.15 pagi.
‘DALAM SUSAH KITA BERSATU’
- Admin UKK
- Berita
“Tak kira bangsa atau agama apa, saya tetap bantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” kata sukarelawan, Shermina Farissa Ali, 24, yang membantu mangsa letupan saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini.
Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berketurunan Cina-Melanau itu berkata dia terpanggil untuk menyertai misi bantuan selepas melihat hebahan di Instagram universiti.
“Saya memang tak kisah latar belakang kaum atau agama seseorang. Niat saya hanya mahu bantu mereka yang memerlukan,” katanya yang membesar di Kuala Lumpur dan kini menetap di USJ.
Shermina juga kagum dengan semangat terbuka mangsa di PPS, meskipun pada awalnya ada sedi- kit kekeliruan di- sebabkan penampilannya.
“Saya gunakan Bahasa Melayu bila berkomunikasi dan mereka sangat menerima. Saya rasa ini yang istimewanya tentang rakyat Malaysia kerana dalam waktu susah, kita tetap saling membantu,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Eldric Ong Wei Chuen, 21, juga tidak kekok berada dalam kalangan mangsa berbangsa Melayu walaupun ini pengalaman pertamanya menyertai misi bantuan seperti itu.
Pelajar tahun pertama jurusan perubatan Unimas itu berkata, dia terdorong untuk menyertai selepas melihat hebahan menerusi WhatsApp dan Instagram kelab sukarelawan universiti. “Walaupun saya Cina, saya tak pernah rasa janggal. Saya tinggal di Klang, jadi rasa bertanggungjawab nak turun bantu.
“Bagi saya, kalau ada sesiapa perlukan bantuan, tak kira bangsa, saya akan bantu,” katanya.
Menurut Eldric, sepanjang tiga hari membantu di PPS, dia dan rakan-rakan ditugaskan mengagihkan sumbangan barangan keperluan seperti pakaian dan makanan.
Tambahnya, insiden itu membuka mata ramai pihak bahawa semangat perpaduan masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. “Saya lihat ada ramai juga dari kaum India dan Cina datang bantu. Malah, ada sukarelawan Cina yang buat pertama kali masuk ke masjid kerana PPS diadakan di situ.
“Inilah Malaysia sebenar. Dalam kesusahan, kita tetap bersatu.” katanya.