PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kelantan lancar tabung bina rumah baharu mangsa kebakaran Kampung Kijang

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang mengadakan perbincangan untuk mencukupkan dana berjumlah RM500,000 bagi Tabung Kutipan Derma membina semula lapan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata setakat ini, kutipan tabung itu mencecah hampir RM100,000.
 
"Kesemua mangsa kebakaran terdiri daripada golongan miskin dan tapak rumah mereka pula hanya disewa. Justeru, tabung ini dilancarkan selepas perbincangan bersama Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
 
"Kita dalam usaha mendapatkan lapan unit Rumah Dhuafa' di Kampung Badang yang dibina oleh kerajaan negeri. Kutipan tabung ini akan digunakan untuk pembinaan rumah itu bagi menyediakan tempat tinggal baharu kepada mangsa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kutipan Derma untuk Lapan Buah Rumah Terbakar di Kampung Kijang di sini hari ini.
 
Izani berkata pihaknya sedang mempertimbangkan pembinaan Rumah Dhuafa' bernilai RM45,000 sebuah yang dijangka siap pada Ogos ini.
 
"Kita meletakkan tempoh sebulan untuk mengumpulkan dana dan berharap kutipan itu mencukupi bagi menampung kos pembinaan.
"Bagaimanapun, pembinaan rumah ini bergantung kepada dua faktor iaitu jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan serta kemampuan kontraktor untuk memberi kelonggaran dalam tempoh pembayaran," katanya.
 
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan rumah sewa sementara untuk didiami lapan keluarga terjejas bagi tempoh tiga bulan, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Pada 28 April lepas, media melaporkan lapan rumah di Kampung Kijang musnah dalam kebakaran pada pukul 4.40 petang membabitkan 31 mangsa.
 
Sementara itu, mangsa kebakaran Mat Husin Sulaiman, 64, yang juga seorang nelayan berharap agar ada pihak yang dapat mempercepatkan proses pembinaan rumah memandangkan mereka kini menumpang di rumah jiran dan saudara-mara.
"Kami sangat berharap ada tempat berteduh yang lebih selesa. Ketika kejadian, saya hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang selepas melihat api mula marak masuk ke dalam rumah," katanya yang mempunyai lapan orang anak.
 
Seorang lagi mangsa Yah Che Ngah, 60, ibu tunggal kepada enam anak berkata dia kini menumpang di rumah jiran dan sedih mengenangkan rumah berusia lebih 40 tahun musnah dalam kejadian itu.
"Saya berharap ada rumah yang lebih selesa untuk kami berteduh. Buat masa ini saya akan mencari rumah sewa, tetapi berharap ada kediaman tetap untuk kami selepas ini," katanya.
 
-- BERNAMA

LRA Wakaf Bunut beroperasi selepas isu pencemaran Sungai Rasau

KOTA BHARU: Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut di Pasir Puteh kembali beroperasi selepas dihentikan sementara berikutan insiden pencemaran air di Sungai Rasau baru-baru ini yang dipercayai berpunca daripada kematian ikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, selepas beberapa hari ditutup bagi siasatan, sungai itu kini disahkan selamat digunakan.
 
"Kita telah mengambil sampel air dan menjalankan ujian makmal yang mengambil masa sekitar seminggu. Kini loji itu telah kembali beroperasi dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kutipan Derma untuk Lapan Buah Rumah Terbakar di Kampung Kijang, di sini, pada Khamis.
 
Sebelum ini, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesan gangguan kualiti air mentah di muka sauk LRA Wakaf Bunut pada 11 April lepas disyaki akibat pencemaran berpunca daripada racun di kolam ternakan ikan berdekatan.
Izani turut memaklumkan, kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di Kelantan meningkat sebanyak 30 peratus yang berpunca daripada kes kecurian paip bawah tanah baru-baru ini.
 
"Keadaan ini menyebabkan bekalan air tidak sampai ke rumah pengguna. Bagaimanapun, masalah tersebut telah diselesaikan selepas suspek berjaya diberkas.
"Namun timbul pula isu pencemaran air yang mengandungi karat selepas projek pembaharuan paip dilaksanakan," katanya.
 
Beliau berkata, daripada 4,800 kilometer (km) paip yang diperiksa bagi mengesan kes kecurian air dari saluran paip milik AKSB, pihaknya mendapati terdapat paip pecah dan meter air tersumbat.
Izani berkata, pihaknya berdepan kekangan daripada segi keupayaan untuk mengesan lokasi kebocoran paip dengan lebih pantas.
 
"Sehingga kini, sebanyak 3,200 km paip sedang dalam proses penggantian bagi mengurangkan kadar NRW namun ia mengambil masa yang lama.
"Dalam tempoh setahun, kita hanya mampu menukar kira-kira 150 km paip. Oleh itu, amat penting untuk menambah bilangan skuad pengesanan kebocoran," katanya.
 
-- BERNAMA

Cuaca tidak menentu hingga pertengahan Mei

PETALING JAYA: Negara diramal terus mengalami cuaca panas pada waktu tengah hari diikuti hujan serta ribut petir pada se­belah petang sehingga perte­ngahan Mei ini susulan fasa peralihan monsun.

Sejurus tamatnya fasa ber­kenaan, Malaysia dijangka memasuki Monsun Barat Daya bermula pertengahan Mei hingga September yang lazimnya membawa cuaca kering dan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, suhu tinggi yang dialami ketika ini bagaimanapun masih tidak seteruk tahun lalu yang menyaksikan beberapa kawasan mencatatkan suhu ekstrem.

“Telah menjadi kelaziman ketika fasa ini, cuaca panas berlaku pada waktu tengah hari dan awal petang, manakala keadaan menjadi lebih lembap pada se­belah petang serta awal malam.

“Ini disebabkan kurangnya litupan awan pada waktu pagi hingga tengah hari sebelum awan ribut petir mula terbentuk dan membawa hujan lebat serta ribut pada lewat petang,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini me­laporkan, cuaca panas luar biasa yang melanda negara ketika ini disifatkan sebagai antara kesan nyata pemanasan global yang semakin ketara.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, cuaca panas yang disusuli hujan lebat serta ribut hingga menyebabkan banjir kilat merupakan fenomena luar biasa yang kini semakin kerap berlaku.

Sementara itu, Mohd. Hisham berkata, susulan Monsun Barat Daya, cuaca panas boleh berlaku di mana-mana kawasan di negara ini. Bagaimanapun, kawasan utara dan pedalaman Semenanjung lazimnya paling terkesan.

“Fasa peralihan monsun dijangka berakhir pada pertengahan Mei dan akan digantikan dengan Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering serta taburan hujan yang rendah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mengikuti maklumat terkini yang disalurkan oleh MET Malaysia.

Katanya, MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran awal sekiranya terdapat perkemba­ngan yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi MET Malaysia termasuk laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial jabatan,” katanya. – UTUSAN

Gondol bukit punca banjir lumpur Bukit Kapar

KLANG: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Bukit Kapar, di sini berdepan masalah banjir lumpur sejak lebih 15 tahun lalu akibat aktiviti pengorekan tanah dan penggondolan Bukit Payung serta Bukit Kerayong.

Aktiviti tersebut menyebabkan lebih 50 rumah kerap dilanda banjir lumpur dan kira-kira 200 lagi terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke kawasan tersebut dilimpahi air sedalam hampir satu meter.

Lebih malang, cuaca hujan sering mencetuskan kebimba­ngan dalam kalangan penduduk terutama jika hujan selama sejam kerana ia akan menyebabkan limpahan air dari kawasan atas bukit menerusi longkang di hadapan rumah mereka.

Seorang penduduk warga emas, Nasri Sukir, 60 berkata, pada tahun ini rumahnya sudah dua kali dilanda banjir pada ketinggian sehingga empat kaki yang turut meninggalkan kesan lumpur setebal satu inci pada bahagian lantai.

Menurutnya, keadaan itu ke­rap berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan dipercayai akibat daripada aktiviti pengorekan tanah yang berterusan.

“Baru-baru ini kerap hujan pada awal pagi. Malah, hujan yang bertembung dengan air pasang baru-baru ini mencetuskan banjir dengan membawa sekali lumpur tanah merah. Banjir mencecah lebih empat kaki. Pe­rabot dan barangan elektrik kerap rosak.

“Bila hujan awal pagi memang kami terpaksa berjaga kerana bimbang banjir. Kebanyakan penduduk juga memasang penghadang air pada pintu dan tingkap untuk mengelak rumah daripada dimasuki air, namun tidak melegakan kerisauan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pada 4 Jun tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 5,000 penduduk di kampung, dua daripadanya terletak di Kapar menanggung risiko risiko banjir lumpur berikutan Bukit Kerayong, Bukit Payung dan Bukit Cherakah yang ditarah.

Aktiviti tersebut dibuat untuk diambil tanah bagi tujuan penambakan dan pembinaan kilang di kawasan berhampiran.

Malah, keadaan bukit-bukit yang ‘botak’ itu boleh dilihat melalui Jalan Meru Tambahan dari arah Puncak Alam dan Jalan Bukit Cerakah serta Jalan Bukit Kerayong berdekatan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kapar.

Tanah-tanah yang ditarah diangkut menggunakan lori ke dua kawasan perindustrian seluas kira-kira 100 hektar di Jalan Kampung Bukit Kerayong yang tapaknya sudah dibersihkan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mat Zin Sahl, 63, memberitahu banjir kilat yang kerap berlaku di kampung berkenaan mengganggu rutin harian penduduk termasuk pergerakan pergi dan pulang pelajar sekolah.

“Ketika banjir, sebahagian pelajar sekolah berhampiran tak boleh pulang kerana laluan ke rumah mereka terputus akibat dilimpahi air. Van, motosikal, kenderaan kecil tak lepas, baru-baru ini sebuah van nyaris hanyut kerana paras air tinggi.

“Saya cadangkan kepada pihak berkuasa supaya membina saluran air bawah tanah yang boleh tembus ke parit utama kerana saluran sedia ada tidak mampu menampung limpahan air dan lumpur selain terhalang dengan kawasan tanah tinggi sehingga melimpah masuk ke kebun dan rumah penduduk,” ujarnya.- UTUSAN

Lebih 2,000 hektar musnah akibat kebakaran hutan di Israel

BAITULMAQDIS: Kebakaran hutan besar telah memusnahkan lebih 2,000 hektar tanah di Israel, memaksa pemandu meninggalkan kenderaan mereka ketika api merebak ke kawasan jalan raya utama.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran itu bermula di kawasan perbukitan berhampiran Baitulmaqdis pada hari Rabu, dipacu oleh cuaca panas dan angin kencang.
Asap tebal menyelubungi bandar, menyebabkan masalah besar kepada penduduk dan perkhidmatan kecemasan.
 
Sekurang-kurangnya 23 mangsa cedera, kebanyakannya akibat sesak nafas dan melecur. di mana 12 orang telah dimasukkan ke hospital, sementara pasukan bomba berusaha mengawal api yang merebak dengan pantas.
Helikopter dan pesawat pemadam kebakaran dari beberapa negara termasuk Sepanyol, Itali, Perancis, dan Romania telah dikerahkan untuk membantu usaha pemadaman.
Lebuh raya utama yang menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmaqdis terpaksa ditutup sementara, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kekacauan di kawasan sekitar.
 
Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kepada penduduk agar mengelakkan kawasan hutan dan berhati-hati ketika menyambut Hari Kemerdekaan Israel.
Walaupun kebakaran kini dilaporkan semakin terkawal, usaha pemadaman masih diteruskan bagi mengelakkan api merebak ke kawasan perumahan.
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search