PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gondol bukit punca banjir lumpur Bukit Kapar

Gondol bukit punca banjir lumpur Bukit Kapar

KLANG: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Bukit Kapar, di sini berdepan masalah banjir lumpur sejak lebih 15 tahun lalu akibat aktiviti pengorekan tanah dan penggondolan Bukit Payung serta Bukit Kerayong.

Aktiviti tersebut menyebabkan lebih 50 rumah kerap dilanda banjir lumpur dan kira-kira 200 lagi terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke kawasan tersebut dilimpahi air sedalam hampir satu meter.

Lebih malang, cuaca hujan sering mencetuskan kebimba­ngan dalam kalangan penduduk terutama jika hujan selama sejam kerana ia akan menyebabkan limpahan air dari kawasan atas bukit menerusi longkang di hadapan rumah mereka.

Seorang penduduk warga emas, Nasri Sukir, 60 berkata, pada tahun ini rumahnya sudah dua kali dilanda banjir pada ketinggian sehingga empat kaki yang turut meninggalkan kesan lumpur setebal satu inci pada bahagian lantai.

Menurutnya, keadaan itu ke­rap berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan dipercayai akibat daripada aktiviti pengorekan tanah yang berterusan.

“Baru-baru ini kerap hujan pada awal pagi. Malah, hujan yang bertembung dengan air pasang baru-baru ini mencetuskan banjir dengan membawa sekali lumpur tanah merah. Banjir mencecah lebih empat kaki. Pe­rabot dan barangan elektrik kerap rosak.

“Bila hujan awal pagi memang kami terpaksa berjaga kerana bimbang banjir. Kebanyakan penduduk juga memasang penghadang air pada pintu dan tingkap untuk mengelak rumah daripada dimasuki air, namun tidak melegakan kerisauan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pada 4 Jun tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 5,000 penduduk di kampung, dua daripadanya terletak di Kapar menanggung risiko risiko banjir lumpur berikutan Bukit Kerayong, Bukit Payung dan Bukit Cherakah yang ditarah.

Aktiviti tersebut dibuat untuk diambil tanah bagi tujuan penambakan dan pembinaan kilang di kawasan berhampiran.

Malah, keadaan bukit-bukit yang ‘botak’ itu boleh dilihat melalui Jalan Meru Tambahan dari arah Puncak Alam dan Jalan Bukit Cerakah serta Jalan Bukit Kerayong berdekatan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Kapar.

Tanah-tanah yang ditarah diangkut menggunakan lori ke dua kawasan perindustrian seluas kira-kira 100 hektar di Jalan Kampung Bukit Kerayong yang tapaknya sudah dibersihkan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mat Zin Sahl, 63, memberitahu banjir kilat yang kerap berlaku di kampung berkenaan mengganggu rutin harian penduduk termasuk pergerakan pergi dan pulang pelajar sekolah.

“Ketika banjir, sebahagian pelajar sekolah berhampiran tak boleh pulang kerana laluan ke rumah mereka terputus akibat dilimpahi air. Van, motosikal, kenderaan kecil tak lepas, baru-baru ini sebuah van nyaris hanyut kerana paras air tinggi.

“Saya cadangkan kepada pihak berkuasa supaya membina saluran air bawah tanah yang boleh tembus ke parit utama kerana saluran sedia ada tidak mampu menampung limpahan air dan lumpur selain terhalang dengan kawasan tanah tinggi sehingga melimpah masuk ke kebun dan rumah penduduk,” ujarnya.- UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search