Lebih 2,000 hektar musnah akibat kebakaran hutan di Israel
- Admin UKK
- Berita
BAITULMAQDIS: Kebakaran hutan besar telah memusnahkan lebih 2,000 hektar tanah di Israel, memaksa pemandu meninggalkan kenderaan mereka ketika api merebak ke kawasan jalan raya utama.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran itu bermula di kawasan perbukitan berhampiran Baitulmaqdis pada hari Rabu, dipacu oleh cuaca panas dan angin kencang.
Asap tebal menyelubungi bandar, menyebabkan masalah besar kepada penduduk dan perkhidmatan kecemasan.
Sekurang-kurangnya 23 mangsa cedera, kebanyakannya akibat sesak nafas dan melecur. di mana 12 orang telah dimasukkan ke hospital, sementara pasukan bomba berusaha mengawal api yang merebak dengan pantas.
Helikopter dan pesawat pemadam kebakaran dari beberapa negara termasuk Sepanyol, Itali, Perancis, dan Romania telah dikerahkan untuk membantu usaha pemadaman.
Lebuh raya utama yang menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmaqdis terpaksa ditutup sementara, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kekacauan di kawasan sekitar.
Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kepada penduduk agar mengelakkan kawasan hutan dan berhati-hati ketika menyambut Hari Kemerdekaan Israel.
Walaupun kebakaran kini dilaporkan semakin terkawal, usaha pemadaman masih diteruskan bagi mengelakkan api merebak ke kawasan perumahan.