20 keluarga terjejas, 38 rumah rosak dalam gempa bumi di Poso
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 15 Julai: Seramai 20 keluarga dilaporkan terjejas manakala 38 rumah mengalami kerosakan susulan gempa bumi bermagnitud 5.3 yang melanda wilayah Poso, Sulawesi Tengah pada malam Isnin.
Gempa berlaku sekitar jam 8.52 malam waktu tempatan dengan pusat gegaran terletak 67 kilometer di barat daya Poso dan 82 kilometer barat laut Luwu Timur, pada kedalaman 10 kilometer.
Menurut Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gegaran turut dirasai di beberapa kawasan berhampiran termasuk Morowali Utara, Luwu Timur dan Kota Palopo.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun pasukan pemantau dan penyelamat masih menjalankan penilaian kerosakan dan keperluan bantuan di lokasi terjejas.
“Pasukan kami terus melakukan pemutakhiran data dan pemantauan di lapangan. Orang ramai dinasihatkan agar kekal waspada terhadap kemungkinan gempa susulan serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih,” kata BMKG dalam satu kenyataan malam ini.
Kerajaan tempatan kini menjalankan koordinasi bersama agensi berkaitan untuk memastikan bantuan dan tindakan susulan dapat dilaksanakan segera.