PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jalan sepanjang 30 meter melintasi kawasan lot binaan, rumah ditutup

Jalan sepanjang 30 meter yang melintasi kawasan di antara lot pembinaan dan kawasan perumahan akan ditutup bagi membantu siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jalan itu adalah tanah di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Sebelum ini jalan itu boleh digunakan, tetapi ia akan ditutup bagi memudahkan pihak polis melakukan siasatan serta pasukan teknikal menjalankan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden dan kejadian terbabit.

“Ia juga untuk kita mengetahui siapa yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, semua mangsa tragedi yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia dibenarkan pulang dan pusat berkenaan ditutup bermula malam tadi.

Beliau berkata, mangsa di PPS Masjid Putra Heights pula akan dibenarkan pulang secara berperingkat sehingga akhir minggu ini.

“Mesyuarat menetapkan rumah yang alami kerosakan kecil, penghuninya akan dibenarkan untuk balik, manakala rumah yang mempunyai kerosakan serius, kita akan lihat bagaimana proses seterusnya.

“Akan ada satu sumbangan standard untuk membantu membaik pulih rumah berkenaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemulihan,” katanya.

Amirudin berkata, proses pendaftaran homestay Airbnb bermula malam tadi dan dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.

Katanya, Majlis Agama Islam Selangor turut menyampaikan sumbangan bakul makanan yang boleh membantu mangsa dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan.

“Keluarga ini akan turut diberikan bantuan makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak masak secara percuma selama sebulan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka untuk membantu mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.

Katanya, potongan gaji itu juga dilaksanakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penjawat awam gred 48 dan ke atas.

Kerajaan beri sumbangan

Bagi menambah dan meningkatkan lagi solidariti, katanya, rakyat Selangor, terutama dalam kalangan penjawat awam, pihak majlis mesyuarat kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan sumbangan.

“Berikutan itu semua EXCO akan menyumbang RM1,000 manakala ADUN akan memberikan RM200, Ahli Majlis (RM100) dan penjawat awam yang bergred 48 dan ke atas akan menyumbang RM50 daripada gaji mereka.

“Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak anggaran RM102,050 yang disumbangkan kepada Tabung Prihatin,” katanya.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran utama paip gas milik PETRONAS terbakar dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.

Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dilaporkan terkesan akibat insiden itu, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas akibat kebakaran tetapi struktur masih utuh.

Baki 218 rumah lagi sudah diperiksa dan didapati tidak terjejas dengan 151 rumah diisytiharkan selamat untuk didiami semula.

 

 

Insiden letupan paip gas medan perbaiki SOP, pelan kecemasan

Kebakaran dan kemusnahan harta benda akibat letupan paip bekalan gas di Putra Heights baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam, sekali gus menimbulkan pelbagai iktibar dan persoalan.

Platform media sosial kini dihujani dengan teks dan video yang perlu diberi perhatian serius. Sebahagian daripadanya mampu membantu dalam siasatan serta memperbaiki langkah keselamatan sedia ada.

Namun, lebih penting adalah memastikan satu tindakan sistematik dan telus dilaksanakan untuk menguruskan kes pasca letupan ini, bebas daripada sebarang kepentingan tertentu dan paling penting berintegriti.

Satu daripadanya adalah proses membaik pulih paip yang harus dilakukan dengan penuh ketelitian meskipun ada tekanan kerana terdapat lebih 200 syarikat atau pelanggan terjejas operasi mereka.

Walaupun demikian, kerja baik pulih perlu mengikut spesifikasi, piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) industri serta ciri keselamatan demi kepentingan semua pihak.

Mangsa bencana ini iaitu rakyat, industri serta pihak berkepentingan pada peringkat serantau dan antarabangsa tentunya menantikan kaedah siasatan dijalankan. Insiden ini bukan sahaja serius, tetapi sangat berkait rapat dengan kredibiliti sistem tadbir urus pihak terbabit.

Oleh itu, amat penting untuk memastikan hasil keputusan siasatan kelak dapat diterima semua pihak sebagai hasil kerja profesional dan berintegriti.

Letupan paip gas di Putra Heights harus diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi, walaupun kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mencari punca sebenar kejadian. Namun, jelas insiden ini memberi kesan negatif kepada banyak pihak dan berpotensi menjejaskan banyak perkara. Oleh itu, siasatan perlu dilakukan dengan penuh ketelusan tanpa ada ruang untuk sebarang keraguan mengenai cara dan hasilnya.

Pada masa sama, mereka yang bertanggungjawab harus dikenakan hukuman setimpal dan memastikan tiada pihak boleh diri daripada tanggungjawab. Kebakaran paip gas ini pasti ada punca yang perlu disiasat.

Dicadangkan supaya siasatan ini tidak hanya dilihat sebagai satu proses pendakwaan. Sebaliknya, hasil siasatan perlu digunakan untuk merumuskan analisis dan set penyelesaian terbaik, termasuk menambah baik isu teknikal dan pencegahan supaya perkara sama dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan.

Siasatan ini seharusnya dijadikan satu testimoni dan iktibar sama ada untuk penggiat industri, sektor perundangan termasuk penggubalan prosedur baharu pada masa akan datang.

Selain itu, pengurusan pasca letupan yang membabitkan mangsa juga sangat kritikal. Perlu ada pihak tampil ke hadapan untuk mengurus dan memastikan hak penduduk terjejas dikembalikan.

Apakah hak dan tuntutan mereka perlu dibatasi dengan syarat seperti memiliki insurans? Jangan lupa nasib penduduk kampung berhampiran yang turut terjejas.

Penting untuk ada pihak memastikan pampasan dan ganti rugi akan diberikan kepada mangsa adalah setimpal dan adil.

Selanjutnya, jika ada penduduk berasa tidak lagi selamat untuk tinggal di kediaman mereka kerana trauma akibat kejadian itu, apakah mereka berhak menuntut untuk dipindahkan.

Jika tuntutan ini tidak dapat dipenuhi, bagaimana kita dapat meyakinkan mereka bahawa keselamatan mereka akan terjamin pada masa depan?

Isu keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran jajaran paip gas yang terjejas adalah antara perkara penting diberi perhatian. Sejauh manakah jaminan keselamatan mereka. Mungkin perlu ada kajian semula mengenai jarak penampan sedia ada.

Laksana audit, analisis forensik inklusif

Berdasarkan impak letupan, ada kemungkinan perlu ada penguatkuasaan zon penampan yang lebih realistik, bukan hanya di kawasan penempatan, tetapi juga di sepanjang jajaran gas Semenanjung.

Pemeriksaan lokasi kejadian untuk menilai impak serta kemusnahan juga amat penting sebagai panduan dan perancangan projek paip gas akan datang

Pemeriksaan lokasi kejadian untuk menilai impak serta kemusnahan juga amat penting sebagai panduan dan perancangan projek paip gas akan datang.

Sebagai kawasan berisiko tinggi, satu set kawalan dan jaminan keselamatan lebih ketat perlu diwujudkan untuk melindungi saluran paip gas nasional ini.

Oleh itu, pihak yang terbabit perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sepanjang jajaran paip gas untuk mengesan sebarang aktiviti berisiko seperti laluan kenderaan, kegiatan pertanian atau pencerobohan. Kerajaan juga perlu menyemak semula aktiviti yang perlu dilarang berhampiran jajaran paip gas.

Justeru, satu audit dan analisis forensik yang inklusif berdasarkan input daripada semua pihak perlu dilakukan. Audit ini bukan sekadar mencari punca ketirisan dan kelemahan, tetapi juga memperkasakan SOP serta mengemukakan langkah penambahbaikan melalui pendekatan lebih sistematik.

Ini bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan sekitar jajaran paip gas serta pencegahan bencana sama pada masa depan. Bagi jangka masa panjang, pemilik operator saluran paip dan pihak berkuasa perlu berganding bahu melaksanakan pemantauan berkala.

Teknologi canggih termasuk penggunaan dron boleh dimanfaatkan dalam pemantauan ini, terutama di kawasan yang sukar dicapai.

Strategi jangka panjang juga perlu dilaksanakan dengan membabitkan kerjasama antara pihak berkuasa, syarikat gas dan komuniti setempat yang berperanan sebagai mata dan telinga untuk keselamatan kawasan berkenaan.

Tidak mustahil juga untuk membina pagar sepanjang jajaran dan membina pos kawalan pada setiap jarak yang munasabah untuk memantau aktiviti keluar masuk zon berkenaan.

Syarikat pemilik paip gas pula seharusnya mempunyai sistem pengesanan kebocoran, namun mungkin perlu ditambah dengan sistem pengesanan pencerobohan kawasan untuk aktiviti tidak dibenarkan.

Kita harus mengkaji semula pelan tindak balas kecemasan yang ada untuk memastikan keberkesanannya. Ini membabitkan pelan pemulihan bencana, sistem membendung dan penutupan serta pasukan tindak balas bahan berbahaya.

Pihak terbabit juga perlu mengambil kira faktor bencana alam seperti gempa bumi, hakisan, banjir dan kebakaran dalam semakan ini.

Mengambil sisi positif daripada kejadian ini, semua pihak harus membuat semakan semula terhadap sistem, prosedur, etika, piawaian dan integriti yang ada.

Melindungi jajaran paip gas nasional kini memerlukan pendekatan lebih holistik, menggabungkan penyelesaian manusia dan teknologi, langkah keselamatan fizikal serta pelan kontingensi.

Tindakan susulan yang perlu selepas kejadian di Putra Heights adalah semakan dan pemantapan prosedur, peraturan serta akta berkaitan demi menjaga kredibiliti tadbir urus serta melindungi keselamatan orang ramai, termasuk industri.

 

 

Bantuan bencana Nadma RM14.7 juta

Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan peruntukan bantuan bencana kepada Kerajaan Selangor berjumlah RM14.7 juta tahun ini.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, peruntukan itu bagi pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana dan BWI Kematian RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.

Beliau berkata bantuan berkenaan turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya minggu lalu.

“Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, Khairul Shahril berkata, setiap rumah terkesan akibat bencana itu turut menerima bantuan tunai RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, iaitu RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada Petronas.

“Pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan RM5,000, iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada Petronas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan untuk menyewa rumah sementara kediaman mereka diperbaiki ataupun dibina semula. “Peruntukan ini mencerminkan tanda keprihatinan Kerajaan Madani kepada mangsa bencana di Putra Heights. Bagi melicinkan proses pengagihan bantuan, semua sumbangan disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa minggu lalu mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – Bernama

Kebakaran Putra Heights: Selangor sasar kumpul RM500k dengan potongan gaji

Sebagai tanda solidariti dengan mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan pemotongan gaji Adun dan penjawat awam berpangkat tinggi untuk disalurkan ke tabung untuk mangsa.

Amirudin berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM500,000 dalam Tabung Prihatin Selangor.

"Bagi tujuan ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka, keseluruhan Adun termasuk pembangkang RM200, manakala bagi penjawat awam Gred 48 ke atas RM50 yang akan digunakan bagi membantu proses pemulihan yang direncana kerajaan negeri," katanya.  

Amirudin berkata sebanyak 270 rumah di sana disahkan selamat dan sedia untuk diduduki semula, dan pemilik rumah juga boleh membuat kerja-kerja pembaikan kecil.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung urusan baik pulih kediaman mangsa, Isnin minggu depan.

"Rumah-rumah yang ada masalah kecil ini kita akan lihat nanti macam mana proses baik pulihnya. 

“Kalau tidak begitu besar, akan ada satu sumbangan standard kepada mereka yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemulihan," katanya lagi.

Selain itu, kerja pembersihan akan dijalankan di kawasan terjejas pada hujung minggu ini dengan sokongan kira-kira 1,000 sukarelawan.

 
Pada 6 April lalu, sebanyak 219 buah rumah dilaporkan rosak akibat kebakaran yang berlaku empat hari sebelumnya.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terjejas telah menerima bantuan segera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 April.

Pejabat Daerah Petaling masih dalam proses memuktamadkan pengesahan individu yang terjejas dan dijangka selesai Jumaat ini.

Berhubung pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Amirudin berkata ia akan ditutup pada pukul 10 malam ini selepas menempatkan 60 orang daripada 16 keluarga yang terjejas.

Ini berikutan bantuan yang diberikan oleh kerajaan, dengan beberapa keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Kerajaan negeri mula menawarkan perumahan seperti Airbnb serta tawaran duit sewa, dan proses pemindahan penduduk dari PPS berkenaan ke unit rumah yang ditawarkan bermula hari ini.

"Operasi PPS Masjid Putra Heights yang kini menempatkan 87 keluarga pula dijangka ditamatkan pada Ahad ini," katanya lagi.

Amirudin menambah Majlis Agama Islam Selangor pula akan menyediakan bakul makanan untuk keluarga terjejas yang dijangka mencukupi untuk keperluan selama sebulan.

Letupan Putra Heights: Gas Malaysia umum pengeroperasian semula Stesen Serdang City Gate

KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mengumumkan pengoperasian semula Stesen Serdang City Gate yang ditutup sementara susulan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, minggu lalu.

Gas Malaysia menerusi satu kenyataan di sini, hari ini, memberitahu perkara itu dimaklumkan oleh pembekal PETRONAS Gas Berhad (PGB) bagi menyokong proses pemulihan dan mengukuhkan kestabilan bekalan gas di kawasan Lembah Klang.

"Pengoperasian semula itu dapat meningkatkan bekalan gas terutama kepada pelanggan industri di kawasan terjejas seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bangi, Balakong dan Seri Kembangan.

"Melalui perkembangan itu, hanya empat stesen yang sedang dalam pemulihan oleh PGB dalam memastikan usaha memulihkan bekalan gas sepenuhnya diteruskan," kata kenyataan itu.

Menurut Gas Malaysia, jumlah pelanggan yang terjejas kini berkurangan kepada 275 berbanding 299 sebelum ini seperti diumumkan Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, pengurangan bekalan gas bagaimanapun dijangka berterusan sehingga 20 April ini berdasarkan notis oleh PGB.

"Kami memahami cabaran dihadapi oleh pelanggan yang terpaksa mengehadkan operasi disebabkan gangguan bekalan gas tidak dijangka," katanya.

Dalam pada itu, Gas Malaysia menafikan insiden kebakaran itu membabitkan kemudahan milik syarikat berkenaan sebaliknya ia berlaku di infrastruktur milik PGB.

Gas Malaysia kekal komited memastikan pengedaran gas asli yang selamat dan boleh dipercayai melalui pembinaan saluran paip yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, mengurangkan kesan kepada pelanggan, memastikan keselamatan awam dan mengekalkan integriti perkhidmatan kekal menjadi keutamaan Gas Malaysia.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search