PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Lagi gempa bumi di Kepulauan Caroline Barat

PETALING JAYA – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.4 berlaku di Kepulauan Caroline Barat, Micronesia pada pukul 6.53 pagi tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa bumi itu berpusat di 9.6 darjah Utara dan 138.5 darjah Timur.

“Pusat gempa berkenaan dikesan pada kedalaman 76 kilometer, kira-kira 1,096 kilometer ke timur Tagum City, Filipina.

Setakat ini, tiada maklumat mengenai sebarang ancaman tsunami atau kesan gempa bumi berkenaan terhadap Malaysia dilaporkan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Belgium bergelut padam kebakaran hutan terburuk

BRUSSELS: Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api marak yang merebak di kawasan hutan simpan terbesar Belgium, dengan pihak berkuasa menyifatkannya sebagai kebakaran hutan terburuk yang pernah melanda negara itu.

Penduduk di dua kampung berhampiran diarahkan berpindah selepas api memusnahkan kira-kira satu pertiga kawasan High Fens, manakala pihak berkuasa tempatan memberi amaran kebakaran yang tercetus sejak Jumaat itu boleh merebak hingga ke kawasan kediaman.

Pesawat pengebom air dan helikopter dari beberapa negara Eropah turut dikerah bagi membantu anggota bomba memadam kebakaran di taman berkenaan, yang terletak berhampiran sempadan timur Belgium dengan Jerman.

Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib berkata, dua pesawat pengebom air dari Sweden serta dua helikopter, masing-masing dari Republik Czech dan Belanda, sedang dihantar untuk membantu operasi pemadaman.

Kebakaran itu adalah antara beberapa kebakaran hutan yang berlaku di seluruh Eropah pada Sabtu, termasuk kebakaran hutan di barat daya Perancis yang memaksa ratusan penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Pihak berkuasa tempatan Belgium berkata, kebakaran itu masih belum dapat dikawal.  

Jurucakap pihak berkuasa serantau Wallonia, Nicolas Yernaux menyifatkan kebakaran itu sebagai yang terbesar dalam sejarah moden Belgium.

Sebuah gimnasium berhampiran turut dibuka sebagai pusat perlindungan bagi penduduk yang dipindahkan.

Pihak berkuasa berkata, usaha memadam kebakaran terjejas akibat keadaan cuaca serta bentuk muka bumi taman berkenaan yang terdiri daripada kawasan berpaya, tanah semak dan hutan.

Yernaux berkata, anggota bomba terpaksa membiarkan sebahagian kawasan tanah semak terbakar kerana kawasan itu amat sukar untuk diakses.

Tiada kawasan catat bacaan IPU tahap baik

PETALING JAYA: Tiada kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik setakat pukul 12 tengah hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, kualiti udara di beberapa kawasan dalam negara juga masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

“65 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan empat kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini.

“Antara kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (161), Samarahan (155), Kuching (118), dan Johan Setia (107),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, menurut peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 16 Ogos menunjukkan titik panas bertaburan dikesan di kebanyakan kawasan di Kalimantan manakala titik panas terpencil dikesan di Pulau Jawa, Kepulauan Sunda Kecil, Sulawesi dan bahagian selatan Sumatera.

Menurutnya, JAS telah mengambil inisiatif mempertingkatkan lagi penguasaan dan membuat rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpontensi berlakunya pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. – UTUSAN

Nusa Tenggara Timur isytihar darurat susulan gempa

JAKARTA, 16 Ogos: Kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) mengisytiharkan darurat bencana selama 14 hari susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang menggegarkan wilayah itu pada Sabtu.

Lebih 5,000 penduduk kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara, dengan Kabupaten Sikka merekodkan jumlah tertinggi iaitu 3,356 orang diikuti Manggarai seramai 2,078 orang.

Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton S.P. Panjaitan berkata, usaha pengurusan bencana dipergiat bagi memastikan keperluan asas mangsa seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan dan tempat perlindungan dapat disalurkan segera.

“Dengan penetapan status darurat, usaha pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih maksimum, selain membolehkan kerajaan pusat mempercepatkan usaha membantu dan menangani keperluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan gabungan turut meneruskan pengesahan kerosakan di kawasan terjejas.

Gempa berkenaan mengorbankan 47 orang, manakala sekurang-kurangnya 101 lagi cedera.

Kabupaten Manggarai merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 23 mangsa, diikuti Manggarai Timur (17), Sikka (empat), manakala Manggarai Barat, Ende dan Nagekeo masing-masing satu kematian.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 1,357 rumah dan 167 kemudahan awam mengalami kerosakan akibat gegaran kuat.

Pasukan penyelamat kini berusaha mencari laluan alternatif bagi memastikan penghantaran bantuan dan operasi kecemasan dapat diteruskan, selain menggunakan bot dan helikopter untuk menjangkau kawasan yang masih terpencil.

Rawatan mangsa yang cedera turut menjadi keutamaan dengan perkhidmatan perubatan disediakan di hospital sedia ada serta hospital lapangan yang didirikan bagi meningkatkan kapasiti rawatan kecemasan.-TVS

Strong earthquake hits Minahassa Peninsula, tremors felt in Sabah

KUALA LUMPUR: A strong earthquake with a magnitude of 6.1 was detected on the Minahassa Peninsula, Sulawesi, Indonesia, at 12.25 am today.

The Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia), in a Facebook post, said that the earthquake was centred at coordinates 0.1 degrees South and 120.6 degrees East, at a depth of 10 kilometres, 116 km northeast of Palu, Indonesia.

According to MetMalaysia, tremors were felt in Tawau, Lahad Datu, and Semporna in Sabah, but posed no tsunami threat to the country. — BERNAMA
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search