HANOI: Angka korban akibat banjir dan hujan lebat selama seminggu di Vietnam tengah meningkat kepada 40 orang pada Selasa ketika satu lagi taufan kuat dijangka melanda kawasan yang masih terjejas teruk itu.
Kawasan tengah Vietnam dilanda hujan lebat berterusan, menenggelamkan jalan raya yang bertukar menjadi seperti terusan, memecahkan tebing sungai dan menenggelamkan beberapa lokasi bersejarah paling popular di negara itu.
Sehingga 1.7 meter hujan dilaporkan turun dalam tempoh 24 jam, satu rekod baharu negara.
Kematian dilaporkan di wilayah Hue, Da Nang, Lam Dong dan Quang Tri, menurut agensi pengurusan bencana kementerian alam sekitar yang turut memaklumkan enam mangsa masih hilang.
Keadaan cuaca ekstrem dijangka berterusan, dengan Taufan Kalmaegi diramal membadai daratan awal pagi Jumaat, menurut jabatan meteorologi negara.
Vietnam lazimnya menerima hujan lebat antara Jun dan September, namun bukti saintifik menunjukkan perubahan iklim akibat manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem lebih kerap dan bertambah buruk.
Secara purata, Vietnam dilanda kira-kira 10 taufan atau ribut tropika setiap tahun sama ada secara langsung atau di luar pesisir, tetapi Taufan Kalmaegi merupakan ribut ke-13 pada tahun 2025.
Ketika ini, taufan tersebut sedang melanda Filipina, di mana sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan ratusan ribu penduduk dipindahkan.
Menurut jabatan cuaca nasional, taufan itu boleh membadai pantai Vietnam dengan angin sehingga 166 kilometer sejam apabila menghampiri pada Khamis.
Pada Selasa, wilayah terbabit masih terjejas teruk akibat cuaca melampau sepanjang minggu lalu dengan beberapa kawasan terpencil masih terputus hubungan akibat tanah runtuh yang menutup laluan darat.
Hampir 80,000 rumah masih dilanda banjir, menurut agensi bencana negara, manakala lebih 10,000 hektar tanaman musnah dan lebih 68,000 ternakan dilaporkan mati.
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 15 orang disahkan maut manakala lapan lagi masih hilang selepas banjir melanda dua daerah di Tanah Tinggi Papua, Indonesia.
Agensi Pengurangan Bencana Negara (BNPB) memaklumkan semua 15 mangsa ditemukan di Daerah Dal, Wilayah Nduga, manakala pasukan mencari dan menyelamat masih berusaha mengesan lapan lagi mangsa di Kampung Yuguru, Daerah Meborok.
"Banjir yang berpunca daripada hujan lebat melanda kedua-dua daerah itu pada Sabtu malam," kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Beliau memberi amaran mengenai kemungkinan hujan berterusan dalam beberapa hari akan datang, dengan amaran cuaca masih berkuat kuasa di Tanah Tinggi Papua sehingga esok.
Agensi itu turut menggesa penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai, supaya berpindah ke kawasan lebih tinggi sekiranya hujan berterusan lebih sejam dan mematuhi arahan pemindahan rasmi.
GUA MUSANG, 4 Nov: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini malam tadi, bagi menempatkan mangsa banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam sejak petang semalam.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memaklumkan sebanyak 17 mangsa daripada 11 keluarga di Felda Chiku 5 telah dipindahkan ke PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata hujan lebat bermula kira-kira 7 malam itu, turut menyebabkan beberapa kawasan perumahan serta jalan utama dinaiki air secara mendadak.
Beliau berkata hujan berterusan menyebabkan Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang serta Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Persimpangan Lampu Isyarat Bendahara, dilimpahi air.
“Selain itu, lima kawasan perumahan turut terjejas iaitu di Kesedar Paloh 1, Paloh 3, Chalil, Felda Chiku 3 dan Felda Chiku 5,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata limpahan air itu dipercayai berpunca daripada sistem saliran yang tidak mampu menampung jumlah air hujan yang tinggi dalam tempoh singkat.
Setakat pagi ini, hujan telah berhenti dan keadaan dilaporkan semakin baik. -TVS
PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 6 November ini dan berterusan hingga 26 Mac tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persiapan itu termasuk siap siaga bilik gerakan banjir selama 24 jam iaitu antara tiga tahap persediaan yang diutamakan kementerian berkenaan.
“Selain pengaktifan bilik gerakan banjir, kami turut menggerakkan pasukan di peringkat daerah dan negeri dengan kerjasama agensi penyelamat lain.
“Pada masa sama, kami turut menambah kemudahan seperti jambatan modular sebagai langkah persediaan di kawasan berisiko terputus hubungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program JKR Greenday 2025 di sini, hari ini.
Sebelim ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, sebanyak 49 jambatan modular akan disediakan di seluruh negara melalui kerjasama antara JKR dan Kor Jurutera Angkatan Tentera (RAJD) bagi menghadapi MTL kali ini.
Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima peruntukan sebanyak RM460 juta sebagai persediaan menghadapi bencana dengan 10 kompleks tandas lengkap bekalan air bersih akan ditambah di pusat pemindahan sementara (PPS). – UTUSAN
TELIPOK, 4 Nov: Apabila hujan mula turun, penduduk Kampung Boronuon, Telipok mula berasa gelisah kerana mereka perlu bersiap sedia menghadapi bencana banjir sampah yang sudah menjadi rutin hidup selama berdekad-dekad.
Air sungai yang sepatutnya jernih berubah menjadi aliran air kotor, sarat dengan botol plastik, tilam rosak, barangan elektrik dan sisa buangan rumah yang hanyut dari penempatan di atas bukit.
“Asal hujan, sampah turun. Asal banjir, sampah datang. Sudah lebih 30 tahun begini,” luah Jainin Kinsum, 65, penduduk lama kampung ini.
Sungai yang Tidak Lagi Bernyawa
Bagi Jais Elah, 49, masalah ini bukan sekadar tentang bau busuk atau pemandangan kotor. Ia soal kesihatan dan keselamatan.
“Kalau hujan, air naik dua kaki. Semua sampah naik sekali. Kadang-kadang ada bangkai anjing, sisa makanan, plastik… semua hanyut ke rumah kami,” katanya sambil menunjuk ke arah sungai yang berlumpur di belakang rumahnya.
Menurut Jais, punca utama datang dari penempatan semula di atas bukit yang didiami penduduk yang dipindahkan dari Pulau Pondo, Kota Kinabalu.
“Mereka buang sampah dari atas sana. Sungai kami jadi tempat pembuangan. Bila air naik, semua sampah turun ke bawah,” tambahnya.
Penduduk sudah berkali-kali membuat aduan kepada pihak berwajib. Tetapi seperti air yang mengalir tanpa arah, tiada tindakan yang benar-benar menyelesaikan masalah itu.
30 Tahun Aduan Tanpa Jawapan
“Sudah lebih 30 tahun kami tunggu tindakan. Pihak kampung, JPKK semua sudah buat aduan, tapi tetap juga sama,” kata Jais lagi.
Setiap kali sungai dibersihkan atau dikorek bagi tujuan pelebaran sungai oleh pihak berkuasa, keadaan hanya bertahan dua atau tiga tahun sebelum kembali seperti asal dan kembali tersumbat dengan longgokan sisa.
Bagi Normah Lahu, 37, setiap kali hujan lebat menjadi waktu paling mendebarkan.
“Air naik, sampah semua datang. Kami tunggu surut baru boleh bersihkan sendiri. Kadang-kadang sehari suntuk kami bersih dan kemaskan kawasan rumah. Bau busuk, air hitam. Tapi siapa lagi mahu datang tolong?” katanya.
Sistem Parit yang Lumpuh
Menurut penduduk, sistem perparitan di kawasan perumahan atas bukit yang belum memiliki nama sebenar perkampungan menjadi punca utama aliran air tersumbat dan sampah hanyut ke bawah.
“Sistem parit mereka memang tidak bagus. Bila hujan, semua sampah plastik, botol mineral, tilam buruk, turun ke tempat kami,” ujar Normah.
Mereka percaya, tanpa pelan perparitan yang teratur dan pemantauan ketat, masalah ini tidak akan selesai walau berapa kali dikorek atau dibersihkan.
Sampah yang Menjadi Takdir
Dalam tinjauan TVS, keadaan sungai di Kampung Borunuon jelas memperlihatkan betapa kroniknya isu ini.
Sampah-sampah terapung bersama sisa banjir membentuk benteng buatan, menyebabkan air melimpah ke kawasan rumah setiap kali hujan lebat.
Di beberapa sudut, kelihatan pokok tumbang menjadi tempat tersangkutnya plastik, tilam busuk dan barangan rumah.
“Kalau dilihat dari jauh, orang sangka sungai ini sekadar kotor…tapi bila dekat, kita tahu ini sudah jadi penyakit kepada kami, ” kata Jainin.
Bagi komuniti kecil ini, harapan mereka tidak besar, hanya mahukan sungai kembali bersih dan sistem perparitan yang berfungsi.
Mereka mahu pihak berkuasa melihat dengan mata sendiri bagaimana sungai yang dulunya sumber kehidupan kini menjadi ancaman.
“Harapan kami, buatlah sistem yang bagus. Janganlah buang sampah lagi. Tolonglah kami yang di bawah ini,” rayu Norma.
Masalah yang berlarutan hampir empat dekad ini bukan lagi sekadar isu kebersihan, tetapi cerminan kepada kegagalan sistem pengurusan sampah dan pembangunan seimbang.
Setiap kali hujan turun, Kampung Borunuon mengingatkan kita bahawa di sebalik limpahan air yang membawa kehidupan, tersembunyi juga beban yang dibuang manusia yang akhirnya kembali kepada kita sendiri.
