Pasang tong dram hadapi gelombang kedua banjir
- Admin UKK
- Berita
JERANTUT: Hujan lebat sejak kelmarin meningkatkan paras Sungai Tembeling, mendorong penduduk Kampung Bantal di sini memasang tong dram sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi gelombang kedua banjir.
Penduduk setempat menyatakan air Sungai Tembeling kini hampir mencecah tebing kampung berikutan curahan hujan berterusan dari sempadan Terengganu dan Jeram Perahu di sini.
Bacaan rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Bantal pada pukul 8 pagi semalam menunjukkan paras air setinggi 105.30 meter, sekali gus mula memasuki kawasan dataran perniagaan.
Keadaan itu menyebabkan pemilik rakit kedai kopi dan makanan di pesisir sungai segera memasang tong dram sebagai pelampung di bawah lantai rumah dan premis perniagaan masing-masing bagi mengelak kedai tenggelam serta hanyut dibawa arus.
Di Kampung Bukit Mat Daling, jambatan kecil yang merentasi Sungai Semena dilaporkan sudah ditenggelami air sejak awal pagi semalam, sekali gus memutuskan laluan ke beberapa perkampungan berhampiran.
Seorang penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 46, berkata, hujan lebat di kawasan hulu Sungai Sepia dan Sungai Tembeling sejak kelmarin menyebabkan arus deras dan paras air naik mendadak.
“Pertembungan dua arus sungai berdekatan kampung ini biasanya menyebabkan air cepat melimpah ke dataran perniagaan, seperti kejadian banjir pada 28 November lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, beberapa penduduk yang tinggal berhampiran sungai mula mengemaskan kediaman dan premis masing-masing dengan membaik pulih serta menggantikan tong pelampung baharu agar rumah dan kedai mereka dapat terapung ketika banjir.
Seorang penduduk, Hafizan Johar, 50-an, berkata, usaha itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan hujan masih berterusan.
“Kami bimbang air Sungai Tembeling melimpah lebih tinggi, jadi tong lama diganti dengan baharu supaya rumah tidak hanyut apabila ditambat pada pokok besar,” katanya.-UTUSAN.
