PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Amaran angin kencang badai pantai

Kuala Terengganu: Jabatan Meteorologi Terengganu memberi amaran angin kencang diramal membadai perairan Terengganu sehingga hari ini.

Justeru, Pengarahnya, Rosli Zakaria meminta orang ramai yang tiada keperluan supaya menjauhi kawasan pantai.

Beliau berkata, kelajuan angin yang direkodkan di Kuala Terengganu semalam iaitu kira-kira 25 kilometer sejam (km/jam) berbanding kelajuan biasa sekitar 1020km/j pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Orang ramai perlu menjauhi pantai kerana bimbang risiko berlakunya pokok tumbang atau struktur binaan runtuh yang boleh mendatangkan kecederaan. Selain itu aktiviti laut juga dilihat berisiko terutama bagi nelayan yang menggunakan bot-bot kecil,” katanya.

Beliau berkata, waktu kemuncak angin kencang dijangka berlaku pada semalam atau hari ini.

80 rumah atas air musnah dalam kebakaran

Sebanyak 80 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air, dekat Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 pagi itu, api marak dengan pantas berikutan keadaan rumah papan yang rapat di antara satu sama lain.

Beliau berkata, tiga mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap, namun dilaporkan stabil selepas diberikan rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di lokasi.

“Operasi pemadaman membabitkan 51 anggota, termasuk dari BBP Kunak serta Bomba Komuniti Titingan dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasukan Bomba mengambil masa kira-kira 80 minit untuk memadam kebakaran sehingga api dikawal pada jam 9.20 pagi,” katanya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.46 pagi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi turut membabitkan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan lapan anggota serta tiga kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, turut berada di lokasi, dua pegawai pasukan Forensik Kebakaran Zon Tawau, bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Beberapa daerah diramal bah gelombang kedua

Belumpun reda banjir di Johor dengan mangsa kini meningkat melebihi 3,000 orang, beberapa daerah di negeri itu diramal dilanda gelombang kedua bencana itu antara Rabu hingga Sabtu ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) yang dimaklumkan ketika taklimat banjir sewaktu meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, semalam.

“Metmalaysia memaklumkan gelombang kedua hujan berterusan dijangka berlaku di Johor pada 15 hingga 18 Januari ini.

“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor supaya terus waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di negeri ini berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Portal Bencana NADMA melaporkan sehingga jam 7 petang semalam, sebanyak 3,779 mangsa di Johor; Kedah (51); Terengganu (34) dan Perak (31).

Mereka daripada 1,115 keluarga yang berlindung di 39 PPS di empat negeri terbabit.

Di Johor, daerah yang terbabit banjir ialah Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kluang; Kuala Muda di Kedah; Kemaman di Terengganu dan Manjung di Perak.

Sementara itu, penduduk daerah ini yang ditemui melahirkan kebimbangan mereka susulan ramalan berlakunya gelombang kedua banjir itu.

Penduduk Taman Mawai, Rahizat Abdul Rahim, 49, berkata beliau bersama mangsa banjir di PPS turut tidak dibenarkan pulang ke rumah semula walaupun keadaan banjir sudah surut susulan gelombang kedua yang bakal melanda.

Katanya, pengurusan PPS memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan dijangka bakal berulang semula mulai esok dengan banjir gelombang kedua

dijangka berlaku.

“Pihak berkuasa di PPS meminta semua mangsa banjir di yang ditempatkan di sini tidak pulang ke rumah susulan risiko gelombang kedua dengan jangkaan

paras air lebih tinggi.

“Apatah banjir kali ini naik dengan pantas serta berarus deras dibimbangi akan menyukarkan proses pemindahan jika penduduk dibenarkan balik.

“Oleh itu, kami terpaksa bersiap sedia dengan pulang sebentar ke rumah untuk mengemas barang-barang bagi dinaikkan ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Banjir ragut kegembiraan sambut Tahun Baharu Cina

Pengalaman berdepan situasi getir ketika rumah dinaiki air akibat banjir masih segar dalam ingatan rata-rata masyarakat Tionghua di Kuala Krai meskipun bakal meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada 29 Januari.

Tinjauan di kawasan perumahan Taman Bukit Sireh mendapati musibah itu memberi kesan mendalam kerana masa dan tenaga dihabiskan membersihkan rumah serta membeli kelengkapan.

Pemilik bengkel motor Tan Sheng Lock, 44, berkata banjir berlaku penghujung tahun lepas telah menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 kerana premis perniagaan dan rumahnya dinaiki air.

“Banjir baru-baru ini menyebabkan air masuk ke dalam bengkel hampir paras pinggang dan dekat rumah pula lagi sikit nak sampai ke siling dan sampai sekarang masih ada lagi kawasan yang belum dibersihkan sepenuhnya.

“Sambutan Tahun Baharu Cina tetap kena raikan cuma dalam keadaan sederhana sahaja kerana memikirkan banyak lagi keperluan penting yang perlu diuruskan terlebih dahulu,” katanya.

Tukang gunting rambut Tien Ai Meng, 49, berkata selepas banjir berlaku, dia tidak dapat bekerja hampir sebulan kerana perlu membersihkan rumah.

Jumlah mangsa bah di Johor meningkat

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat manakala di Perak dan Terengganu kekal sejak malam kelmarin.

Di JOHOR, jumlah mangsa melonjak kepada 3,449 orang setakat 8 pagi semalam, berbanding 2,524 orang direkodkan malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,023 keluarga itu ditempatkan di 36 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

“Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,160 mangsa dipindahkan ke PPS, diikuti Kulai (748), Johor Bahru (605), Kluang (506) dan Pontian (430),” katanya.

Beliau berkata tiga sungai dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat dengan bacaan 6.03 meter (m), Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.75 m) dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai (21.07 m).

Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi, katanya, masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi semalam kekal seperti malam kelmarin dengan 30 orang daripada lapan keluarga berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.

“Kesemua mangsa yang berlindung di PPS berkenaan sejak Khamis lepas adalah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak mencatat paras berjaga-jaga iaitu “Kota Tinggi paling teruk terjejas dengan 1,160 mangsa dipindah ke PPS Dr Azmi

165.43 m berbanding paras normal 165.10 m.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan di Perak Tengah masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan itu dinaiki air setinggi 0.8m.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 16 orang pagi semalam dengan kesemuanya ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Geliga Pantai di Kemaman yang dibuka 10 malam kelmarin.

Berdasarkan laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my/, hanya Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut melepasi paras bahaya iaitu 35.64 m.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search