Jangan ‘canggung’ tangani karhutla
- Admin UKK
- Berita
Setakat ini, hampir 300,000 hektar kawasan atau lebih empat kali ganda keluasan Singapura hangus di Indonesia akibat kebakaran hutan dan tanah gambut yang di sana, disebut menggunakan singkatan (karhutla).
Bencana bukan alam semula jadi ini menyebabkan jerebu tebal menyelimuti kawasan luas di Pulau Borneo dan Sumatera, berminggu-minggu lamanya, malah asap kebakaran juga sampai ke Singapura, Filipina dan hampir terlupa, Malaysia.
Lebih lima juta orang di seluruh Borneo dan Sumatera terdedah secara langsung kepada jerebu, demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono pada bulan lalu.
Lebih 1.4 juta pelajar pula menghadiri pembelajaran secara online dengan banyak sekolah ditutup akibat kualiti udara merosot teruk.
Masalah jerebu masih berlaku walaupun Indonesia tidak asing dengan karhutla kerana sejarah aktiviti tebang dan bakar sebagai langkah murah membersihkan tanah untuk pertanian ini melangkaui berdekad-dekad lamanya dan berlaku semasa era Presiden Suharto lagi.
Bagaimanapun, kali ini, Jakarta sedikit ‘canggung’ dalam menangani karhutla walaupun berkali-kali mengalaminya.
Ketika api merebak di Kalimantan dan Sumatera, pemimpin Indonesia dilaporkan mengusulkan penggunaan tepung ubi kayu sebagai bahan pemadam kebakaran. Apabila penulis membaca tentang ini, penulis awalnya beranggapan ia berita palsu.
Namun, penelitian lanjut mendapati cadangan itu benar-benar berlaku. Sepanjang lebih dua dekad penulis membuat liputan mengenai kebakaran hutan besar khususnya di Australia, Eropah dan Amerika, ini kali pertama penulis melihat usul sebegini.
Ia adalah cadangan yang penulis boleh katakan, ‘pemikiran jauh di luar kotak’. Di masa hadapan, saintis-saintis mungkin boleh membuktikan bahawa tepung ubi kayu adalah bahan pemadam api yang efektif.
Penulis juga terbaca tentang pemerintah Indonesia mengarahkan pasukan komando melakukan terjunan di kawasan-kawasan titik panas untuk memadamkan kebakaran hutan. Di ruangan komentar, pelbagai pertanyaan diusulkan oleh netizen, khususnya apa yang dibawa oleh setiap komando dan bagaimana pula mereka akan keluar nanti?
Penulis juga melihat pentadbiran tempatan melepaskan pasukan bomba bersama jentera pemadam api ke lokasi kebakaran persis pelepasan acara ‘treasure hunt’.
Dalam keterbatasan penulisan ini, penulis ingin memberi cadangan ‘kolot lagi konservatif’ bagi membantu Indonesia menangani karhutla di masa hadapan seperti mewujudkan sistem amaran awal di zon kebakaran hutan dan membeli pesawat serta helikopter pemadam kebakaran.
Pemerintah juga boleh meningkatkan jentera, petugas dan persediaan lain di kawasan berisiko setiap kali musim pembersihan tanah tiba.
PETALING JAYA: Kebanyakan ibu bapa mengambil keputusan untuk tidak membenarkan anak mereka hadir ke sekolah, susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk di seluruh negara.
Pemerhatian di media sosial mendapati, kebanyakan ibu bapa meluahkan perasaan bimbang terhadap kesihatan anak-anak mereka yang terdedah kepada kualiti udara tidak sihat.
Rata-rata mereka mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) penutupan sekolah mengikut nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang didakwa lambat bertindak balas terhadap situasi di lapangan.
Pengguna platform Threads, @eilahalie memberitahu, tindakan yang diambilnya adalah demi keselamatan anak.
“Saya tidak sekolahkan anak sebab jerebu teruk. Semua tanggungjawab kita, kalau jadi apa-apa, sekolah akan kata dia ikut panduan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Seorang lagi pengguna, @izuilam mempersoalkan kewajaran menunggu bacaan tertentu sebelum tindakan diambil terutamanya bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti asma.
“Takkan hendak tunggu teruk baru tutup? Macam mana anak yang ada asma? Ada jaminan ke pergi sekolah tu, streslah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Katanya, tindakan berkaitan pengoperasian sekolah ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan bacaan IPU menjadi rujukan rasmi.
“Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan pihak sekolah,” katanya. – UTUSAN
KUALA LUMPUR, 4 September – Kualiti udara di Sarawak pagi ini terus merosot dengan stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) bahaya melepasi 500 iaitu 517.
Berdasarkan kemas kini di laman sesawang Sistem Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 11.00 pagi, Kuching juga mencatatkan bacaan pada tahap bahaya iaitu 310.
Samarahan dan Sri Aman pula merekodkan bacaan paras sangat tidak sihat iaitu (281) dan Sri Aman (239).
10 kawasan pula merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan enam daripadanya di Sarawak iaitu Sarikei (182), Sibu (178), Mukah (175), Bintulu (157) , Samalaju (151) dan ILP Miri (113).
Dua kawasan di Sabah turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Sandakan dan Politeknik Kota Kinabalu, dengan masing-masing 152 dan 120.
Di Semenanjung, dua kawasan di Johor mencatatkan kualiti udara tidak sihat iaitu Pasir Gudang (126) dan Segamat (102)
ISKANDAR PUTERI: Operasi pembenihan awan (OPA) akan diteruskan bagi membantu mengurangkan tahap pencemaran udara susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa bahagian di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dua bahagian, iaitu Kuching dan Sri Aman, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata keadaan di Serian yang diisytiharkan darurat semalam mula menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan IPU semakin menurun.
“Kita harap sempena dengan perayaan Hari Malaysia di Kuching, dengan adanya operasi pembenihan awan dapat menurunkan tahap indeks sebaran udara di negeri Sarawak khususnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di sini, hari ini.
Berdasarkan bacaan pada jam 9 pagi tadi, Kuching merekodkan IPU 235, manakala Sri Aman pula 214, masing-masing pada tahap sangat tidak sihat.
Serian pula merekodkan bacaan IPU 184, menunjukkan penurunan berbanding bacaan sebelumnya.
Terdahulu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, OPA di seluruh Sarawak sedang dilaksanakan sehingga esok bagi mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengisytiharkan darurat di seluruh bahagian Serian, Sarawak, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Pasukan sukarelawan, United Sikhs Malaysia yang kini berada di Kathmandu akan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai Kementerian Luar Negeri bagi menyelaras usaha bantuan banjir.
Pasukan A yang terdiri daripada lima ahli bertemu pegawai terbabit kira-kira jam 6.20 petang, dengan SMART memberi tumpuan kepada usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih hilang.
Sementara sukarelawan berkenaan menyediakan bantuan dan tempat perlindungan sementara kepada komuniti yang terjejas.
"Kami menyelaras usaha antara satu sama lain," kata Pengarah Undang-Undang United Sikhs Malaysia, Raspreet Kaur, kepada New Straits Times.
Pasukan itu berlepas ke Dhunche di daerah Rasuwa, kira-kira 120 kilometer ke utara Kathmandu, hari ini untuk menyediakan pangkalan operasi.
Perjalanan itu dijangka mengambil masa antara 10 hingga 12 jam.
Dari situ, mereka akan menurunkan bekalan bantuan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan laluan luar jalan ke Syapru Besi, kira-kira 40 kilometer (km) dari sempadan Nepal-Tibet.
Raspreet berkata, tumpuan segera pasukan itu adalah membina tempat perlindungan sementara untuk keluarga yang terjejas.
Katanya, mereka turut dihubungi penduduk tempatan Nepal, Raju Thapa, yang memohon bantuan untuk 98 kanak-kanak yang ibu bapa mereka masih hilang.
Pasukan itu akan menyediakan barangan keperluan, termasuk bahan mewarna untuk kanak-kanak berkenaan.
"Pasukan ini memberi tumpuan untuk sampai ke komuniti yang terjejas dengan selamat serta menyediakan bantuan sedaya upaya," katanya.
Kumpulan sukarelawan sebelum ini menyediakan kelambu dan kanvas tarpaulin bernilai RM28,000 untuk kira-kira 300 keluarga yang terjejas.
Bekalan berkenaan sudah dihantar ke sebuah gurdwara di Kathmandu.
Pasukan A dijangka berada di Nepal kira-kira dua minggu, manakala pasukan lain bersiap sedia untuk digerakkan bergantung kepada keperluan di lapangan.
Sementara itu, pasukan SMART MAS-01 tiba di Kathmandu semalam bagi melaksanakan misi kemanusiaan dan bantuan bencana selepas Nepal meluluskan penghantaran pasukan Malaysia.
Pasukan itu membawa 12.4 tan peralatan, termasuk kelengkapan mencari dan menyelamat, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khusus menyelamat di terowong serta kenderaan.
