PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Malaysia-Thailand perkukuh keselamatan serantau

HUBUNGAN pertahanan Malaysia dan Thailand terus diperkukuh menerusi komitmen erat kedua-dua negara dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan seran­tau, di samping memperkukuh usa­ha mempromosikan keamanan, ke­­stabilan dan kemakmuran di se­luruh Asia Tenggara.

Ketegasan oleh kedua-dua ne­ga­ra dizahirkan semasa Menteri Per­tahanan, Datuk Seri Mohamed Kha­led Nordin menerima lawatan pengenalan daripada Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Lef­tenan Jeneral Adul Boonthumjaroen di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, semalam.

Mohamed Khaled berkata, pertemuan dan perbincangan secara bilateral dilakukan kerana Thailand merupakan satu daripada negara jiran yang mempunyai hubungan rapat dan akrab lebih-lebih dari sudut pertahanan, selain negara anggota ASEAN.

“Kita berbincang perkara-perkara yang menjadi perhatian bersama untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang pertahanan antara kedua-dua negara.

“Antara dibangkitkan ialah me­morandum persefahaman (MoU) dalam kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand dapat ditandatangani dalam tahun ini dan kedua-dua negara bersetuju untuk menyegerakan MoU ini untuk di­ting­katkan kerjasama sektor perta­hanan,” jelasnya.

Beliau berkata, perkara lain turut diberi penekanan ialah kerjasama dalam membangunkan industri tempatan, selain mengawas dan mengawal sempadan antara kedua-dua negara melalui jawatankuasa sempadan bersama Malaysia-Thailand.

“Kita bincang soal kerjasama mengawas sempadan antara dua negara yang dilakukan melalui jawatankuasa sempadan bersama Malaysia-Thailand.

“Ia merupakan tanggungjawab sejak 1978 untuk memastikan sempadan selamat daripada kegiatan yang boleh memudaratkan kedua-dua negara seperti penyeludupan dan kemasukan haram,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia menjadi tuan rumah bagi Ge­neral Border Committee Mee­ting Malaysia-Thailand ke-57 pada tahun ini dengan pelbagai perkara berhubung keselamatan sempadan dan operasi antara kedua-dua ne­gara akan dibincangkan.

“Soal untuk menjayakan pembangunan sosioekonomi dan soal untuk mengkoordinasi pengurusan bencana di kawasan sempadan, kita telah bincangkan dan akan terus dibincangkan dalam mesyuarat ini yang diadakan menjelang akhir tahun ini.

“Kita juga mengalu-alukan ­pe­nyertaan Thailand setiap masa dalam program kerjasama pertahanan Malaysia yang mana kita berikan tempat kepada pegawai-pegawai tentera Thailand untuk mengikuti pelbagai program dan kursus di bawah Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP),” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Thanut Suvarnananda sebagai Ketua Dialog Keamanan Selatan Thailand dalam usaha memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan berkenaan.

“Kita akan beri segala kerjasama kepada pihak ketua dialog supaya dapat mencapai matlamat seperti diharapkan. Kita menyokong usaha supaya kawasan Selatan Thailand dalam keadaan amat dan stabil,” katanya.

Jelas beliau, perkara lain turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah Mesyuarat Men­teri-Menteri Pertahanan ASEAN dan mesyarat Menteri-Menteri Perta­hanan ASEAN Plus di Filipina. -KOSMO! ONLINE

Bomba guna helikopter padam kebakaran hutan dekat Gua Niah

Miri: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan helikopter Unit Udara bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan di lereng bukit berhampiran Gua Niah, Taman Negara Niah, yang dipercayai berpunca daripada panahan petir.

Operasi udara itu dilaksanakan selepas anggota bomba berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan kebakaran disebabkan keadaan muka bumi yang berbatu, curam serta kedudukan api di puncak bukit batu kapur.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2 petang Isnin, sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan tiba di Pejabat Taman Negara Niah pada jam 2.07 petang dan mendapati kebakaran benar-benar berlaku di lereng bukit berhampiran Gua Niah, kira-kira 2.9 kilometer dari pejabat taman negara berkenaan.

"PKO terpaksa berjalan kaki sejauh 2.9 kilometer dari Pejabat Taman Negara Niah ke Pondok Gerai Komuniti Tangap sebelum meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer lagi ke lokasi kebakaran.

"Terdapat dua lokasi kebakaran dikenal pasti iaitu di Lereng Bukit Traders Cave dan Kuala Hangus yang juga sebahagian daripada kawasan Gua Besar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kawasan keseluruhan yang terjejas kini dianggar seluas empat hektar berbanding kira-kira 0.5 hektar apda awalnya.

"Susulan itu, bomba hanya menjalankan pemantauan selain berbincang dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam serta meningkatkan pemantauan berkala terutama di laluan denai menuju Traders Cave," katanya.

Operasi diteruskan apabila PKO bergerak semula ke lokasi pada 9 pagi Selasa sebelum menerima kelulusan penggunaan helikopter Unit Udara bagi melaksanakan pemadaman dari udara pada 10.30 pagi.

Helikopter MI-17 tiba di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis pada 2.30 petang dan memulakan penerbangan bagi kerja pemadaman 10 minit kemudian dengan mendapatkan sumber air dari Sungai Niah.

Operasi udara berakhir pada 4.20 petang, namun pihak bomba memaklumkan kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya dan operasi akan diteruskan hari ini.

Operasi membabitkan 17 anggota, sebuah jentera FRT, sebuah Toyota Hilux, sebuah helikopter MI-17 serta dibantu lima pegawai dan anggota SFC.

Angka korban gempa bumi Venezuela meningkat kepada 4,490

ISTANBUL: Angka korban akibat dua gempa bumi yang melanda Venezuela meningkat kepada 4,490 orang, lapor Anadolu Ajansi.

Presiden Dewan Kebangsaan Jorge Rodriguez berkongsi angka rasmi terkini kerajaan menerusi platform media sosial X, dengan memaklumkan bahawa 16,740 orang cedera dalam bencana itu, manakala 6,462 lagi berjaya diselamatkan.

Pihak berkuasa telah menyalurkan bantuan kepada 120,794 keluarga serta mendirikan 108 pusat penempatan sementara yang menempatkan 19,583 orang, manakala 17,907 lagi masih belum mempunyai kediaman tetap.

Menurut laporan itu, gempa berkenaan merosakkan 856 bangunan, termasuk 190 struktur runtuh.

Pasukan bantuan mengagihkan 9,995 tan makanan dan lebih 18.5 juta liter air, manakala 32,401 pesakit menerima rawatan perubatan.

Operasi tindak balas itu membabitkan 31,837 anggota, 30,535 sukarelawan dan 2,422 anggota penyelamat antarabangsa.

Pada 24 Jun, dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda negara Amerika Selatan itu dalam jarak hanya 39 saat.

Gempa berkenaan menyebabkan kemusnahan meluas, sekali gus mencetuskan operasi bantuan kemanusiaan berskala besar di peringkat nasional dan antarabangsa. – BERNAMA-ANADOLU

Taufan Bavi landa China, hampir dua juta penduduk dipindahkan

BEIJING: Taufan Bavi membadai China, menjadi taufan kedua melanda negara itu dalam tempoh seminggu, dengan hampir dua juta penduduk dipindahkan dari kawasan yang berada di laluan ribut berkenaan.

Taufan Bavi, mencatat kira-kira 1,000 kilometer pada titik terluasnya, hampir menyamai keluasan Perancis mula membadai bandar pesisir Taizhou pada petang Sabtu sebelum mendarat kali kedua di Wenzhou sekitar tengah malam.

Selepas membadai gugusan pulau terpencil Jepun, taufan itu membawa hujan lebat ke Taiwan ketika bergerak melepasi bahagian utara pulau berkenaan.

Sebelum itu, tanah runtuh yang dicetuskan oleh taufan berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang di Filipina.

Walaupun kini telah lemah kepada ribut tropika kuat, Bavi masih berisiko tinggi berikutan kandungan lembapan yang sangat banyak dalam jalur hujannya.

Ribut itu dijangka terus melemah secara beransur-ansur ketika bergerak ke arah barat laut.

Menurut media kerajaan China, pusat taufan itu tiba di bandar Hangzhou di wilayah Zhejiang pada pagi Ahad.

Peramal cuaca menjangkakan Bavi akan bergerak ke timur Anhui pada Isnin sebelum menuju ke bahagian utara Laut Kuning dari Semenanjung Shandong pada Selasa.

Lebih 1.7 juta penduduk dipindahkan di Zhejiang, manakala ribuan lagi dipindahkan di wilayah berhampiran, menurut media kerajaan.

Sekolah, tempat kerja dan aktiviti luar di Zhejiang digantung, manakala kira-kira 400 penerbangan serta puluhan perkhidmatan kereta api dibatalkan.

Bandar Wenzhou yang mempunyai kira-kira 10 juta penduduk terletak berhampiran laluan taufan itu, dengan pihak berkuasa mengarahkan ratusan ribu penduduk berpindah.

“Kami boleh mendengar bunyi genting bumbung dan dahan pokok jatuh. Sudah tentu kami takut,” kata seorang penduduk, Wenzhou, Li Liangxing, kepada Reuters.

Di Beijing pula, pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 100,000 penduduk berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

Bavi pada awalnya terbentuk sebagai taufan super yang membadai Guam dan Kepulauan Mariana Utara pada Isnin lalu dengan kelajuan angin mencecah 290 kilometer sejam.

Ketika bergerak merentasi Lautan Pasifik dan melemah kepada kelajuan angin sekitar 144 kilometer sejam, taufan itu melanda Kepulauan Sakishima di Jepun, yang terletak di antara pulau utama negara itu dan Taiwan.

Sekurang-kurangnya lima orang cedera dan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik.

Taiwan pula tidak menerima hentaman secara langsung, namun ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dan amaran tanah runtuh dikeluarkan susulan hujan lebat.

Setakat ini, Jepun dan Taiwan tidak melaporkan sebarang kematian akibat taufan berkenaan.-AGENSI

Banjir, tanah runtuh di Bangladesh sudah ragut sekurang-kurangnya 44 nyawa

DHAKA: Banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun lebat berterusan sejak beberapa hari lalu meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa di tenggara Bangladesh.

Kejadian itu turut menyebabkan lebih sejuta penduduk terkandas ketika pihak berkuasa giat menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

Kementerian Pengurusan Bencana memaklumkan, banjir yang melanda tujuh daerah iaitu Chattogram, Cox's Bazar, Bandarban, Rangamati, Khagrachhari, Moulvibazar dan Habiganj mengganggu kehidupan harian serta menyebabkan 267,918 isi rumah terkandas.

Gangguan bekalan elektrik, kerosakan jalan raya dan rangkaian komunikasi yang perlahan turut menjejaskan operasi menyelamat serta penyaluran bantuan.

Ramai penduduk tidak dapat memasak sejak beberapa hari selepas rumah mereka ditenggelami air selain sebahagian lagi berdepan kesukaran apabila dapur dan ruang kediaman diselaputi lumpur tebal.

"Air masih bertakung di dalam rumah dan kami tiada cara untuk memasak. Bekalan makanan kering sudah habis, dan kami mengharungi malam dalam kegelapan bersama anak-anak kerana bekalan elektrik terputus," kata penduduk kawasan terjejas di Chattogram, Nurul Islam.

Ribuan keluarga kini bergantung kepada makanan kering selain bantuan kecemasan.

Jalan raya dan jambatan yang rosak menyukarkan petugas bantuan menyalurkan bekalan ke beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

Anggota tentera darat dan tentera laut menggunakan bot untuk menghantar makanan, air minuman, ubat-ubatan serta keperluan asas lain ke komuniti yang terputus hubungan ketika pihak berkuasa memperhebat usaha bantuan.

"Kerajaan sedang melakukan segala yang termampu untuk membantu mangsa banjir.

"Bantuan, bekalan air minuman bersih dan ubat-ubatan sedang diagihkan, dan kami menggesa penduduk yang rumah mereka ditenggelami air supaya berpindah ke pusat perlindungan terdekat," kata Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan, Iqbal Hossain, ketika melawat kawasan terjejas di Chattogram.

Hujan lebat turut mencetuskan tanah runtuh di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar awal minggu ini, mengorbankan 16 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Lebih sejuta pelarian Rohingya kini tinggal di kem berkenaan, dengan kebanyakan penempatan sementara dibina di lereng bukit yang curam dan gondol, sekali gus terdedah kepada risiko tanah runtuh sepanjang musim monsun.

Bangladesh antara negara yang paling kerap dilanda bencana di dunia, dengan hujan monsun bermusim sering mengakibatkan banjir, hakisan tebing sungai dan tanah runtuh.

Saintis berkata perubahan iklim menjadikan kejadian hujan lebat melampau semakin kerap dan lebih ekstrem, sekali gus meningkatkan skala serta tahap kemusnahan bencana seumpama itu.

- REUTERS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search