Sarawak laksana pembenihan awan di Batang Ai, Bakun dan Murum, stabilkan paras air empangan
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 11 Mei: Kerajaan Sarawak melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan utama negeri ini bermula hari ini hingga esok sebagai langkah proaktif memastikan kestabilan paras air empangan strategik yang penting untuk penjanaan tenaga hidroelektrik dan bekalan air mentah.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataan memaklumkan operasi itu melibatkan kawasan Empangan Batang Ai di Lubok Antu serta Empangan Bakun dan Murum di Belaga, dengan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching dijadikan pusat operasi dan koordinasi penerbangan.
Beliau yang juga Pengerusi JPBS itu berkata operasi berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), TUDM serta beberapa agensi berkaitan bagi meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan utama.
“Operasi pembenihan awan ini merupakan langkah intervensi cuaca bagi meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan utama, seterusnya menyokong kestabilan paras air empangan yang kritikal kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air mentah serta kelestarian sumber air di Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya operasi berkenaan turut bertujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan air mentah selain memperkukuh usaha mitigasi terhadap kesan cuaca kering dan fenomena El Niño serta La Niña.
“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.
“Pelaksanaan operasi pembenihan awan ini merupakan antara pendekatan proaktif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik pelbagai agensi demi kepentingan rakyat dan pembangunan wilayah Sarawak,” katanya.
Operasi itu dilaksanakan melalui penerbangan pesawat pada altitud sekitar 5,000 hingga 9,000 kaki di kawasan awan berpotensi hujan dengan penyebaran bahan higroskopik seperti garam gred industri ke dalam sistem awan yang sesuai.
Pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera turut dijalankan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan keberkesanan serta keselamatan pelaksanaannya. – TVS
