KUALA SELANGOR: Masalah banjir termenung yang masih membelenggu penduduk Kampung Bukit Hijau dan Kampung Parit Mahang, Jeram, di sini dijangka dapat diatasi menerusi pemasangan dua unit pam air tambahan.
Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahma, berkata langkah itu diambil susulan keadaan air banjir yang belum surut sepenuhnya selepas bencana berkenaan, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya meninjau keadaan semasa serta kesukaran dihadapi penduduk yang terjejas.
"Hasil tinjauan mendapati beberapa kawasan masih digenangi air, sekali gus menjejaskan keselesaan dan urusan harian penduduk setempat.
"Sebagai tindakan segera, kerja pemasangan dua unit pam air tambahan sedang dilaksanakan hari ini bagi mempercepatkan proses pengepaman dan pengaliran keluar air yang bertakung," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata, penambahan itu melengkapi dua unit pam sedia ada yang sudah beroperasi di Jambatan Parit Mahang sebelum ini, menjadikan keseluruhan empat unit pam digunakan bagi menangani masalah berkenaan.
"Penduduk berharap pengoperasian semua pam itu dapat mempercepatkan proses penyusutan air banjir di kedua-dua kampung terbabit.
"Pemantauan berterusan juga akan dilakukan bagi memastikan masalah air termenung dapat diselesaikan secepat mungkin, selain kebajikan dan keselesaan penduduk Kuala Selangor terus diberi perhatian," katanya.
Dilaporkan banjir menjejaskan lima kampung di Kuala Selangor, termasuk Kampung Bukit Hijau dan Kampung Parit Mahang, manakala tujuh PPS masih beroperasi berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
PETALING JAYA – Hujan lebat petang ini menyebabkan kawasan jalan raya dan parkir di luar Hospital Serdang, Selangor dilaporkan dinaiki air sehingga menenggelamkan sebahagian tayar kenderaan.
Keadaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @fitrihamizannn yang memuat naik beberapa keping gambar memaparkan air keruh memenuhi laluan berkenaan.
Menerusi gambar tersebut, beberapa kenderaan dilihat berada dalam kawasan dinaiki air, manakala hujan lebat masih berlaku ketika rakaman dibuat.
“Info, info. Hospital Serdang sudah mula banjir,” tulisnya menerusi hantaran tersebut hari ini.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuklah ada yang mendakwa kawasan berkenaan sememangnya sering mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Seorang pengguna Threads, @radzuanridzuan mendakwa masalah tersebut sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, namun masih belum menemui penyelesaian.
“Kawasan luar Hospital Serdang ini memang sudah biasa dinaiki air setiap kali hujan lebat sejak saya menjadi pelawat tetap pada tahun 2019. Sampai bila perkara ini perlu dibiarkan tanpa tindakan?” katanya.
Sementara itu, @my_man_sss mendakwa kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan bukan perkara baharu.
“Tempat biasa banjir kilat sudah berpuluh tahun. Dalam satu jam surut. Perkara biasa,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @nooramaniosman turut memaklumkan paras air ketika melalui kawasan tersebut sudah mencecah hampir separuh tayar kenderaan yang diparkir di tepi jalan.
“Baru lalu tadi, tengok air sudah dekat separuh tayar kereta yang diparkir di tepi jalan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Kampung Melayu Subang, Puncak Alam antara lokasi kritikal laksana projek tebatan banjir - MB Selangor
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan Puncak Alam dikenal pasti antara kawasan kritikal diberi perhatian untuk pelaksanaan projek tebatan banjir menerusi peruntukan RM36.45 juta bagi 47 projek di bawah Belanjawan Selangor 2027.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ketiga-tiga kawasan berkenaan antara lokasi mengalami masalah banjir serius, khususnya pada peringkat awal Monsun Timur Laut atau ketika peralihan monsun.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti semula lokasi pelaksanaan projek berkenaan berdasarkan keperluan semasa, selain memastikan usaha mengurangkan risiko banjir dilaksanakan secara berterusan.
"Kita akan tengok balik sebab ia adalah usaha berterusan dan sudah pasti dua tiga tempat utama adalah Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan kawasan Puncak Alam.
"Ini tiga kawasan yang serius pada peringkat awal permulaan monsun atau peralihan monsun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital PIBKS Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Mohd Hanafi Samad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.
Amirudin berkata, kawasan Kuala Selangor turut berdepan masalah banjir, namun isu di beberapa lokasi seperti Parit Mahang lebih bersifat jangka panjang (banjir termenung) dan memerlukan perhatian khusus.
Katanya, kerajaan negeri akan berusaha melaksanakan projek berkaitan secepat mungkin, selain menilai keberkesanan langkah tebatan banjir di kawasan yang sebelum ini sering terjejas.
Beliau berkata, beberapa kawasan seperti Dengkil dan Kuala Langat menunjukkan keadaan lebih baik hasil usaha mitigasi yang dilaksanakan sebelum ini.
"Ini akan ditumpukan kepada 56 lokasi titik panas yang sudah dikenal pasti.
"Antara 2016 hingga 2017, kita mempunyai hampir 200 titik panas banjir namun menerusi usaha yang dilaksanakan, jumlah itu semakin berkurangan dan beberapa kawasan berjaya ditangani," katanya.
Amirudin berkata, perkembangan situasi banjir perlu terus dipantau dari semasa ke semasa memandangkan negara masih berada pada peringkat awal musim monsun.
Belanjawan Selangor 2027 yang dibentang Jumaat lalu, antara lain menyediakan dana RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Amirudin dilapor berkata, dana itu untuk membiayai 30 projek sambungan dan 17 projek baharu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
KUALA LUMPUR: Fenomena Super El Nino yang berlaku serentak dengan Monsun Timur Laut (MTL) berpotensi memanjangkan risiko jerebu di negara ini sehingga Mei tahun depan, berbanding unjuran sebelum ini yang menjangkakan keadaan itu berlarutan sehingga Mac.
Keadaan itu susulan jangkaan cuaca panas dan kering berpanjangan yang bukan sahaja mempengaruhi fasa akhir MTL, malah berpotensi berterusan ketika negara memasuki fasa peralihan monsun dan Monsun Barat Daya (MBD).
Timbalan Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ramlan Ab Rahman, berkata data terkini menunjukkan keadaan kering berkemungkinan berlanjutan sehingga Mei 2027, sekali gus meningkatkan risiko jerebu tempatan dan rentas sempadan.
Beliau berkata, tempoh cuaca kering yang panjang itu membimbangkan kerana boleh menyebabkan kawasan mudah terbakar, khususnya tanah gambut, kehilangan kelembapan dan meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
"Kalau ikutkan data yang ada pada kita, jerebu boleh berlaku sehingga Mei. Sebelum ini kita menjangkakan sehingga Mac, tetapi apabila data dikemas kini, ia menunjukkan keadaan itu boleh berlanjutan hingga Mei," katanya ketika menjadi tetamu dalam segmen Podcast BH Borak Harini.
Ramlan berkata, risiko jerebu bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor pencetus kebakaran, termasuk aktiviti pembakaran terbuka serta kebakaran di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar apabila mengalami kekeringan berpanjangan.
Katanya, keadaan lebih membimbangkan sekiranya cuaca kering berterusan sejak Februari hingga Mei tanpa menerima hujan mencukupi kerana ia boleh meningkatkan risiko jerebu tempatan dan rentas sempadan.
Ramlan berkata, Super El Nino yang mula memasuki kategori berkenaan pada November ini dijangka memberi kesan ketara terhadap corak taburan hujan negara, khususnya ketika MTL yang lazimnya membawa hujan lebat ke beberapa kawasan.
Beliau berkata, MTL mempunyai dua fasa, iaitu fasa lembap sehingga awal Januari tahun depan, diikuti fasa kering yang berpotensi menjadi lebih ekstrem berikutan pengaruh Super El Nino.
"Apabila berlaku Super El Nino, cuaca kering boleh menjadi lebih ekstrem kerana kemasukan lembapan ke rantau kita berkurangan, sekali gus menyebabkan taburan hujan menurun," katanya.
Tingkat risiko kemarau
Beliau berkata, berdasarkan rekod dua episod Super El Nino terdahulu iaitu pada 1997-1998 dan 2015-2016, taburan hujan di Semenanjung Malaysia pernah berkurangan sehingga 30 peratus, manakala Sabah mencatatkan pengurangan sehingga 45 peratus.
Katanya, keadaan itu turut berpotensi menyebabkan gelombang haba, khususnya di utara Semenanjung membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang, selain berkemungkinan memberi kesan kepada negeri lain.
Beliau berkata, fenomena Super El Nino boleh meningkatkan risiko kemarau apabila kekurangan hujan berlaku dalam tempoh panjang, sekali gus memberi tekanan kepada sumber bekalan air domestik, industri dan sektor pertanian.
Ramlan berkata, keadaan itu turut memberi kesan kepada paras takungan empangan, terutama di negeri Pantai Timur yang bergantung kepada hujan MTL sebagai antara sumber utama bekalan air.
Katanya, pengaruh El Nino berpotensi mengurangkan episod hujan lebat sepanjang MTL kali ini kepada antara tiga hingga lima episod, berbanding kebiasaan yang boleh mencapai sehingga lapan episod.
Walaupun jumlah episod hujan lebat dijangka berkurangan, beliau berkata, penduduk di kawasan berisiko banjir khususnya Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan timur Sabah, perlu terus berwaspada kerana hujan lebat masih boleh berlaku.
Beliau berkata, METMalaysia sudah menyelaras persediaan bersama agensi pengurusan bencana pada peringkat pusat, negeri dan daerah bagi memastikan maklumat ramalan serta amaran cuaca dapat disampaikan kepada agensi teknikal dan pasukan penyelamat.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri tengah malam ini.
METMalaysia dalam perkongsian di Facebook, memaklumkan ramalan cuaca itu membabitkan Perlis dan Pulau Pinang selain Kedah membabitkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda.
Di Perak, ia dijangka membabitkan daerah Selama, Kerian, Larut Matang, Manjung, Perak Tengah, Kuala Kangsar dan Kinta, manakala Sarawak di Kapit (Bukit Mabong, Belaga dan Kapit) serta Miri (Beluru).
Amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu keluaran.
