PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

KKR pantau 50 projek sakit seluruh negara, tujuh di Kelantan

KOTA BHARU, 16 Julai: Kementerian Kerja Raya (KKR) memantau rapi 50 projek sakit yang dikenal pasti daripada keseluruhan 865 projek di bawah kementerian bagi memastikan pelaksanaannya kembali mengikut jadual.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada keseluruhan projek itu, kira-kira 5.7 peratus berada dalam kategori projek sakit, manakala di Kelantan hanya tujuh daripada 104 projek di bawah KKR dikenal pasti sebagai projek sakit.

Beliau berkata antara punca kepada isu ini adalah masalah kewangan dan pengurusan syarikat, selain isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta kewujudan lot timbul yang tidak dikenal pasti pada peringkat awal pelaksanaan projek.

“Setiap projek sakit di Malaysia memang kita kawal dan pantau rapi supaya kita boleh putuskan sama ada ia perlu ditamatkan atau sebaliknya.

“Namun, apabila peratusan projek sakit itu hampir siap, iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus mungkin kita boleh bagi lanjutan masa (EOT) memandangkan kalau kita tamatkan (projek) berkenaan kos akan lebih meningkat untuk melantik kontraktor lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan FT209 dan FT131 Dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor Ke Panchor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nanta berkata isu projek sakit turut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca Kabinet bagi meneliti perkembangan semasa serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut jadual.

“Saya juga sudah melantik timbalan saya sebagai mengetuai serta memantau projek sakit di seluruh negara agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Setiap minggu perkara ini akan dipantau.

“Bagi projek yang didapati gagal menunjukkan prestasi memuaskan tindakan akan diambil termasuk ada kontraktor yang telah digugurkan dan ditamatkan,” katanya sambil menambah bahawa keputusan ini dibuat dengan teliti dan berdasarkan tatakelola untuk mengelak sebarang risiko tindakan undang-undang.

Sementara itu, mengulas mengenai projek menaik taraf jalan FT209 dan FT131, Alexander Nanta berkata projek berkenaan melibatkan nilai kontrak sebanyak RM191 juta dan dijadualkan siap pada September tahun depan.

Beliau berkata tujuan utama pembinaan projek ini bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT131, memandangkan jalan sedia ada dari Kubang Kerian ke Sabak dan seterusnya ke Pengkalan Chepa sudah berada pada tahap kritikal dengan kesesakan setiap hari.

“Projek yang membabitkan laluan sepanjang enam kilometer itu setakat ini sudah mencapai 71.61 peratus kemajuan fizikal projek semasa dengan melibatkan nilai kontrak RM191 juta. Sementara itu, kos pengambilan tanah melibatkan 300 lot tanah yang perlu diambil melibatkan kos melebihi RM200 juta.

“Kita juga menerima permohonan daripada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari yang turut hadir pada hari ini untuk menyelesaikan isu banjir yang dihadapi oleh penduduk setempat disebabkan pelaksanaan projek ini.

“Untuk mengatasi masalah ini saya sudah mengarahkan kontraktor terlibat untuk membina parit sementara dengan kadar segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk setempat, sehingga projek ini selesai pada tahun depan,” katanya. -TVS

 

PBT perlu jadi pemacu pembangunan, bukan sekadar pentadbir tempatan

KUCHING, 16 Julai: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu beralih daripada peranan tradisional sebagai pentadbir kepada institusi pembangunan moden yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh komuniti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata PBT adalah wajah yang mencerminkan kecekapan pentadbiran Kerajaan Sarawak menerusi penyampaian perkhidmatan harian yang memberi kesan secara langsung kepada masyarakat.

Beliau berkata, dalam era pembangunan baharu, PBT tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah kerja lama, sebaliknya perlu menjadi pemudah cara kepada pembangunan tempatan serta penyelesaian pelbagai isu rakyat.

“**PBT yang kukuh bukan sekadar menjaga kebersihan dan ketenteraman, malah menyokong perniagaan tempatan, memudahkan pelaburan, mengukuhkan komuniti serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk didiami, bekerja dan berkembang maju**,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, ketika merasmikan Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak kini bergerak dalam landskap pembangunan yang jauh berbeza menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selari dengan perubahan ekonomi global yang dipacu teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri berasaskan data, rantaian bekalan baharu serta pembangunan rendah karbon.

Sehubungan itu, katanya, semua peringkat kerajaan termasuk PBT perlu menyokong agenda transformasi digital negeri dengan memperluaskan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan.

“Teknologi seperti Sarawak ID dan S Pay Global menyediakan peluang untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan, memudahkan urusan transaksi serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.

“Data juga mesti menjadi asas kepada setiap keputusan kerana ia membantu PBT memahami risiko banjir, corak trafik, keperluan penyelenggaraan, aduan awam, pertumbuhan perniagaan dan keperluan komuniti,” katanya.

Beliau turut menggariskan lima cabaran utama yang perlu diberi perhatian oleh semua PBT, iaitu kecerdasan buatan dan transformasi digital, perubahan iklim serta pembangunan bandar mampan, daya saing ekonomi, pembandaran dan perubahan demografi, selain usaha mengekalkan kepercayaan rakyat.

Menurutnya, semua cabaran itu perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh organisasi dan mempercepat transformasi PBT menjadi institusi pembangunan moden.

Sementara itu, Dr Sim menyeru semua PBT di Sarawak supaya terus memperkukuh kepercayaan rakyat, berkembang sebagai organisasi pintar dan memainkan peranan lebih besar dalam memacu pembangunan mampan.

“Masa depan Sarawak bukan sahaja bergantung kepada dasar di peringkat negeri, tetapi juga kepada kekuatan institusi di peringkat tempatan. Apabila PBT kukuh, komuniti menjadi lebih kuat, ekonomi berkembang dan Sarawak akan terus maju,” katanya.

Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak 2026 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa transformasi penyampaian perkhidmatan serta membudayakan integriti dalam kalangan warga PBT di seluruh negeri.

Persidangan itu dianjurkan menerusi kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dengan pengisian berteraskan pengukuhan tadbir urus, transformasi digital dan integriti bagi merealisasikan aspirasi bandar pintar di Sarawak.

 

 

 

 

Lebih 20 agensi sertai latihan nahas pesawat luar perimeter lapangan terbang

SHAH ALAM: Lebih 20 agensi penguat kuasa dan tindak balas kecemasan hari ini berganding bahu dalam latihan amal bencana udara berskala penuh Ex Urban Falcon 2026 bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta koordinasi operasi sekiranya berlaku nahas pesawat di luar perimeter lapangan terbang.

Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Muhammad Hidayat Ismail berkata latihan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) itu melibatkan simulasi sebuah pesawat ATR72 yang “terhempas” kira-kira enam kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

"Objektif kita untuk memastikan tahap kesiapsiagaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi tindak balas lain dalam pelan kecemasan aerodrom terutama yang melibatkan nahas pesawat di luar kawasan lapangan terbang.

"Berdasarkan National Aeronautical Search and Rescue Manual (NAMSA), kawasan tanggungjawab AFRS adalah dari titik tengah lapangan terbang hingga lingkungan 8 km dari premis tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhammad Hidayat berkata simulasi itu merupakan yang pertama dilakukan dengan senario jauh dari perimeter lapangan terbang berbanding latihan sebelum ini yang hanya dilakukan di kawasan bersebelahan pagar lapangan terbang.

Beliau berkata cabaran utama bagi pasukan tindak balas adalah untuk sampai ke lokasi kejadian dengan pantas walaupun terpaksa merentasi jalan raya sempit serta melalui beberapa plaza tol.

"Apa yang saya lihat dari sudut penglibatan agensi tindak balas, saya dapati mereka telah bertindak mengikut prosedur yang sedia ada serta proses memadam kebakaran dan penyelamatan dilaksanakan dengan baik.

"Saya berharap agar latihan ini akan memberi satu titik permulaan kepada tahap kesiapsiagaan agensi kerana bencana udara ini jarang sekali kita uji di kawasan luar lapangan terbang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbezaan ketara antara nahas di dalam dan luar lapangan terbang adalah kadar kemandirian mangsa yang lebih rendah akibat bentuk muka bumi yang tidak rata.

Justeru, Muhammad Hidayat berkata latihan itu mendedahkan pasukan penyelamat kepada realiti sebenar, iaitu jumlah mayat mungkin lebih tinggi berbanding mangsa yang terselamat, sekali gus menuntut koordinasi lebih baik bagi prosedur Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Secara teknologi, kita mengguna pakai peralatan terkini iaitu jentera kita khusus untuk memadam kebakaran pesawat dan spesifikasinya mematuhi kehendak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Dapatan serta cabaran yang ditemui pada hari ini akan dibentangkan dalam sebuah bengkel khas pada 26 dan 27 Julai ini untuk mencari langkah penambahbaikan bagi memastikan sebarang bencana dapat ditangani secara bersepadu," katanya.

Sehubungan dengan itu, Muhammad Hidayat berkata komitmen berterusan daripada semua agensi yang terlibat membuktikan kesediaan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman bencana udara, sekali gus meningkatkan keyakinan orang awam terhadap sistem pengurusan keselamatan penerbangan di Malaysia.

Latih amal Ex Urban Falcon 2026 dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara MAHB, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kerajaan Negeri Selangor dan PROLINTAS-DASH, membabitkan 450 peserta daripada agensi awam dan swasta yang kritikal kepada operasi penyelamatan bencana udara.

-- BERNAMA

 

 

 

Rasa mahu menangis, mangsa banjir rayu bantuan sukarelawan

MELAKA – Mangsa banjir di Taman Rambai Indah di sini kini bergelut membersihkan kediaman yang dipenuhi lumpur selepas  air mula surut, malah ada yang mengakui terlalu penat sehingga terpaksa merayu lebih ramai sukarelawan tampil menghulurkan bantuan.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kebanyakan penduduk bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing selain mengeluarkan perabot dan barangan elektrik yang rosak selepas ditenggelami banjir.

Seorang mangsa, Norjalilah Kaur Abdullah, 62, berkata kerja pembersihan kali ini amat memeritkan memandangkan rumahnya dipenuhi lumpur dari ruang tamu hingga ke dapur, manakala beberapa bilik masih digenangi air bertakung.

Katanya, dia yang tinggal bersama anak bongsunya berusia 22 tahun bagaimanapun berasa sangat bersyukur apabila beberapa sukarelawan tampil membantu membersihkan kediaman mereka.

“Penat sangat sampai rasa mahu menangis, dengan keadaan umur begini memang sukar untuk mengemas rumah. Setakat ini saya dan anak-anak buat yang termampu kerana ini banjir paling teruk sejak saya menetap di taman ini lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Acul Adnan, 50, berkata, kejadian kali ini merupakan banjir paling buruk dialaminya sepanjang lebih 30 tahun menetap di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, dianggarkan lebih 250 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan terjejas akibat banjir dan kini melalui proses pembersihan pasca banjir. – KOSMO! ONLINE

JBPM Kelantan wujudkan pusat tindak balas awal kebakaran lindungi penduduk Kepulauan Tumpat

TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mewujudkan tindak balas awal kebakaran (fire point) pertama di Pulau Teluk Renjuna sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kebakaran di kawasan Kepulauan Tumpat.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, seramai 20 anggota bomba komuniti akan membantu kira-kira 3,000 penduduk membabitkan 630 keluarga di Pulau Teluk Renjuna, Pulau Suri, Pulau Suri Tanjung dan kawasan sekitar sekiranya berlaku kebakaran.

“Saya akui pasukan bomba mengambil masa untuk tiba ke lokasi sekiranya berlaku kebakaran di kawasan pulau berkenaan. Tapi bila ada kemudahan ini bomba komuniti dapat bertindak dengan cepat termasuk membawa pelbagai kelengkapan kebakaran dan menyelamat.

“Antara kelengkapan yang disediakan ialah hos, bot, jaket keselamatan, alat pemadam api dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Fire Point Bomba Komuniti di Pulau Teluk Renjuna.

Mengulas mengenai cadangan mewujudkan Fire Point di kawasan lain, beliau berkata, perkara itu belum dapat dilaksanakan buat masa ini kerana memerlukan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, beliau berharap bomba komuniti di Pulau Teluk Renjuna dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dalam membantu operasi menyelamat.

Menurutnya, JBPM Kelantan menyasarkan penubuhan 20 pasukan bomba komuniti pada tahun ini dan sehingga kini sebanyak 12 pasukan telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search