PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kolam takungan atasi banjir Kelantan

Kolam takungan atasi banjir Kelantan

KOTA BHARU: Pembinaan kolam takungan, pendalaman dan pelebaran sungai adalah langkah mitigasi banjir yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam mengurangkan kerugian akibat bencana alam itu selain pembinaan benteng.

Profesional teknologis dari Evo Legacy Marine Sdn. Bhd., Hafidz Izuddin Zamri berkata, syor itu berpandukan kepada geografi negeri ini yang terletak di kawasan lembangan sungai selain kerap menerima hujan lebat semasa musim tengkujuh.

“Selain itu, pemasangan pintu air, stesen pam, zon penampan hijau serta sistem amaran banjir awal turut menjadi solusi dalam menyelesaikan masalah tersebut daripada terus berulang.

“Pelaksanaan projek besar seperti ini turut berdepan cabaran berkaitan politik antara kerajaan negeri dan Pusat. Namun, penyelarasan antara agensi, ketelusan peruntukan dan ketegasan dalam pelaksanaan adalah kunci dengan mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat melebihi perbezaan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, kejayaan negara luar menguruskan banjir boleh dijadikan penanda aras sepertimana dipraktikkan oleh Belanda.

Katanya, negara berkenaan mengamalkan prinsip room for the river atau ruang untuk sungai yang membenarkan sungai melimpah secara terkawal melalui zon rizab banjir dan disertai pemindahan komuniti berisiko tinggi.

“Jepun pula membangunkan sistem tebatan banjir bawah tanah seperti G-Cans di Tokyo untuk mengalirkan limpahan ke ruang bawah tanah semasa hujan lebat.

“Sementara Korea Selatan dan Thailand pula menyepadukan kolam takungan bandar, sistem ramalan hujan jangka pendek (nowcasting) dan pendidikan komuniti.

“Malaysia boleh mengadaptasi Penyelesaian Berasas Semula Jadi (NBS) dan pengurusan bersepadu lembangan sungai dengan sokongan digitalisasi dan kepintaran buatan (AI) untuk amaran awal serta perancangan respons,” ujarnya.

Akhbar ini pernah melaporkan, kelewatan me­nyiapkan projek tebatan banjir yang merupakan mitigasi utama menangani bencana itu di ne­geri ini mengakibatkan kerugian besar ditanggung penduduk dan kerajaan ekoran kemusnahan harta, infrastruktur dan hasil pertanian.

Kerugian akibat banjir yang melanda Kelantan bermula hujung November tahun lalu mencecah lebih RM300 juta dengan kerosakan melibatkan infrastruktur sahaja lebih RM80 juta manakala sektor pertanian pula dianggarkan melebihi RM30 juta.-UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search