Episod ribut tropika Senyar sudah berlalu, begitu juga luruan sejuk yang melanda Asia Tenggara dan menyebabkan cuaca ekstrem serta banjir di Vietnam, selatan Thailand, Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Walaupun sudah berlalu, impaknya masih dirasai di banyak kawasan yang masih banjir.
Sejak pertengahan November 2025, luruan sejuk pertama MTL tahun ini membawa hujan lebat berpanjangan dan banjir teruk di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Vietnam dan Thailand.
Tidak lama selepas itu, taufan Koto terbentuk di Laut China Selatan, siklon Ditwah muncul di timur Lautan Hindi, dan ribut tropika Senyar pula terbentuk di Selat Melaka, buat pertama kali dalam sejarah.
Melihat tiga sistem ribut dan luruan sejuk berlaku serentak di rantau ini sesuatu yang luar biasa, mengingatkan saya kepada filem The Day After Tomorrow. Kejadian berlaku serentak ini amat jarang, mungkin hampir mustahil. Malaysia sebelum ini hanya pernah dilanda dua ribut tropika: Greg (1996) dan Vamei (2001).
Laluan Senyar juga unik dijana di Selat Melaka, bergerak ke Aceh, membuat pusingan U, kemudian menuju ke pantai barat Semenanjung dan mendarat di antara Selangor dan Negeri Sembilan pada malam 27 November 2025 sebelum melemah dan merentasi Semenanjung. Ketika rencana ini ditulis, sisa-sisa Senyar sedang bergerak ke Laut China Selatan dan dijangka diserap oleh Koto.
Potensi impak Senyar amat meresahkan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, mengingatkan mereka kepada lekukan tropika pada Disember 2021 yang menyebabkan kecelaruan cuaca dan banjir besar di Lembah Klang.
Namun, kita bersyukur impak ribut tropika Senyar tidak seteruk di Sumatera dan Aceh. Saiz dan intensitinya juga lebih kecil berbanding Koto dan Ditwah, apatah lagi jika dibandingkan dengan Taufan Fung-Wong (atau Uwan), taufan super yang melanda Filipina pada awal November 2025.
Tahun 2025 menyaksikan rentetan taufan melanda Filipina dan Vietnam. Secara purata, sekitar 20 ribut tropika dan taufan melanda negara itu setiap tahun, dengan 8 hingga 9 mencapai kekuatan taufan. Namun, sehingga akhir November, sudah 14 taufan melanda Filipina, dan lima daripadanya adalah taufan kuat termasuk Ragasa dan Fung-Wong, kedua-duanya dikategorikan sebagai taufan super.
Pembentukan taufan dan cuaca ekstrem sangat dipengaruhi oleh suhu permukaan laut; apabila laut semakin panas, lebih banyak ribut tropika dan taufan yang kuat dapat terbentuk.
Tahun 2025 amat unik. La Niña mengukuhkan angin timuran, membawa lebih banyak kelembapan ke Asia Tenggara dan menjadi “bahan api” kepada kecelaruan cuaca.
Pada masa sama, air laut bersuhu tinggi ditolak ke barat Lautan Pasifik, menjana taufan berintensiti tinggi. Di Lautan Hindi pula, Indian Ocean Dipole berfasa negatif turut menumpukan kelembapan dan air laut panas ke rantau Asia Tenggara.
Melihat Ditwah, Senyar, Koto, luruan sejuk, serta kehadiran La Niña dan Indian Ocean Dipole berfasa negatif berlaku serentak adalah sesuatu yang hampir tidak pernah berlaku. Pemanasan global turut menyumbang kepada kecelaruan ini. Laut di rantau kita semakin panas saban tahun, malah lebih cepat berbanding kawasan lain.
Pemanasan global juga mempengaruhi kelakuan luruan sejuk melalui kesannya terhadap polar jet stream dan subtropical jet stream, yang mengawal intensiti, tempoh dan kekerapan luruan sejuk.
Kecelaruan ini tidak akan berakhir dengan episod kali ini, ia boleh menjadi norma pada masa depan jika dunia gagal menangani perubahan iklim. Malaysia perlu meningkatkan kesiapsiagaan, bukan sahaja di pantai Timur Semenanjung, tetapi di pantai Barat dan seluruh negara.
Negara ini juga perlu menyegerakan projek-projek tambatan banjir bagi mengurangkan impak banjir akibat kecelaruan cuaca yang semakin menjadi-jadi ini dan mengurangkan keperitan hidup rakyat.
Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
KANGAR: Banjir baru-baru ini menjejaskan seluas 78.03 hektar kawasan tanaman harumanis di Perlis, dengan anggaran kerugian sebanyak RM1,170,450 membabitkan 59 pengusaha.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, angka tersebut berdasarkan laporan awal dari 24 November hingga 2 Disember lalu, dan dijangka meningkat apabila bancian menyeluruh selesai.
Katanya, pejabat pertanian daerah sedang menjalankan bancian bagi mengenal pasti keluasan sebenar dan bilangan keseluruhan pengusaha terjejas, kerana masih terdapat kawasan di mana laporan belum diterima.
“Antara kawasan paling terjejas adalah Padang Siding, namun jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan kerana ada kawasan yang airnya masih belum surut sepenuhnya. Kawasan lain yang turut terjejas termasuk Bintong, Titi Tinggi, Paya, Mata Ayer dan Beseri,” katanya.
Hafizuddin berkata, pihaknya akan terus memantau situasi dan membantu pengusaha terjejas bagi memastikan pemulihan tanaman dapat dilakukan dengan segera.
Seorang pengusaha, Sofi Shamsudin, 34, berkata kebunnya di Sanglang ditenggelami air sehingga setinggi 0.5 meter.
“Tanaman yang sedang berbunga rosak sepenuhnya dan akan mengambil masa untuk kembali berbunga. Ini juga dijangka memberi kesan kepada musim harumanis tahun depan, dengan proses tuaian yang sepatutnya pada Mac mungkin tertangguh sehingga April atau Mei,” katanya.
Sofi berkata, kesemua 80 pokok harumanis di kebunnya mengalami kerosakan bunga, dengan anggaran 100 tangkai rosak bagi setiap pokok.
Katanya, untuk pokok kembali berbunga, ia memerlukan antara sebulan hingga 45 hari bergantung kepada cuaca.
“Banjir kali ini adalah antara yang terburuk pernah melanda negeri ini dan menyebabkan banyak tanaman musnah, sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha harumanis,” katanya. – UTUSAN
BAGAN DATUK: Seorang pekebun kecil di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini berdepan kerugian ribuan ringgit apabila 3.2 hektar tanaman pisang yang diusahakannya musnah selepas ditenggelami banjir termenung sejak lebih seminggu.
Mangsa, Kamarul Bahrin Mahayuddin, 51, berkata, kebunnya yang ditanam dengan pisang berangan dan nangka itu rosak teruk apabila air naik setinggi paras lutut, menyebabkan hampir semua pokok musnah.
Katanya, banjir yang datang mendadak menyebabkan penduduk tidak sempat menggunakan pam air untuk menyedut keluar air ke parit berhampiran.
“Air masih bertakung, berwarna hitam, berbau busuk dan masin. Saya khuatir pokok pisang yang terendam lama ini tidak tahan penyakit serta mudah diserang kulat,” katanya.
Banyak pokok sudah mati dengan hanya tinggal batang, daun layu dan sebahagian besar tanaman baharu turut rosak akibat terlalu lama terendam.
“Saya risau jika keadaan ini berlarutan kerana akar pokok boleh rosak sekali gus menyebabkan hasil pengeluaran merosot. Sekarang ini pun banyak yang sudah musnah,” katanya.
Kamarul Bahrin berharap kerajaan dapat membantu pekebun kecil yang terjejas termasuk menyediakan subsidi baja dan racun bagi memulihkan tanaman.
“Penduduk berharap kerajaan dapat mendalamkan parit di jalan utama yang tersumbat dengan pokok kayu dan sampah bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Sungai Tiang Baroh antara kawasan dilanda banjir di daerah ini dan setakat semalam seramai 376 mangsa masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini.
Banjir termenung di kawasan itu disebabkan sistem peparitan tidak sempurna menyebabkan air banjir bertakung. – UTUSAN
GEORGE TOWN: Lebih 100 orang penduduk Kampung Bagan Jermal di sini mendesak pemaju sebuah taman air di sekitar persisiran Persiaran Gurney di sini supaya bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah, surau, restoran serta kejadian banjir berulang di kawasan tempat tinggal mereka itu.
Penduduk mendakwa, masalah itu timbul berpunca kerja-kerja tambakan laut dan menanam cerucuk bagi pembangunan projek berkenaan.
Mereka mendakwa, pembangunan projek itu telah bermula pada bulan Februari 2024 dan kerja-kerja penanaman cerucuk itu telah mencetuskan gegaran kuat sehingga menyebabkan retakan mula muncul di beberapa rumah dan premis.
Kata penduduk, pada masa sama, aktiviti tambakan laut telah menghalang aliran dua sungai dan sebuah parit yang sebelum ini terus mengalir ke laut namun kini tersekat akibat timbunan pasir serta cerucuk penahan.
Keadaan itu menyebabkan air melimpah masuk ke dalam kampung setiap kali hujan lebat atau air pasang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bagan Jermal, Mohd. Yaakob Mohd. Dali, 73, berkata, penduduk telah berkali-kali kali membuat aduan termasuk kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran namun masih tiada penyelesaian.
“Satu mesyuarat telah diadakan pada 16 Julai lalu namun hanya menjelaskan mengenai aspek teknikal projek tanpa mengambil kira aduan penduduk mengenai bunyi bising, gegaran serta rekahan yang berlaku.
“Pertemuan kedua pada 4 September pula menyaksikan pihak konsultan berjanji untuk melebarkan dan mendalamkan sungai. Namun, mereka tetap enggan mengakui atau bertanggungjawab terhadap keretakan rumah dan premis yang didakwa akibat kerja penanaman cerucuk dan tambakan laut,” katanya kepada pemberita hari ini
Pada masa ini, terdapat kira-kira 45 buah rumah dengan 500 penduduk di kampung tersebut.
Mohd. Yaakob berkata, tujuan bantahan yang diadakan hari ini bukan untuk menimbulkan provokasi sebaliknya menuntut komitmen pemaju untuk membaiki 10 buah rumah, sebuah surau dan sebuah restoran yang terjejas. – UTUSAN
MELAKA: Kerajaan negeri Melaka telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengenal pasti dan memotong pokok berisiko tumbang bagi mengelak kejadian maut berulang.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri memandang serius dua insiden maut akibat pokok tumbang berlaku di jalan Selandar pada 28 November lalu dan semalam berlaku di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh di sini.
Menurutnya, setiap PBT mempunyai Jawatankuasa Cantasan Pokok yang dilakukan secara berkala namun keadaan cuaca ketika ini yang tidak menentu dan tidak disangka boleh berlakunya pokok tumbang hingga menyebabkan kehilangan nyawa.
“Pokok-pokok yang ditanam PBT telah ditandakan sama pokok lama atau tidak termasuk usianya yang boleh dipotong atau tidak.
“Apabila berlaku lagi pokok tumbang petang semalam saya telah mengarahkan semua PBT melakukan pemeriksaan segera bagi melihat pokok-pokok yang mungkin berisiko dan mendatangkan bahaya agar segera dipotong,” katanya selepas menghadiri Program Fun Walk Bertemakan melangkah laju, integriti padu sempena Sambutan Hari Integriti Nasional dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 Bersama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dataran MBMB di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya dan Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari.
Dalam kejadian petang semalam seorang penunggang p-hailing maut dan seorang penumpang sebuah kereta cedera dan saya telah meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) agar tindakan segera dapat dilakukan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi.
Kejadian turut menyebabkan seorang wanita berusia 19 tahun cedera apabila kereta Perodua Myvi dinaikinya turut ditimpa dahan pokok terbabit.
Rais berkata, kerajaan negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Izzat Daanish Shahril berasal dari Ayer Molek.
Menurutnya, ibu bapa mangsa boleh membuat tuntutan insuran dan pihak MBMB pula akan melihat bentuk bantuan dapat disalurkan bagi meringankan beban keluarga mangsa. – UTUSAN
