PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bantuan RM3,000 ringankan beban mangsa banjir

Mangsa banjir bersyukur mula menerima bantuan RM3,000 bagi meringankan beban akibat banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Seramai 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) menerima Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) bermula jam 8 pagi semalam membabitkan enam daerah.

Penerima bantuan yang juga ibu tunggal, Mailah Bakar, 59, hampir keseluruhan barangan dalam rumahnya musnah dan rosak dalam kejadian banjir kali ini.

Beliau bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan dapat meringankan sedikit bebannya, terutama menjelang Aidilfitri.

“Alhamdulillah syukur, jika dibandingkan dengan kerosakan akibat banjir yang kami alami memang lebih besar. Tetapi ini semua ujian, kita tidak minta kejadian ini dan kerajaan juga tidak minta banjir berlaku.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat kami gunakan untuk membeli kelengkapan penting untuk kegunaan harian, termasuk kelengkapan seorang anak saya adalah orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan.

“Hari raya kali ini sekadar apa adanya sahaja, bantuan seperti beras dan makanan asas juga kami terima sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pusat agihan bantuan khas MTL di Dewan Pejabat Daerah Kulai di sini, semalam.

Penyelia Kilang, Mohammad Sabran, 41, dari Kampung Sengkang, juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.

Katanya, sumbangan ini akan digunakan sebaiknya untuk empat anaknya yang turut terkesan dengan bencana itu.

“Mungkin orang luar lihat RM3,000 jumlah yang sedikit, tetapi bagi kami yang hampir semua barangan musnah akibat banjir, jumlah ini sangat bermakna.

“Syukur bantuan diserahkan kepada kami sebelum hari raya. Sekurang-kurangnya boleh kami membuat sedikit persiapan pada pagi raya nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Mohd Jafni Md Shukor, berkata 575 mangsa banjir menerima bantuan khas ini di daerah Kulai dengan nilai peruntukkan RM1.725 juta.

Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata, 3,749 KIR yang terjejas akibat banjir di negeri itu akan menerima bantuan khas RM3,000 daripada kerajaan negeri

Katanya, bantuan RM11.24 juta itu akan diagihkan serentak di enam daerah terjejas bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda.

Seminggu hidu bau busuk air termenung

Batu Pahat: “Kami kena hidu bau busuk air banjir ini setiap hari. Selagi tak surut, selagi itulah kami kena hadapinya, paling kurang seminggu lagi baru pulih,” kata Mohd Solehan Simigen, antara penduduk Sri Medan yang kini dibelenggu banjir termenung sejak seminggu lalu.

Mohd Solehan, 34, berkata keadaan itu menyebabkan bau busuk sehingga penduduk tak lalu makan.

“Kalau air pasang, bau hilang seketika, bila surut datang balik bau itu. Inilah yang berlaku setiap kali kena banjir, namun kami reda,” katanya ditemui di Kampung Parit Jayus, semalam.

Disebabkan masalah itu selain banjir belum surut, dia terpaksa melupakan hasrat membuat persiapan Aidilfitri.

“Tengok keadaan rumah dan kawasan luar masih belum dibersihkan jadi, kami tak beraya tahun ini.

“Ini dugaan kali kedua Ramadan selepas 2023. Cuma kali ini tidak seteruk dua tahun sebelumnya apabila air masuk rumah hingga paras tengkuk,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Pikati Yaiman, 54, berkata kediamannya juga menerima nasib sama terpaksa bau banjir termenung sejak seminggu lalu.

Harungi air paras betis

Dia terpaksa mengharungi banjir dengan air mencecah paras betis setiap kali keluar rumah untuk membeli barang keperluan atau urusan lain.

“Kami harap dalam keadaan cuaca kembali elok akan mempercepatkan air surut. Kalau ada rezeki kami sambut Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kawasan di Sri Medan antara Parit Baru dan Parit Warijo mendapati masih banyak rumah penduduk terjejas banjir termenung.

Enam daerah di Kedah dikenal pasti

Enam daerah di Kedah dikenal pasti berisiko dilanda banjir kilat ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya yang bermula kelmarin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, daerah terbabit adalah Pendang, Yan, Kuala Muda, Sik, Kulim dan Bandar Baharu.

“Fasa peralihan juga membawa ribut petir dan hujan lebat yang boleh menyebabkan pokok tumbang.

“Kita sentiasa berjaga-jaga bagi membolehkan respons pantas diberikan kepada kes kecemasan selain memantau kawasan sering banjir,” katanya selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin 2025 sempena Perayaan Aidilfitri Peringkat Zon Utara di sini, semalam.

Beliau berkata, 990 anggota agensi itu di Kedah berada dalam keadaan siap siaga bagi mengendalikan kes kecemasan.

Fasa Peralihan Monsun diramal berterusan hingga Mei ini dengan rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah, menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat.

Mengenai Op Prihatin yang bermula Jumaat ini hingga 6 April, Zairil Anuar berkata APM akan melakukan rondaan, mengendalikan pokok tumbang dan kes kemalangan.

Beliau berkata selain itu, APM melakukan pengoperasian dron bagi pemantauan udara terutama di kawasan sering berlaku bencana banjir di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Bernama

Terpaksa hidu bau busuk air banjir setiap hari: Mangsa banjir termenung

BATU PAHAT: "Kami kena hidu bau busuk air banjir ini setiap hari. Selagi tak surut, selagi itulah kami kena hadapinya, paling kurang seminggu lagi baru pulih," kata Mohd Solehan Simigen, 34, antara penduduk Sri Medan yang kini dibelenggu banjir termenung sejak seminggu lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan bau busuk sehingga penduduk tak lalu makan.

"Kalau air pasang, bau akan hilang seketika, bila surut, datang balik bau itu. Inilah yang berlaku setiap kali kami kena banjir, namun kami reda," katanya ditemui di Kampung Parit Jayus, hari ini.

Disebabkan masalah itu selain air banjir belum surut, dia terpaksa melupakan hasrat membuat persiapan Aidilfitri.

"Tengok keadaan rumah dan kawasan luar kami masih belum dibersihkan jadi, kami tak beraya tahun ini.

 

"Ini dugaan kali kedua pada Ramadan selepas tahun 2023. Cuma kali ini tidak seteruk dua tahun sebelumnya apabila air masuk rumah hingga paras tengkuk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Pikati Yaiman, 54, berkata kediamannya juga menerima nasib sama terpaksa bau banjir termenung sejak seminggu lalu.

 

Dia terpaksa mengharungi banjir dengan air mencecah paras betis setiap kali keluar rumah untuk membeli barang keperluan atau urusan lain.

"Kami harap dalam keadaan cuaca kembali elok akan mempercepatkan air surut. Kalau ada rezeki kami sambut Aidilfitri," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kawasan di Sri Medan antara Parit Baru dan Parit Warijo mendapati masih banyak rumah penduduk terjejas banjir termenung.

 

Peniaga bazar terjejas dikecualikan sewa - Exco

JOHOR BAHRU - Seramai 9,383 peniaga bazar yang terjejas akibat banjir bakal menerima pengecualian penuh caj sewaan membabitkan jumlah keseluruhan RM1.07 juta.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pengecualian itu melibatkan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas.

"Sebanyak 8,081 peniaga bazar Ramadan menerima pengecualian sewa bernilai RM748,674.40 manakala 1,302 peniaga bazar Aidilfitri pula dikecualikan sewa berjumlah RM318,114," katanya.

"Inisiatif ini melibatkan sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), dan Majlis Perbandaran Kluang (MPKu)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

 

Menurut Mohd Jafni, langkah terbabit bukan sahaja mengurangkan beban peniaga tetapi merancakkan kembali ekonomi setempat yang terjejas akibat bencana alam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 16 yayasan di bawah PBT negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM1.13 juta kepada 6,940 ketua isi rumah (KIR) yang memerlukan terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Banjir melanda negeri pada minggu lalu disifatkan penduduk sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 2006.

Bencana menyebabkan banyak rumah ditenggelami banjir sehingga ada mencecah paras bumbung selain menyebabkan peniaga di beberapa kawasan bazar berdepan kerugian terutama di Kota Tinggi.

Banjir yang melanda enam daerah berpunca daripada taburan hujan luar biasa mencecah 150 milimeter (mm), berbanding purata hanya 20 mm, ditambah dengan fenomena air pasang sekitar 3.0 meter.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search